Memuliakan Ibu Bapa

Monday, January 21, 2013

Lebih kurang jam 11.30 pagi, saya ada menulis satu status di laman Facebook berkaitan memuliakan ibu bapa. Status tercatat adalah sepertimana di bawah:-
 
“Mulianya kita di sisi Tuhan kelak banyak bergantung kepada cara kita memuliakan ibu bapa kita sewaktu di dunia.”

Allah memuliakan mereka yang memuliakan ibu bapanya sewaktu di dunia. Malah, Allah pasti memuliakan juga mereka yang tidak jemu-jemu mengirimkan doa serta menjadi anak yang soleh atau solehah untuk ibu bapanya yang sudah meninggalkan alam dunia ini. Itulah maksud asal mengapa status itu ditulis.

10 minit sebelum jam 1 tengahari, ibu saya di kampung ada menelefon. Bertanya khabar cucu kesayangan serta sempat meninggalkan persoalan bilakah mahu berjumpa dengannya. Ingatan saya terus kembali mengingati bait-bait status yang ditulis pada awal pagi tadi. Ia cukup menyentak hati serta perasaan. Apakah ia merupakan ‘ujian’ ke atas apa yang ditulis?

Allah...Allah...Allah...

Walaupun pertanyaan itu kelihatan kecil, namun ia cukup besar pada pandangan seorang ibu dan bapa, barangkali. Mulut sentiasa digoda oleh syaitan serta nafsu untuk memberikan alasan itu dan ini. Magnet untuk tidak menunaikan permintaan kecil itu sungguh kuat. Nafsu pula sangat seronok jika kita mengabaikan permintaan baik-baik, apatah lagi permintaan itu datang daripada kedua ibu bapa pula.

Sebab itu, ada ingatan Allah di dalam al-Quran yang menuntut kita tidak menjadi anak derhaka walau hanya dengan berkata ‘Ahh...’  Cara derhaka itu pelbagai. Malah, cara untuk tidak menderhaka juga pelbagai. Jadi, memilih untuk tidak melakukan cara derhaka itu merupakan salah satu cara kita memuliakan ibu bapa sewaktu di dunia ini.  

Walaupun persoalan itu kecil dan ringkas, namun untuk menghurai melalui perkataan atau mencontoh melalui perbuatan tidak semudah yang disangka. Terkadang ia banyak melukakan daripada memuliakan mereka. Terkadang ia banyak menyakitkan daripada menyembuhkan mereka. Ia perlu kepada usaha serta mujahadah yang berterusan.

Teringat satu kata-kata daripada sebuah buku ‘Dari Lubuk Hati Ibu’:- 

“Kalau kau sudah habis belajar dan bekerja, masih ingatkah kau pada ibu lagi? Tidak banyak yang ibu inginkan... Hanya menyapa ibu pun cukuplah.”  

Allahu rabbi...Kata-kata ini memang tepat pada masanya. 

Mohonlah dari-Nya supaya digolongkan di kalangan mereka yang memuliakan kedua ibu bapa kita. Sama ada yang masih hidup ataupun telah pergi buat selama-lamanya, teruskan berdoa.

"Ya Allah, perkuatkan diriku untuk terus memuliakan kedua ibu bapaku sewaktu mereka masih bernafas serta rahamtilah ibu mertuaku yang telah lama pergi mengadap-Mu."


Kisah Burung

Saturday, January 19, 2013

Subhanallah...Maha Suci Allah...
Alam ini dicipta untuk menyedarkan kita banyak perkara. Antaranya ialah untuk menambah rasa iman di dalam hati.

Sewaktu memerhati burung-burung berterbangan yang seronok bersiulan, Allah ilhamkan sesuatu. Sesuatu untuk direnungi, difikir seterusnya diambil pengajaran.

Seawal pagi, burung sudah keluar untuk mencari makanan kepada ahli keluarganya. Terbang ke sana ke mari, dengan satu tujuan. Sungguh sibuk. Tidak terbang tanpa tujuan. Itulah fikiran saya terhadap burung-burung yang dilihat.

Kebetulan ada seekor burung sedang hinggap di dahan. Pada paruhnya ada seekor cacing kecil yang dibawa. Mungkin berhenti menghilangkan penat barangkali. Sebab itulah burung tersebut hinggap seketika sebelum menyambung perjalanan pulang. Ahli keluarganya sudah tidak sabar-sabar untuk menikmati rezeki cacing yang dibawa pulang.

