Awal pagi Isnin, saya bersarapan dengan seorang sahabat di sebuah kedai makan di hujung bandar Kota Bharu. Tatkala sarapan hampir pada penghujungnya, tiba-tiba saya lihat sosok tubuh guru yang pernah mengajar kami sewaktu zaman sekolah menengah mendekati tempat meja kami duduk.
Mulanya beliau tidak perasan keberadaan kami sehinggalah kami menegur, "Cikgu, cikgu pun makan di sini juga?"
"Oh, kamu berdua pun turut bersarapan di sini?"
"Iya cikgu. Hmm.. Jauh cikgu datang bersarapan," sapa saya memulakan perbualan.
"Kebetulan cikgu ada urusan di Jabatan Pendidikan Negeri sekejap lagi. Jadi cikgu singgah minum-minum di sini dahulu."
Kami berdua tersenyum apabila melihat guru kesayangan bersama kami walau ia tidak dirancang.
Namun, guru tetap guru. Walau di mana kami berada, jasa guru tetap tidak terbalas. Berkat ilmu pasti mahu digalas sentiasa. Ilmu tanpa berkat, sia-sia. Keberkatan ilmu selalunya hadir apabila diri mula menghormati insan yang banyak berjasa ini. Siapapun kita, walau di mana taraf kita, guru merupakan insan yang begitu berbudi yang telah mencorak diri kami.
Sebelum beredar, kami sempat bersalaman dan sahabat saya dalam diam-diam membayar apa yang guru saya makan serta minum. Yang paling saya suka, sarapan saya turut dibayar oleh beliau.
Saya suka!
Senyum.
0 comments:
Post a Comment