Hidup ini ibarat roda. Sentiasa berpusing untuk
menuju ke destinasi idaman. Apabila tiba di tempat yang dituju, pasti roda tadi
turut berhenti sama.
Begitulah kehidupan kita. Ada mula dan
akhirnya. Ada destinasi yang mahu dituju. Tidak selama-lamanya berada pada
tempat yang sama. Dunia ini adalah di antara destinasi-destinasi yang mahu
dituju. Kita telah melalui alam roh dan alam rahim ibu kita selama 9 bulan. Di
hadapan kita, masih ada lagi alam kubur dan alam akhirat. Itulah destinasi perjalanan
kehidupan seorang insan yang juga merupakan seorang hamba di sisi Penciptanya.
Tidak dijadikan kehidupan ini sia-sia melainkan
untuk memperoleh bekal berguna kelak. Dunialah tempat untuk kita bercucuk
tanam. Hasilnya dituai di akhirat nanti. Maka pertalian dunia dan akhirat
begitu rapat serta cukup sinonim. Saling berkait.
Dunia ini kita tidak boleh pinggirkan, akhirat
pula jangan sesekali dilupakan. Destinasi ini amat pasti dan sering
disebut-sebut di dalam al-Quran atau sabdaan nabi junjungan kita. Banyak
perkataan ‘dunia’ dan ‘akhirat’ disebut sebagai ingatan kepada
insan. Konteks sebutannya pula pelbagai. Namun, itu bukanlah persoalan di sini.
Cukuplah sebagai ingatan umum agar kita sentiasa berwaspada dan tidak mempersia
setiap inci kehidupan ini.
Persoalannya, sejauh mana kita telah
memanfaatkan ingatan ini?
Yang pasti, destinasi dunia ini pasti berlalu
pergi. Sudah ramai yang telah meninggalkan kita. Mereka telah pergi menemui
Pencipta alam raya ini.
Putaran roda pasti berhenti apabila telah tiba
masanya. Samalah dengan kehidupan ini, ada pengakhirannya. Ada penghujungnya.
Ketika roda masih berpusing, ketika itulah
bekalan dikumpulkan. Carilan bekalan berguna dan sebanyak mungkin.
Mudah-mudahan, ia memberi kebaikan kepada kita kelak.
Cukuplah maksud ayat 32 Surah Al-An’aam menjadi
ingatan bersama pada entri kali ini.
“Dan
tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka.
Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka
tidakkah kamu memahaminya?”
Bak kata orang pandai-pandai, “Dunia tempat
kita berpenat, di akhirat nanti kita berehat.”
0 comments:
Post a Comment