Perjalanan hidup seekor burung ada pengajaran 'iman' untuk dirasai. Mana mungkin Allah menciptakan burung sia-sia? Ia tidak lain hanyalah untuk memberi pengajaran kepada manusia agar rajin berfikir tentang kejadian alam serta makhluk ciptaan-Nya.

 
Di sebalik kisah burung, ada juga kisah iman.

Mencari Keberkatan Masa

Tuesday, January 15, 2013

Masa adalah kehidupan kita.

Seringkali kita berbicara tentang masa. Telinga juga kerap kali terdengar perkataan 'masa' disebut-sebut serta diceramahkan.

Kaitannya cukup banyak. Pembahagian masa pula pelbagai.

Ada masa untuk diri, masa untuk keluarga, masa untuk ibu bapa, masa untuk sahabat-handai, masa untuk masyarakat, masa untuk kerja, masa untuk itu dan ini. Terkadang, terlupa untuk diagihkan masa untuk Allah. Jika diagih, mungkin tidak sebanyak masa-masa untuk perkara yang dinyatakan tadi. Lumrahnya begitu.

Maka, masa itu hanya 24 jam sahaja. Jika mahu diagih atau dibahagi, barangkali tidak cukup. Tidak cukup pada akal serta 'cara kita' mengagih barangkali. Kiraan orang kebanyakan sering 'tidak cukup' dengan masa yang ada di tangan.

Selain itu, masa juga berkait rapat dengan soal 'keberkatan'. Ada orang berjaya melakukan itu dan ini dan ada pula tidak berjaya. Selain faktor pengurusan masa, ada faktor yang lebih besar untuk dilihat serta diteliti, iaitu faktor 'berkat'.

Sesungguhnya berkat masa itu amat dirasai oleh mereka yang memahami 'masa sebenar' di sisi agama. Sesaat, seminit, sejam, sehari atau setahun, ia cukup bermanfaat. 

Lalu, sepanjang tahun silih berganti, hari silih berganti, jam silih berganti, minit silih berganti, saat silih berganti, semuanya ada persoalan untuk ditanya. Apakah masa itu benar-benar memberi manfaat untuk kehidupan kita? Jawapan ada pada diri kita. Sekali-sekala, luangkan masa untuk bertanya pada diri sendiri. Pasti kita ada jawapan hakiki. 

Maksud ayat 16, surah al-Hadiid cukup memberi kesan sewaktu menukilkan entri ringkas ini. Ia ingatan bersama bagi yang mahu mengambil pengajaran serta pelajaran.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."
 
Astaghfirullah...Mohon perlindungan serta dijauhkan sepertimana maksud ayat di atas.

Didoakan kita tergolong di kalangan insan yang mencari keberkatan masa.
 

Hari Terakhir 2012

Monday, December 31, 2012

Hari ini merupakan hari terakhir kita berada pada tahun 2012. Pelbagai peristiwa tercatat sepanjang tahun 2012, sama ada ia suka ataupun duka, manis ataupun pahit, berjaya ataupun gagal, semuanya menjadi catatan memori yang bukan sekadar untuk diingati, malah untuk dijadikan muhasabah.

Rata-rata di kalangan kita bercakap dan menulis tentang 'azam baharu' ataupun 'perancangan 2013' tatkala tahun 2012 berada di penghujungnya. Itu tidak salah, bahkan amat digalakkan.

Namun, untuk membaca tulisan yang mengajak untuk memuhasah, 'post-mortem' serta membuat penilaian sepanjang tahun 2012 agak sukar, Jika ada sekalipun, ia tidak banyak. Mungkin ada ditulis untuk beberapa perenggan sahaja.

Bermuhasabah sebenarnya adalah sifat terpuji. Sifat para nabi dan juga para sahabat yang dimuliakan Allah. Setiap masa, setiap jam serta setiap hari mereka akan membuat muhasabah. Melaluinya kita dapat mengenal diri serta bertindak di atas muhasabah yang dilakukan.

Kita tahu kelebihan, kekurangan, kekuatan, kelemahan diri secara lebih spesifik jika muhasabah yang dilakukan benar-benar jujur dilakukan. Muhasabah tidak terhad untuk diri sendiri sahaja, ia boleh diaplikasi juga kepada keluarga kita, organisasi, tempat kerja, masyarakat hatta di peringkat yang lebih besar.

