Pada 9 Mac 2013 (Sabtu), saya berpeluang
berbengkel separuh hari dengan Tuan Hilal Asyraf di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Beliau merupakan penulis novel serta buku motivasi Islami terkenal tanahair yang
berdiri di atas jenama ‘Langitilahi’. Jenama yang semakin berkembang
baik ini sebenarnya menjadi pendorong kepada saya untuk terus belajar menulis
serta berkarya dalam konteks saya sendiri. Berkarya mampu menjadi medan terbaik
untuk berkongsi kebaikan serta manfaat.
Bahkan berkali-kali beliau menasihati peserta
bengkel agar menjadi insan bermanfaat kerana diri setiap Muslim itu sebenarnya
bermanfaat.
Sepanjang perkongsian beliau sendiri sampaikan,
saya dapat perhatikan dengan jelas bahawa kunci kepada kejayaannya ialah ‘disiplin’.
Beliau menyarankan agar setiap daripada kami mempunyai jadual jika mahu
benar-benar berjaya dalam bidang penulisan. Kawalan diri atau ‘self control’
perlu dipatuhi sebaiknya. Jika tidak, kejayaan akan menjadi mimpi-mimpi indah
sahaja.
Sewaktu sesi bengkel berlangsung, beliau ada
bertanyakan soalan ini:-
“Apakah faktor penyebab kejayaan seseorang
dalam bidang penulisan? Bakat atau Latihan?”
Lalu, ada yang menjawab ‘bakat’, ada
yang menjawab ‘latihan’ dan ada juga yang menjawab kedua-duanya sekali.
Lantas, ada seorang peserta memberikan pilihan jawapan lain iaitu ‘minat’.
Kata Tuan Hilal Asyraf, jawapan betul ialah ‘minat’.
Beliau juga berkali-kali berpesan agar setiap
penulis perlu ada opsyen ketiga, jika ada dua opsyen yang perlu dipilih. Jika
ada tiga opsyen, maka penulis mampu mengeluarkan opsyen keempat. Apatah lagi ia
melibatkan penulisan fiksyen seperti novel yang memerlukan kepada daya
fikir serta imaginasi yang tinggi.
Di samping itu, beliau menekakan faktor
terpenting sewaktu mahu berkecimpung dalam dunia penulisan ialah faktor niat.
Hadith tentang niat beliau ulas begitu baik dan dikaitkan dengan matlamat akhir
iaitu untuk mencapai ‘redha Allah’. Apa-apapun,
matlamat kita perlulah jelas dan ‘clear likes a crystal’. Jangan melencong dalam mengejar
matlamat walaupun satu darjah. Kesan akhirnya, kita tidak sesekali sampai pada
matlamat sebenar.
Jika mahu ditulis, memang banyak. Benarlah
kata-kata Allah, jika lautan menjadi tinta untuk menulis ilmu-ilmu di atas muka
bumi ini, nescaya tidak cukup. Allahu rabbi…
Segala ilmu, pengalaman serta perkongsian
selama separuh hari yang dicurahkan oleh beliau diharapkan mampu diterjemah
dalam bentuk tindakan pula. Doakan teman-teman.
0 comments:
Post a Comment