Penghujung 1433H

Thursday, November 8, 2012


Hari ini 23 Zulhijjah 1433H. Mengikut kiraan tahun Hijri, lebih kurang seminggu sahaja lagi kita bakal menyambut tahun baru 1434H. Begitulah putaran masa beredar, tahun silih berganti tanpa mempedulikan kita. Putaran masa ini pasti berhenti apabila Yang Maha Kuasa menetapkan supaya berhenti. Sunnatullah tiada siapa yang boleh menghalangnya.

Putaran ini saling berkait dengan kejadian siang dan malam serta putaran bumi pada orbitnya sekali setiap 24 jam. Begitulah masa, hari, bulan dan tahun silih berganti dan bertukar. Padanya ada pengajaran untuk difikirkan bahawa betapa besarnya kekuasaan Allah iaitu Tuhan sekalian makhluk dan alam raya ini.

Benarlah maksud ayat 62, Surah al-Furqaan:-

“Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk orang yang ingin mengambil pelajaran ataupun orang yang ingin bersyukur.”

Maksud ayat di atas sungguh jelas dan terang. Hanya mereka yang mahu mengambil pelajaran dan bersyukur sahaja dapat ‘melihat’ setiap sisi kejadian alam ini. Melihat di sini bererti mahu mengambil pelajaran dan pengajaran. Subhanallah… Tidak ada satupun kejadiaan alam ini tidak membawa sebarang erti bermanfaat.
Apabila berada di penghujung tahun, maka ramailah yang sibuk untuk melakukan azam tahun baru serta perancangan baru. Tidak keterlaluan dikatakan, ramai juga yang sibuk mengumpul ‘kalendar baru’. Rata-ratanya begitu. Jarang sekali yang mahu bermuhasabah atau melakukan ‘post-mortem’ sepanjang tahun ini dilalui. Jika ada, mungkin sedikit sahaja golongan sebegini. 

Muhasabah tidak benar-benar dirasai jika dilakukan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Tidak hadir dari hati. Tidak hadir dari rasa lemah dan sifat kekurangan yang ada pada diri setiap insan. Jika organisasi atau syarikat pula, muhasabah dilakukan tidak lebih daripada untuk melengkapkan aktiviti tahunan. Tidak lebih daripada itu. 

Sesetengah muhasabah yang dilakukan di peringkat organisasi atau syarikat, hanya mempamerkan ‘kisah-kisah kejayaan’ sahaja, ‘kisah-kisah kegagalan’ tidak pula dipamerkan. Dibimbangi akan dikomen atau dikritik orang. Maka, awal-awal lagi muhasabah kegagalan itu tidak diketengahkan. Walhal, melalui kegagalan atau kelemahanlah kita membina langkah untuk memperbaiki perancangan kita. 

Dengan tidak mengenepikan kepentingan muhasabah tentang kejayaan yang boleh meningkatkan motivasi serta estim diri, muhasabah tentang kegagalan jangan sesekali dipinggirkan atau dipandang sepi. Sebenarnya, di sinilah kita membina kejayaan demi kejayaan. Insan berjaya tidak akan jatuh pada lubang yang sama dua kali. Apatah untuk membenarkan ular mematuknya pada lubang yang sama berkali-kali.

Ketika hari masih berbaki dalam tahun 1433H ini, lakukanlah muhasabah. Mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Usah menunggu hari esok untuk melakukan muhasabah. Ketika diri masih berada di penghujung tahun 1433H, ambillah kesempatan masa untuk melakukan muhasabah sebelum tibanya tahun baru 1434H. Padanya ada 1001 manfaat dan kebaikan untuk diraih. 

0 comments:

Post a Comment