Rezeki Berselfie

Tuesday, May 20, 2014


Selfie?

Apa ada pada selfie? 

Sebelum ini saya pernah berselfie dengan kubah Masjid Negeri Shah Alam. Rupa-rupanya saya tersalah faham tentang maksud berselfie sehingga menyebabkan saya merujuk Kamus Oxford versi online untuk mengetahui makna sebenar 'selfie' itu. Ternyata saya silap dan tidak memahami makna selfie itu.

Daripada situ, saya terus belajar berselfie. Berselfie dengan kaedah yang betul. Sehinggalah sahabat baik memperturun ilmu selfie dengan caranya sekali. Alhamdulillah .. Ia menjadi. Kata-kata yang masih saya ingati ialah, "Fokus .. Fokus .."

Dipendekkan cerita, kisah selfie saya ini tidak habis di situ sahaja. Ia berpanjangan sehinggalah saat entri ini ditulis. Sewaktu melakukan pembelian buku secara online, mata saya terpana pada satu peraduan yang dianjurkan oleh syarikat buku PTS. Tajuk peraduan jelas tertulis 'Beli dan Berselfie'.

Detik hati, ini adalah ruang sebenar untuk membuktikan bahawa segala ilmu selfie yang dipelajari selama ini boleh diuji kebenarannya. Saya mula mengambil langkah serius. Benak fikiran tetap keras berkata, "Ilmu tanpa amal, sia-sia .."

Saya sertai peraduan tersebut dan apa yang menakjubkan ialah saya mendapat rezeki hadiah saguhati sebuah buku berjudul 'Kamal Attartuk' terbitan PTS. Allahu Akbar ... Walaupun hadiah saguhati, setidak-tidaknya ia mampu mengubati segala 'kesilapan' sewaktu mula-mula berselfie. Kini, saya semakin faham mengapa segelintir orang begitu suka dan mahu berselfie. Sama ada ia sekadar ikut-ikutan atau ada sisi lain pada kisah selfie mereka itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Bagi saya, ini adalah sebahagian 'kecil' kisah berselfie yang mahu saya tatapkan buat bacaan pembaca budiman blog saya.

Berselfie - Terkadang ia mampu menjadi nikmat serta rezeki yang perlu disyukuri.

Astaghfirullah .. Daku mohon keampunan-Mu ya Allah!






Mikrofon atau pen?

Sunday, May 11, 2014

Bismillah. Ini perbualan ringkas saya bersama dengan seorang sahabat peguam di bangku mahkamah tadi.

"Banyak dapat jemputan ceramah?"
Soalan itu terpancul disebabkan oleh topik motivasi yang kami bualkan. Saya sendiri tidak tahu mengapa topik motivasi menjadi topik pilihan kami bersama.

"Ada sikit-sikit.. Tapi kebanyakkan saya tolak." Jawab saya ringkas sambil menguntumkan senyuman manis.

"Kenapa pula?"

"Takut berceramah. Malah saya sendiri memang tidak suka bercakap di hadapan khalayak .. Jika berceramah sekalipun, kuantitinya mestilah kecil dan tidak terlalu besar." Terang saya panjang lebar.

Sahabat peguam saya tersenyum sahaja.

Saya terus menambah, "Jika diberi pilihan sama ada memegang mikrofon atau pen, saya suka pegang pen. Pen itu saya ibaratkan tulisan-tulisan dan mikrofon itu saya ibaratkan ceramah-ceramah."

Kali ini saya lihat sahabat peguam mula mengangguk-angguk kepalanya. Sama ada benar-benar bersetuju atau buat-buat setuju, saya tidak tahu. Yang pasti, jawapan saya itu mampu membuatkan beliau tersenyum buat kesekian kalinya.

Kanak-Kanak Itu ...

Friday, May 9, 2014

Ini kisah semalam.. Semasa menunggu bilal melaungkan iqamat untuk bersolat Isya' di sebuah surau, saya sempat menegur seorang kanak-kanak yang kebetulan berada di sebelah saya.

