Buku 'Super Woman'

Friday, June 6, 2014


Terima kasih buat pengarang, Puan Mardiana Mat Ishak kerana hadiahkan sebuah buku 'Super Woman' yang cukup bermanfaat pada perkiraan saya. Kaver buku yang cantik telah menawan mata kasar saya untuk membacanya.

Membelek-belek buku ini membuatkan saya berfikir panjang serta merenung sedalam-dalam betapa hebatnya makhluk Allah yang bernama 'wanita'. Insan yang punyai emosi mengatasi kaum Adam bukanlah 'objek' untuk dipersia, apatah lagi untuk diperguna bagi kepentingan tertentu bagi makhluk yang bernama 'lelaki'.

Saya tumpang gembira apabila pengarang berjaya berkongsi tulisan bersama khalayak ramai, khususnya kaum wanita agar menjadi wanita yang 'super' dalam pelbagai aspek. Pelbagai kisah serta teknik dipersembah untuk dimanfaatkan agar perkataan 'super' itu benar-benar diterjemah dalam kehidupan seharian. 

Percayalah, seseorang itu tidak sesekali menjadi wanita 'super' sekiranya ia tidak ditukar dalam bentuk tindakan. Apa guna teori, teknik atau tulisan yang hebat jika ia tersimpan kukuh dalam sebuah buku. Keluarkanlah .. Terjemahkan supaya ia menjadi siri-siri tindakan yang mampu memberi manfaat serta kebaikan dalam sesebuah kehidupan.

Saya yakin dan percaya, walaupun buku ini ditujukan khas buat para wanita, tetapi ia tetap boleh dibaca serta dimanfaatkan oleh para lelaki. Setidak-tidaknya, si lelaki itu 'lebih' faham serta mampu menjiwai peranan yang boleh dimainkan oleh si wanita. Bagi saya, ia merupakan kesalingan ilmu yang boleh dicerna dalam kapasiti mencari redha Allah, Insya-Allah.

Saya sarankan agar pembaca blog saya miliki buku ini. Insya-Allah, ia pelaburan ilmu yang tidak rugi. Bahkan mampu menjadi saham pahala apabila diamalkan mengikut aturan-Nya.
 

0 comments:

Post a Comment