"Jika hari ini lebih baik daripada hari semalam, maka kita adalah golongan yang beruntung. Jika hari ini lebih buruk daripada hari semalam, maka kita adalah golongan yang rugi. Jika hari ini lebih teruk daripada hari semalam, maka kita adalah golongan yang celaka." Kata-kata tersebut cukup menjadi ingatan agar sentiasa menjadikan hari ini lebih baik daripada hari semalam. Jika kita merenungi serta menghayati kata-kata tersebut, pasti ia sudah cukup untuk dijadikan pencetus kepada muhasabah diri sendiri. 

Mudah-mudahan kedatangan tahun baharu 2013 dapat memberi 1001 kebaikan dan manfaat untuk diri kita. Apalah guna tahun baharu, azam baharu, perancangan baharu jika diri sendiri tidak sudi mahu diperbaharui serta diperbaiki.

Didoakan kita digolongkan di kalangan mereka yang baik amalnya apabila usia meningkat. Pesan nabi yang direkodkan oleh al-Tirmizi, "Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya."

Raikan tahun baharu ini dengan penuh kesyukuran. 

Musim Hujan

Sunday, December 23, 2012

Ketika saat entri ini ditulis, hujan masih lebat turun di bumi Kelantan. Saya fikir hujan ini juga lebat di kebanyakan tempat dan negeri di Malaysia.

Al-maklum, sekarang musim hujan di negeri-negeri Pantai Timur. Mengikut pembelajaran Geografi pada suatu masa dahulu, musim ini dikenali sebagai Monsun Timur Laut. Biasanya ia bermula pada bulan Oktober sehinggalah awal bulan Februari. Itu mengikut ilmu Geografi dan mungkin banyak berkait dengan Jabatan Mateorologi yang mengurus tadbir berkaitan dengan cuaca di negara kita.

Pokoknya, apa jua musim yang ada di dunia ini ia banyak berkait dengan kekuasaan Allah. Allah amat berkuasa dalam penciptaan-Nya. Tiada sedikitpun kelemahan serta kekurangan kerana sifat Allah itu juga Maha Mengetahui.

Apa kaitan 'musim hujan' dengan Allah?

Kaitannya hanyalah satu. Untuk kita terus sujud dan menjadi hamba-Nya yang taat.

Segala kejadian di atas muka bumi ini bersebab. Ada tujuannya. Tidak dijadikan sia-sia. Hanya kita yang perlu 'melihat' setiap kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Bukan sekadar melihat dengan mata fizikal, lihat juga dengan mata hati.

Walaupun dengan musim hujan, ia ada kaitan dengan diri kita dan masa depan kita. Bukan untuk mengeluh ketika saat hujan lebat atau banjir melanda, kerana ia merupakan sebahagian daripada ujian keimanan untuk kita hadapi.


Mengambil Kesempatan

Tuesday, December 4, 2012

(Kredit foto kepada Google.com)


Kehidupan kita tidak pernah sunyi dengan pelbagai nikmat tersedia. Jika mahu dihitung nikmat-nikmat-Nya, pasti tidak terhitung. 

Nikmat tidak menjadi nikmat hakiki sekiranya kita tidak tahu untuk bersyukur. Adakalanya nikmat yang hadir menjadi ujian serta fitnah di kemudian hari. Apa tidaknya, nikmat dapat makan minum, jika kita menyalahgunakan nikmat tersebut, ia bakal mendatangkan mudarat kepada sistem tubuh badan. Mampu membawa kepada penyakit yang akhirnya sistem tubuh badan gagal berfungsi dengan baik. Walhal, pada awalnya kita diizinkan untuk menggunakan nikmat makan minum tersebut tanpa ada masalah sedikitpun.

Amat benarlah pesan Nabi yang bermaksud, “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Salah satunya ialah waktu sihat sebelum datangnya waktu sakit.” Pesan Baginda Rasulullah amat berkait rapat dengan kesempatan. Andai kita tidak merebut kesempatan yang ada, natijahnya amatlah berbeza. Begitulah maksud tersiratnya.

