Memasak bukanlah kesukaan saya sejak kecil.
Jauh sama sekali untuk menjadi hobi, malah kerjaya. Saya tahu bahawa ada orang
suka memasak dari kecil sehinggalah besar.
Seorang jiran baik pernah bercerita perihal
anaknya yang suka menggoreng telur serta memasak nasi sendiri. Sehinggalah
pandai menggoreng nasi sewaktu usia belasan tahun. Mengamati ceritanya, saya
fahami bahawa aktiviti memasak boleh berlaku pada usia muda. Bahkan, ada orang
yang tidak tahu memasak nasi walaupun umurnya sudah meningkat dewasa.
Menjadi kelaziman bahawa aktiviti memasak
sering dikaitkan dengan tugasan seorang wanita, sama ada sebagai ibu, sebagai
isteri ataupun adik-beradik perempuan kita. Lazimnya begitu. Jika ada di
kalangan lelaki yang mampu memasak dengan baik, jumlahnya tidak besar. Ia
berlaku di luar kelaziman.
Kebetulan pula hari ini anak kesayangan memohon
sesuatu.
“Abah…Abah boleh goreng lempeng macam Mama
goreng?”
Kanak-kanak kecil itu meminta sesuatu yang
pernah dimakannya. Malah, beliau sendiri pernah aktif ‘menyibuk’ sewaktu
ibunya mahu menyediakan lempeng. Bermula daripada penyediaan bahan-bahan
sehinggalah mengacau di dalam bekas, kesibukannya sukar dibendung.
“Abah…Jangan lupa masukkan tepung, telur dan
air nanti. Yid tengok Mama buat lempeng macam itu…”
Saya memang tidak pernah memasak lempeng
terpaksa membuka buku resipi. Dalam hati berbisik halus, “Mahu masak lempeng
pun kena buka buku. Inilah orang lelaki.”
Jujur saya katakan, bahan-bahan yang disebut
oleh kanak-kanak kecil itu ada dalam senarai bahan-bahan yang dibaca melalui
buku resepi. Memori kanak-kanak kecil itu cukup tajam dan mampu mengingat dengan
baik bahan-bahan bagi penyediaan lempeng. Walaupun ‘menyibuk’, matanya
memerhati dan akalnya menangkap kemas senaraian bahan.
“Abah…Abah tahu tak nak masak lempeng macam
Mama? Yid tahu…Tapi…Tapi…Yid tak pandai memasak. Takut terkena api!” Sekali lagi kanak-kanak kecil itu
bertanyakan soalan sama.
“Nanti abah masak lempeng untuk Yid. Yid tunggu,
OK.”
“Okey Abah…”
Selesai sahaja memasak lempeng, saya hidangkan
untuknya. Perkara pertama yang saya dengar ialah komen kanak-kanak kecil itu
yang membandingkan bahawa lempeng yang saya masak itu tidak sesedap lempeng
ibunya masak.
Ya. Hakikat kesedapan ada bezanya walaupun
tidak ketara. Lempeng yang saya masak ada banyak kekurangan. Biasalah, masakan
kali pertama.
Namun, di sebalik masakan lempeng melalui air
tangan sendiri, saya belajar sesuatu yang amat berharga iaitu memasak bukanlah
kerja yang sukar. Malah, memasak merupakan kerja yang mulia.
Jadi, hargailah ibu, isteri, atau sesiapa
sahaja yang mampu berada di dapur untuk menyediakan masakan untuk santapan
keluarga. Walau hanya memasak ‘lempeng’ yang tidak sedap pada hari ini,
ia bukanlah penghalang besar untuk saya terus berada di dapur.
0 comments:
Post a Comment