Sakit Tekak

Wednesday, October 17, 2012


Hampir tiga hari tekak saya sakit. Rasa sakitnya cukup terasa apabila mahu menelan makanan atau meneguk minuman. 

Allah Rabbi…Terkadang terfikir juga dengan kesakitan ini ada pula hikmahnya. Hikmah hadir apabila kita mampu bersabar dan redha pada permulaan kesakitan, bukannya pada pertengahan atau penghujung kesakitan.

Jika difikirkan, sakit tekak dan sakit lidah seakan-akan tiada beza yang besar kerana ia berada pada bahagian yang berhampiran. Namun, ia tidak begitu. Malah, bezanya cukup ketara besarnya.

Jika sakit lidah, kita berhadapan dengan kesukaran untuk mengunyah dan merasai ‘rasa’ makanan. Lidah sukar berfungsi dengan baik untuk menyatakan bahawa makanan itu sedap, manis, tawar, pahit dan sebagainya.

Manakala sakit tekak pula tidak begitu. Kita masih lagi dapat merasai nikmat ‘rasa’ makanan kerana fungsi lidah tidak terjejas. Yang sakitnya adalah ketika mahu menelannya.

Bahkan, kesan sakit tekak juga menidakkan untuk bercakap atau berkomunikasi dengan baik. Sekali-sekala, diam itu adalah ubatnya. 

Apapun sakit yang kita alami, pada bahagian mana sekalipun, mengeluh atau merungut bukanlah cara penyelesaiannya. Tidak pelik kalau dikatakan bahawa orang sakit ini laju pula sifat marahnya. Jadi ubat terbaik ialah bersabar pada permulaan kesakitan yang dialami. Insha Allah…Segala sifat negatif dan mazmumah dapat dikekang dengan baik.

Melalui sakit juga, sebenarnya Allah mahu kita kreatif untuk menyelesaikan pelbagai perkara dalam hidup. Misal kata, melalui sakit tekak, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan makan minum seharian. Walaupun tidak lancar untuk berkata-kata, mungkin kita lancar untuk menaip dokumen di pejabat, menjawab maklum balas pertanyaan emel atau melakukan kerja-kerja bersifat teknikal seperti membayar bil yang bertimbun-timbun banyaknya di atas meja kita, membasuh kereta, menyapu sampah dan pelbagai lagi.

Walaupun ujian sakit tekak ini perit, namun padanya ada hikmah untuk direnungi.

Kisah Pemuda dan Telefon

Thursday, October 11, 2012

Ketika berjalan-jalan ke TM Point, saya lihat ada seorang pemuda sedang duduk-duduk di kaki lima. Pemuda yang saya tidak kenali itu kelihatan agak gelisah dan matanya menjeling tepat ke arah saya.

"Bang, telefon! Tengoklah dahulu." Tegur pemuda itu sambil menghulurkan telefon bimbit jenama Samsung. Cuma Samsung model mana, saya tidak pasti. Saya hanya melihat dari jauh tanpa memegangnya.

"Berapa bang?" Saya memulakan soalan biasa-biasa terlebih dahulu. Mahu mendapatkan maklumat serba-sedikit.

"RM600!" Pemuda itu memberitahu dengan suara yang agak perlahan pada kali ini.

"RM600? Tak apalah bang, lagipun saya tak ada duit!" Jawab saya dengan suara yang agak kuat sedikit. Sengaja saya buat-buat terkejut.

"Abang tengoklah dahulu. Harga boleh bagi rendah lagi. Tengoklah bang!" Pemuda itu kelihatan terdesak. Berapa harganya sudah tidak diendahkan lagi.

"Maaflah bang...Saya ada urusan segera. Lagipun saya tak ada duit sebanyak itu." Saya memberitahu pemuda itu elok-elok dan segera meninggalkan kawasan tempat pemuda itu duduk-duduk.

