Pohon Tamar di Kota Bharu

Saturday, June 14, 2014


Beberapa hari lepas, ada rakan baik saya menghantar sms bertanyakan tentang pohon tamar yang dikatakan sedang berbuah di Kota Bharu. Kebetulan pula pada waktu itu saya berada di luar kawasan, maka tidak banyak yang dapat saya nyatakan kepada beliau.
Sebelum memasuki pejabat pada hari ini, saya sempat melihat sendiri pohon tamar yang dimaksudkan oleh sahabat saya. Amat benar apa yang saya lihat. Pohon tamar itu memang berbuah.
Masya Allah ... Allahu Akbar ...
Sebagai tanda kenang-kenangan, saya 'snap' beberapa keping gambar sebagai tatapan khalayak pembaca blog khususnya sahabat saya yang bertanya itu. Bersama dengan saya, ada lebih kurang 10 orang yang turut berada di tempat di mana pohon tamar itu berbuah. Pasti mereka juga tidak mahu lepaskan peluang untuk melihat sendiri pohon tamar yang sedang berbuah ini.

Ya. Pohon tamar ini setidak-tidaknya mengajak saya berfikir panjang betapa Allah SWT mampu melakukan apa sahaja tanpa bantuan sesiapa. Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allahu Akbar ..

Biasanya pohon ini tumbuh subur dan hanya dapat dilihat di Tanah Arab. Namun, siapa sangka peluang tersebut juga ada di Kota Bharu? Malahan, jaraknya begitu hampir dengan tempat saya mencari rezeki.

Nikmat manakah yang mahu saya dustakan lagi?

Melihat dan berfikir, di sana ada tanda-tanda kebesaran Allah untuk diagungkan. Setidak-tidaknya ia mampu mengingatkan betapa hampirnya kita dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.

"Tak kerja ker hari ini?"

Tuesday, June 10, 2014

Sebelum singgah di ofis, saya ambil peluang untuk bersarapan pagi terlebih dahulu bersama dengan Incik Bos di sebuah restoren berdekatan ofis. Kebetulan saya berselisih bahu dengan makcik cleaner bangunan tempat saya menyewa semasi kaki melangkah menuju ke resoren.

Sempat juga beliau bertegur, "Tak kerja ker hari ini?"

"Kerja," jawab saya penuh 'confident'. Sedikitpun tiada keraguan. Cuma mengapa soalan itu ditanyakan kepada saya. Atau saya ubah soalan lain, "Perlukah soalan itu ditanya sedangkan saya memang berada di kawasan bangunan tempat saya berkerja?"

Fikir punya fikir, saya hampir mengagak sesuatu.

Pakaian yang saya pakai. Hari ini saya pakai baju t-shirt berkolar, seluar poket banyak serta sepasang selipar yang menunggu masa untuk diganti baharu. Barangkali pakaian itu bukan pakaian orang yang berkerja. Telahan saya begitu. Bukan mahu berprasangka, tetapi cuba membuat beberapa analisis terhadap soalan yang beliau tanyakan.

Dua hari lepas, soalan sama juga diajukan. Tapi oleh individu berbeza iaitu taukeh kedai buku.

"Bos tak kerja ker hari ini?" Atas bawah, atas bawah taukeh itu tenung saya.

Kebetulan pada hari itu, saya kenakan jersey pasukan Chelsea. Jersey kuning zaman Zola bermain di Chelsea. Saya masih ingat lagi.Pakaian itulah yang saya gayakan.

Ya. Pakaian yang dikenakan mampu menyebabkan orang lain bersangka sesuatu tentang diri kita. Menurut guru imej saya, "Pakaian yang digayakan mampu menentukan personaliti serta diri seseorang itu."

Orang berkopiah berjubah, disangkanya seorang yang alim.

Orang berkemeja bernecktie serta berkot hitam, disangkanya orang yang berjaya dan berkedudukan bagus.

Orang berkain pelikat, baju pagoda, disangkanya orang yang tiada wawasan serta biasa-biasa sahaja.

Dan bermacam-macam lagi.

Astaghfirullah ..
Daku mohon keampunan-Mu atas catatan ini.

Moga ada kebaikan serta manfaat untuk diambil.

Tentang Mesyuarat

Monday, June 9, 2014

 (sumber gambar : Google)

Sebelum Zohor, sempat bertukar idea serta pandangan dengan rakan kongsi bisnes. 

Banyak perkara yang dikongsikan, antaranya ialah bab mesyuarat.

Saya nyatakan bahawa bermesyuarat adalah saranan agama. Di dalam al-Quran, ia dinyatakan secara jelas sebanyak dua kali. Bahkan, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat begitu menitik beratkan bab mesyuarat.

Orang bermesyuarat, banyak kelebihannya. Dipermudah segala urusan serta berkat bersama dengannya.

CUMA .. Ada sisi lain yang cuba saya ketengah serta tonjolkan sewaktu sesi bersama rakan kongsi.