Mengambil kesempatan untuk melakukan kebaikan serta amal soleh amatlah dituntut oleh agama. Insan yang dikelilingi dengan kebaikan-kebaikan pastinya sukar untuk melakukan kejahatan walaupun musuh yang menggoda itu pelbagai. Bayangkan diri kita dikelilingi dengan kejahatan-kejahatan, apakah kita kuat untuk melakukan kebaikan kecil? Jika mampu sekalipun, ia memerlukan mujahadah serta usaha luar biasa yang berterusan di samping tidak putus-putus memohon doa serta petunjuk untuk dibukakan pintu kebaikan. 

Adakalanya kesempatan itu disalahguna oleh diri sendiri. Seringkali kita terkhilaf untuk mentafsirkan makna ‘mengambil kesempatan’. Contoh yang mahu saya kongsikan ialah persoalan amanah atau integriti sewaktu melunaskan tanggungjawab atau tugasan.

Khilafnya begini, si A merupakan penjawat awam atau pekerja swasta yang menguruskan bahagian projek. Kebetulan pula si B merupakan seorang ahli bisnes yang ada kaitan dengan bahagian projek tersebut. Pasti si B mahukan projek tersebut kerana ia ada kaitan dengan kebolehannya dan si A juga pasti mahu menguruskan bahagian projek yang diamanahkan sebaik mungkin. 

Persoalannya ialah sekiranya si A dan si B itu merupakan pasangan suami isteri atau rakan bisnes atau memang mempunyai pertalian persaudaraan yang erat, misalnya pertalian adik-beradik, sahabat-handai atau kaum kerabat, adakah kita mampu untuk tidak ‘mengambil kesempatan’ pada waktu itu?

Sebaik mana cara kita ‘mengambil kesempatan’ itu, adakalanya ia menguji tahap amanah serta kejujuran diri. Apatah lagi ia melibatkan urusan yang mempunyai kepentingan ramai, tidak diri sendiri.

Ketika menyiapkan entri ini, berkali-kali saya merenung maksud ayat 8, surah al-Maa’idah:-

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dengan tidak menafikan kata-kata berikut, ‘bijak mengambil peluang’, ‘gunakan peluang sebaiknya’, ‘inilah peluang kita’, ‘jangan sia-siakan peluang keemasan ini’ serta pelbagai lagi, ia tidak sedikitpun membolehkan kita untuk bebas bertindak tanpa mengikut neraca amanah, integriti, kejujuran serta adil.

Sungguh, ‘mengambil kesempatan’ itu tidak salah selagimana kita mampu berlaku adil. 

Bahkan, adil itu amat dekat dengan taqwa.

Maka sudah tentu ujiannya bukanlah mudah!

Masa Itu Mahal

Monday, December 3, 2012


Bertemu dengan mentor penulisan serta penulis buku. Bukan sekadar bertemu mata, tetapi bertemu untuk belajar melalui pengalaman mereka.

“Idea mereka sudahpun berjaya dibukukan!” Fikir saya sendirian selepas sesi bergambar dengan mereka.

Saya terus bermonolog, “Idea saya, bila lagi?”

Jawapan kepada monolog, hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya. Orang di sekeliling mampu memberi dorongan. Adakalanya banyak tertewas dengan diri sendiri. Musuh utama adalah minda bercelaru serta nafsu menggoda untuk tidak membukukan idea-idea. Allahu rabbi…

Peringatan demi peringatan sering dibaca. Seringkali juga diingatkan oleh orang lain. Pokoknya, diri sendiri juga yang terus lalai dan leka. Cabaran besar datangnya daripada diri sendiri, bukan orang lain. 

Saya amat tertarik dengan mentor penulisan, Tuan Zamri Mohamad yang berkata, “Masa kita adalah mahal. Melainkan kita biarkan ia menjadi murah di tangan orang lain.” Tersentak apabila mendengarnya buat pertama kali. Kata-katanya menusuk kalbu. Ibarat jarum peniti tertusuk jari kecil. Sakitnya tidak terperi. Kesannya cukup mendalam. Amat berbekas hingga pada saat entri ini ditulis.

Pesan penulis yang menggelarkan dirinya sebagai Web Sutera pula, “Tulis sahaja. Insha Allah, Tuan boleh lakukannya.”

Saya amat menghargai saat pertemuan serta perkongsian yang dicurahkan. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya. 

Kini, saya bertekad untuk menjadikan masa saya mahal. 

Hakikatnya, masa itu amat mahal untuk saya bazirkan.