Saya tegur penuh santun, "Tadi adik belajar al-Quran ya?"

"Ya, bang."


Soalan itu dikemukan bersebab. Sebelum itu, saya perhatikan beliau bersama-sama dengan rakannya yang lain berada dalam satu halaqah (bulatan) al-Quran. Ada lebih kurang empat lima orang juga.

"Memang tiap-tiap malam belajar al-Quran?"

"Tak juga. Ada jadual ditetapkan."

"Oh, baguslah. Abang suka orang belajar al-Quran. Erm, nama adik apa ya?"


"Abdullah ..."
perlahan sahaja suaranya memberitahu saya. Saya yang kurang jelas dengan jawapan tersebut meminta agar beliau mengulangi sekali lagi.

"Nama apa? Abang tak dengar tadi," pinta saya.

"Abdullah."

"Umur berapa tahun?"

"9 tahun, bang."

"Oh, maknanya sekolah darjah tiga lah ya?"


"Ya. Tapi saya tak bersekolah macam orang lain bersekolah."

"Kenapa?"

"Saya dihantar ke sini oleh ibu bapa untuk belajar agama. Saya tidak tahu mengapa mereka hantar saya ke sini..."


Bicara kanak-kanak ini terhenti. Mungkin menyembunyikan sesuatu daripada saya. Saya pula tidak bercadang mengorek rahsia mengapa beliau memberi jawapan sebegitu.

Pasti ada sebab mengapa beliau dihantar untuk belajar agama di sebuah tempat yang dikendalikan oleh sebuah NGO yang sudah tidak asing di negara ini.

"Allahu Akbar ... Allahu Akbar ..." Kedengaran suara bilal memulakan iqamat. Tanda bagi kami berdua agar sama-sama bangun daripada tempat duduk untuk bersolat Isya.

Sebelum itu, saya sempat bertanyakan soalan terakhir buat beliau, "Seronok tak bersekolah di sini?"

"Seronok ... Tapi saya tak boleh tengok muka ibu bapa saya sepertimana orang lain tengok. Kena tinggal di asrama."

Allahu rabbi ... Terkedu dengan jawapan akhir beliau. Seorang kanak-kanak berumur 9 tahun dan sudah pun 'berpisah' kasih-sayang membuatkan saya berfikir sedalam-dalamnya erti syukur. Dipertemu dengan kanak-kanak ini merupakan catatan takdir Allah buat diri saya.

Ia begitu ..  Pasti ada hikmah di sebalik takdir.

Makna 'selfie'

Monday, April 28, 2014

16 jam yang lalu, saya ada uploadkan gambar 'selfie' diri saya bersama dengan kubah Masjid Negeri Shah Alam. Sepanjang tempoh tersebut, ada rakan-rakan FB yang ikhlas memberi teguran dan menyatakan bahawa itu bukanlah 'selfie'.

Disebabkan teguran yang diterima itu, minda saya tersentak beberapa tika. Maklum sahaja, baharu berjinak-jinak dengan aktiviti 'selfie' katakan. Diri terlebih 'excited' seketika. Sehinggakan maksud 'selfie' itu sendiri tidak kena dengan gambar yang di'post'kan.

Pagi ini saya buat sedikit 'research' dan merujuk Kamus Oxford versi online.

Maksud 'selfie' ialah 'A photograph that one has taken of oneself, typically one taken with a smartphone or webcam and uploaded to a social media website'.

Maka, gambar yang diuploadkan semalam ternyata bukannya 'selfie', ia langsung tidak menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh makna selfie menurut kamus Oxford ini.

Bersalahnya saya apabila melakukan sesuatu tanpa memahami sebetul-betulnya akan perkara itu. Maafkan saya! Buat yang bertegur, terima kasih banyak-banyak. Saya suka apabila ada insan yang sudi memberikan teguran untuk membaiki diri saya.
 