Melalui pemerhatian, saya perhati banyak kes apabila segelintir manusia yang meremehkan soal mesyuarat, kehidupannya tidak terurus. Hidup tidak tenang dan diselubungi dengan berbagai-bagai 'kesulitan'.

Pemerhatian saya itu dipersetujui oleh rakan kongsi dengan membawa beberapa contoh serta kajian kes yang telah berlaku. 

Sebagai contoh.

> Mesyuarat sepatutnya berlangsung jam 9.00 pagi, tetapi kita hadir jam 9.15 pagi. 

> Sepatutnya sewaktu mesyuarat kita membentangkan laporan, tetapi laporan itu tidak siap. Maka laporan itu tidak dibentangkan.

> Mesyuarat tidak dihadiri tanpa memberikan sebarang makluman kepada ahli mesyuarat lain.

> Ada banyak contoh lain lagi.
Kesimpulan:-

Kesalahan yang kita anggap 'kecil' itu sebenarnya memberi kesan serta impak 'besar' dalam kehidupan. Maka, usah sesekali meremehkan mesyuarat. Padanya ada pelbagai hikmah tersembunyi untuk difaham, dirasai serta diambil manfaat.

Buku 'Super Woman'

Friday, June 6, 2014


Terima kasih buat pengarang, Puan Mardiana Mat Ishak kerana hadiahkan sebuah buku 'Super Woman' yang cukup bermanfaat pada perkiraan saya. Kaver buku yang cantik telah menawan mata kasar saya untuk membacanya.

Membelek-belek buku ini membuatkan saya berfikir panjang serta merenung sedalam-dalam betapa hebatnya makhluk Allah yang bernama 'wanita'. Insan yang punyai emosi mengatasi kaum Adam bukanlah 'objek' untuk dipersia, apatah lagi untuk diperguna bagi kepentingan tertentu bagi makhluk yang bernama 'lelaki'.

Saya tumpang gembira apabila pengarang berjaya berkongsi tulisan bersama khalayak ramai, khususnya kaum wanita agar menjadi wanita yang 'super' dalam pelbagai aspek. Pelbagai kisah serta teknik dipersembah untuk dimanfaatkan agar perkataan 'super' itu benar-benar diterjemah dalam kehidupan seharian. 

Percayalah, seseorang itu tidak sesekali menjadi wanita 'super' sekiranya ia tidak ditukar dalam bentuk tindakan. Apa guna teori, teknik atau tulisan yang hebat jika ia tersimpan kukuh dalam sebuah buku. Keluarkanlah .. Terjemahkan supaya ia menjadi siri-siri tindakan yang mampu memberi manfaat serta kebaikan dalam sesebuah kehidupan.

Saya yakin dan percaya, walaupun buku ini ditujukan khas buat para wanita, tetapi ia tetap boleh dibaca serta dimanfaatkan oleh para lelaki. Setidak-tidaknya, si lelaki itu 'lebih' faham serta mampu menjiwai peranan yang boleh dimainkan oleh si wanita. Bagi saya, ia merupakan kesalingan ilmu yang boleh dicerna dalam kapasiti mencari redha Allah, Insya-Allah.

Saya sarankan agar pembaca blog saya miliki buku ini. Insya-Allah, ia pelaburan ilmu yang tidak rugi. Bahkan mampu menjadi saham pahala apabila diamalkan mengikut aturan-Nya.
 

Bersama Cikgu Zayuhisham

Tuesday, June 3, 2014


Bersama dengan penulis buku 'Suami Yang Teruji'. Sembang santai yang sarat dengan pesanan bermanfaat bermula di meja makan sebuah kedai makan dan berakhir di pejabat, cukup-cukup saya hargai. Sungguh mahal pada penilaian saya.

Antara saranan beliau yang mahu saya titipkan di sini ialah kepentingan menulis serta mencatat. Manfaatkan smartphone yang ada untuk mencatat ilmu. Ilmu yang tidak dicatat, pasti hilang. Jika diteliti kisah para ulamak terdahulu dan orang-orang berjaya, mereka begitu menekankan amalan mencatat.

"Pastikan smartphone yang kita miliki benar-benar SMART". Tegas beliau sambil mempertonton beberapa catatan yang telah dilakukan kepada saya. Allahu Akbar. 

Apabila melihat sendiri catatan beliau, saya terfikir sesuatu. "Manusia ini hebat. Allah kurniakan akal agar manusia dapat berfikir. Berfikir yang menatijahkan kebaikan serta mampu memberi manfaat kepada manusia lain."

Pertemuan yang membuka mata serta dimensi baharu dalam hidup. Insya-Allah, ada masa mahu bertemu mata serta bersembang lagi. Banyak lagi yang mahu saya kutip serta pelajari daripada penulis yang telah menulis pelbagai genre buku ini.

Akhir kata, pesan beliau bersungguh-sungguh, "Tulislah!"