Ketika menuju ke TM Point, saya berfikir tentang telefon yang mahu dijualnya. Mengapa pemuda itu kelihatan sungguh terdesak untuk menjual telefonnya.

"Apakah telefon itu miliknya sendiri atau hasil curi?"

Astaghfirullah...Fikiran mula berfikir bukan-bukan.

Saya tidak boleh menuduhnya bukan-bukan kerana saya tiada maklumat yang cukup untuk mengatakan bahawa telefon tersebut adalah miliknya sendiri ataupun hasil curi. Mungkin pemuda itu memerlukan duit dalam kadar segera. 

Saya pun tidak tahu.

Seberang Takir

Tuesday, October 9, 2012


Sudah tiga hari berada di Seberang Takir, Terengganu. Jika dilihat pada nama, mungkin tiada apa-apa. Sama sahaja dengan nama-nama tempat lain. Begitulah pandangan kita seandainya kita hanya melihat dengan mata fizikal sahaja. 

Bezanya tidak banyak barangkali. Namun, nikmat berada di tempat-tempat berbeza adalah di antara nikmat yang tidak mampu saya dustakan. Seolah-olah Tuhan mahu membuka mata fizikal saya untuk melihat tempat lain agar untuk disyukuri.

Sebahagian daripada kita, mungkin telah tiba di pelbagai tempat. Di dalam mahupun di luar negara. Pasti cerita-cerita menarik ada padanya. Di situ jugalah pengalaman-pengalaman baharu diperolehi. Benarlah kata pepatah, "Jauh berjalan, banyak pengalaman."

Berada di Seberang Takir dengan misi membangunkan potensi diri serta memandaikan ummah, bukan calang-calang misi. Visi dan misi yang amat dituntut oleh agama sendiri. Tidakkah Tuhan sentiasa menyuruh agar kita melakukan kebaikan dan perubahan? Kebaikan dan perubahan tidak mampu dicapai seandainya kita selesa dengan keadaan yang ada pada hari ini. Jika hari ini sudah satu kebaikan yang telah kita lakukan, kita tidak boleh berasa cukup dengan satu kebaikan tersebut. Kita digalakkan untuk menambah kebaikan tersebut kepada dua, tiga dan seterusnya. 

Analoginya mudah sahaja, kebaikan tersebut tidak mampu ditambah seandainya tidak disertai dengan perubahan. Perubahan sendiri membawa maksud tidak statik, anjal, sifatnya dinamik dan pelbagai lagi. Mudah kata ia perlu 'bergerak.'

Visi besar untuk memandaikan ummah tidak akan tercapai jika diri sendiri tidak mahu berubah dan bergerak. Ummah yang hebat ialah ummah yang lengkap dan dipenuhi dengan kebaikan. Kita tidak senang jika di sekeliling kita dipenuhi dengan keburukan serta kejahatan, bukan? 

Di Seberang Takir inilah titik tolak untuk melakukan perubahan. Perubahan perlu disertai dengan niat yang betul dan baik, disusuli dengan pelan bertindak yang bagus dan akhir sekali mulakan bertindak penuh komited. Sesekali jangan lupa untuk terus berdoa agar segala usaha yang dijalankan disertai dengan 'berkat' dan 'rahmat-Nya.'

Pengalaman berada di Seberang Takir pasti menjadi memori terindah dan ia pasti sukar dilupakan kerana selain pengalaman makan nasi dagang ikan 'tongkol' dan berada di Teluk Ketapang pada waktu petang, saya dianugerahkan pengalaman bertemu dengan insan-insan hebat yang mempunyai visi besar untuk memandaikan ummah.

Semoga visi serta misi tiga hari di Seberang Takir mampu mencipta kebaikan untuk diri dan ummah. Sesungguhnya nikmat berada di sini adalah nikmat untuk disyukuri, bukan untuk dipersiakan.

Seberang Takir, saya pasti kembali lagi!