Di samping itu, saya suka kongsikan apa yang telah dihuraikan pada Kamus Oxford  berkenaan dengan 'selfie'.

"Occasional selfies are acceptable, but posting a new picture of yourself every day isn’t necessary."

Huraian itu merupakan teguran bermakna untuk diperhatikan... Moga ada manfaat melalui catatan kecil ini. Astaghfirullah ...

Antara GPS dan Papan Tanda Jalan

Sunday, April 13, 2014

Segelintir manusia begitu memerlukan GPS untuk menunjuk arah perjalanan agar tidak tersesat. Jika GPS itu kata, 'turn right' maka kita pun 'turn right'. Jika GPS itu kata 'turn left', maka kita pun 'turn left'. Percaya sungguh kita pada GPS ini.

Bagaimana pula sekiranya GPS itu tidak 'detect' atau menunjukkan arah yang kurang tepat. Untuk ke tempat XYZ sepatutnya kita perlu melalui laluan A sahaja, tetapi dipusing-pusingnya sehingga kita perlu melalui laluan B dan C.

Maka fungsi PAPAN TANDA JALAN cukup-cukup membantu agar perjalanan kita sentiasa terarah dan betul. Papan tanda juga memperkukuh apa yang dinyatakan oleh GPS jika kita benar-benar memanfaatkannya. Tatkala kebanjiran pelbagai aplikasi GPS, papan-papan tanda tetap gagah terpacak di bahu jalan. Keduanya-sua saling melengkapi. Dua-dua itu penting.

Hidup ini pun begitu. Ada GPS dan PAPAN TANDA untuk dipatuhi serta diikuti. Salah satu tiada, pasti pincang. Bahkan pasti tersesat.

Bagi yang beragama Islam, Al-Quran dan As-Sunnah itulah GPS serta Papan Tanda dalam kehidupan. Membiarkan atau menolaknya membawa bahana pada diri serta bencana pada ummah. Ia saling lengkap-melengkapi dan mempunyai hubung kesalingan yang tidak boleh dipisahkan.

Ibarat saya begitu ...

Terputus ...

Dua hari diuji dengan kerosakan telefon hampir-hampir membuat saya panik dan pitam. Dua hari itu juga saya terputus hubungan serta maklumat-maklumat bermanfaat di FB. Dua hari itu juga saya TERPUTUS hampir segala-galanya... Ya. Hampir segala-galanya. Segala-gala yang masih punya batasan dan had.

Saya cukup terkesan apabila rakan-rakan yang berada di Lembah Klang yang kini diuji dengan masalah air. Keperluan seharian dicatu dan ia sedikit menduga kesabaran dan segala bagai sifat dan sikap tatkala berhadapan dengan situasi tersebut. TERPUTUS sumber air mampu menyebabkan jiwa sesak dan kehidupan tidak tentu arah. Fikir dan rasa saya begitulah.

Jika TERPUTUS hubungan di alam maya pun saya sudah panik, apalah nasib saya kelak sekiranya TERPUTUS hubungan dengan alam dunia ini ... Cukupkah amalan yang ada untuk dijadikan bekal kelak? Berfikir mengenainya mampu menyebabkan saya berasa takut dan serba salah dengan apa yang dilakukan selama ini diterima oleh Allah SWT ataupun sebaliknya.

Benarlah pesanan orang lama-lama tentang nikmat yang dikecapi sewaktu berada di muka bumi, "Jika tidak sakit, manusia belum tentu ingat sewaktu sihat. Apabila diberi sakit, maka mulalah mengingati nikmat sihat. Mahu dilakukan itu dan ini... Bagaimana jika diri sudah mati? Terputus nyawa dari halkum? Apakah mampu mengingati nikmat hidup? Waktu itu kita tidak boleh lagi kembali ke muka bumi lagi ..."

Sungguh, TERPUTUS mampu menyebabkan saya terfikir bahawa apa sahaja yang ada di dunia ini TIDAK KEKAL dan SEMENTARA cuma. TERPUTUS boleh berlaku dalam pelbagai cara dan keadaan.

