Hampir tiga hari tekak saya sakit. Rasa sakitnya
cukup terasa apabila mahu menelan makanan atau meneguk minuman.
Allah Rabbi…Terkadang terfikir juga dengan
kesakitan ini ada pula hikmahnya. Hikmah hadir apabila kita mampu bersabar dan
redha pada permulaan kesakitan, bukannya pada pertengahan atau penghujung
kesakitan.
Jika difikirkan, sakit tekak dan sakit lidah
seakan-akan tiada beza yang besar kerana ia berada pada bahagian yang
berhampiran. Namun, ia tidak begitu. Malah, bezanya cukup ketara besarnya.
Jika sakit lidah, kita berhadapan dengan
kesukaran untuk mengunyah dan merasai ‘rasa’ makanan. Lidah sukar berfungsi
dengan baik untuk menyatakan bahawa makanan itu sedap, manis, tawar, pahit dan
sebagainya.
Manakala sakit tekak pula tidak begitu. Kita masih
lagi dapat merasai nikmat ‘rasa’ makanan kerana fungsi lidah tidak terjejas. Yang
sakitnya adalah ketika mahu menelannya.
Bahkan, kesan sakit tekak juga menidakkan untuk
bercakap atau berkomunikasi dengan baik. Sekali-sekala, diam itu adalah
ubatnya.
Apapun sakit yang kita alami, pada bahagian
mana sekalipun, mengeluh atau merungut bukanlah cara penyelesaiannya. Tidak pelik
kalau dikatakan bahawa orang sakit ini laju pula sifat marahnya. Jadi ubat
terbaik ialah bersabar pada permulaan kesakitan yang dialami. Insha Allah…Segala
sifat negatif dan mazmumah dapat dikekang dengan baik.
Melalui sakit juga, sebenarnya Allah mahu kita
kreatif untuk menyelesaikan pelbagai perkara dalam hidup. Misal kata, melalui
sakit tekak, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan makan minum seharian. Walaupun
tidak lancar untuk berkata-kata, mungkin kita lancar untuk menaip dokumen di
pejabat, menjawab maklum balas pertanyaan emel atau melakukan kerja-kerja
bersifat teknikal seperti membayar bil yang bertimbun-timbun banyaknya di atas
meja kita, membasuh kereta, menyapu sampah dan pelbagai lagi.
Walaupun ujian sakit tekak ini perit, namun
padanya ada hikmah untuk direnungi.
0 comments:
Post a Comment