 Astaghfirullah...

Kerja - Pilih atau Memilih?

Friday, April 4, 2014


Pagi Sabtu nan tenang, saya perlu ke pejabat untuk menunaikan janji temu bersama klien. Kebetulan klien saya ini merupakan seorang guru dan hampir kebanyakkan waktu pada hari berkerja beliau dihabiskan di sekolah. Ruang serta peluang untuk bertemu pada hari berkerja agak tipis kerana ia memerlukan keizinan daripada majikan tempat beliau menabur bakti terlebih dahulu.

“Kalau hari Sabtu boleh tak saya nak jumpa?”

“Kebiasaan pejabat saya tutup pada cuti hujung minggu. Kalau buka sekalipun bergantung pada temu janji yang dilakukan. Jika ia sesuai, Insya-Allah saya datang.” Terang saya sejelas-jelas agar tidak terkeliru di kemudian hari.

“Kalau begitu, hari Sabtu (5/4/2014) free tak?”

“Kejap ya... Saya perlu semak diari kerja saya terlebih dahulu. Takut-takut ada urusan yang tidak boleh saya elakkan.”

Diari kerja yang ada di atas meja saya belek-belek. Saya tatap betul-betul jadual kerja pada bulan April 2014. Selang beberapa tika, saya memberitahu beliau, “Okey.. Sabtu ini antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, boleh?”

“Okey... Saya jumpa encik pada hari Sabtu ya!” Jawab beliau penuh girang selepas kata putus untuk temu janji dimeterai.

Sabtu, 5 April 2014

Lebih kurang jam 9.20 pagi, satu mesej memasuki peti kotak mesej telefon saya. Saya buka dan baca mesej tersebut.

“Encik Firdaus, Jadi ker pagi ni nak bertemu?”

Saya sedikit kehairanan. Akal tertanya-tanya juga, “Tidak jadikah?”, “Bukankah dah diputuskan mahu bertemu?”

Agar akal tidak berfikir yang bukan-bukan, saya balas mesej kepada beliau dan menyatakan, “Insya-Allah, jadi. Saya sudahpun berada di pejabat sekarang.”

“Ok.” Balas mesej beliau.

Hampir 20 minit saya berurusan, beliau ada bertanyakan saya mengapa pilih untuk jadi peguam. Tidak berkerja dengan kerajaan atau orang lain.

Soalan beliau memerlukan jawapan panjang dan terkadang sukar untuk saya jelaskan dalam tempoh masa yang singkat. Saya beitahu kepada beliau, “Sejujurnya saya begitu sayangkan ijazah undang-undang yang saya miliki. Hampir enam tahun berpenat lelah, saya fikir untuk berada dalam bidang kepeguaman secara langsung menjadi fardhu kifayah saya. Maka pada saat itu, saya bermohon agar Allah tunjukkan sebaik-baik jalan untuk saya ikuti.”

Matanya begitu fokus terhadap saya. Mungkin apa yang dikongsikan itu agak berat untuk beliau terima dan fahami. Atau mungkin... Entahlah...

Tiba-tiba...Beliau membuka mulut dan memberitahu sesuatu.

“Saya cukup kagum apabila encik dapat praktis apa yang dipelajari. Bukan semua graduan lakukan apa yang beliau pelajari. Sehinggakan saya sendiri berpesan kepada anak murid saya sendiri, 'Kerja apa sahaja kelak. Jangan memilih kerja!'”

Selagimana kerja itu didasari serta dilakukan semata-mata kerana Allah, maka ia pasti baik buat kita. Memilih berdasarkan ilmu dan iman tidak sama dengan memilih tanpa salah satu daripadanya. Apatah lagi ia didasari oleh nafsu yang sukar diuruskan.

Tanyalah ke dalam diri, pasti ada jawapannya.
Kerja- Pilih atau memilih?

Senyum!