Alhamdulillah…Sudah seminggu kita sudah mengharungi bulan
Syaaban ini. Sedar atau tidak, itulah tempoh yang telah berlalu. Tempoh yang
tidak dapat dikembalikan lagi pada hari ini. Biarpun emas setinggi gunung, wang
berguni-guni, kita sesekali tidak mampu untuk mengembalikan masa yang telah
berlalu.
Allah menyatakan dengan jelas dalam surah Al-‘Ashr,
ayat 1-3 yang bermaksud:-
“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”
Kenyataan Allah cukup signifikan dan mudah,
manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman, melakukan amal kebajikan dan
saling nasihat-menasihati tentang perkara kebenaran serta kesabaran. Selebihnya,
mereka berada dalam kerugian.
Konteks bulan Syaaban sebagai bulan persediaan
menghadapi madrasah Ramadhan juga begitu. Ia medan terbaik untuk mengasah minda,
hati serta fizikal yang sudah lama berkarat agar kembali jernih serta
menyucikan. Pun begitu, bagi mereka yang sudah jernih hatinya, pasti amat menyukai
bulan ini. Ia medan yang pasti tidak mahu disia-siakan oleh kita, bukan?
Begitulah intipati surah al-‘Ashr yang
menceritakan perihal manusia rugi. Rugi bukan setakat tidak memanfaatkan
kehadiran bulan Syaaban sahaja, tetapi membiarkan masa secara keseluruhan itu
menjadi sia-sia. Jadilah seperti mereka yang dinyatakan secara jelas di dalam
ayat ketiga surah tersebut. Merekalah golongan beruntung. Bukan setakat di
dunia, bahkan di akhirat sama.
Minggu berbaki, bukan lagi untuk
dihitung-hitung tanpa ada kesudahan. Ia perlu dirancang serta diisi sebaiknya. Biarlah
ia benar-benar menjadi medan persediaan untuk berhadapan dengan madrasah
Ramadhan. Pisau jika tidak diasah pasti tidak akan tajam. Begitulah juga amal
soleh kita, jika tidak dilatih ia pasti sukar dan mengalami masalah di kemudian
hari. Konotasi mudahnya begitu.
Nafsu jika tidak dididik, pasti sukar dikawal. Hubung
kait dengan diri cukup banyak apabila nafsu atau dalaman sudah di luar kawalan.
Ia boleh melumpuhkan objektif hidup sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini tanpa
memerlukan musuh dari luar. Cukulah kita tewas dengan diri sendiri. Benarlah kata
bijak pandai, “musuh paling besar ialah diri sendiri.” Ia bertambah
benar apabila kita jarang melakukan muhasabah atau ‘post mortem’ untuk
diri sendiri. Bedah dan siasatlah di mana kelemahan serta kekurangan yang perlu
diperbaiki. Yang baik, kita pertingkatkan. Yang kurang kita tambahkan. Yang buruk
kita jauhkan. Begitulah proses ‘pembersihan’ dalaman berlaku tanpa
disuruh. Kehadiran bulan Syaaban ini tidak lebih sebagai unsur penggalak atau ‘booster
element’ dalam melakukan kebaikan.
Misi akhir kita hanyalah satu, mendapat redha
Dia kelak.
Sentiasalah berdoa agar dipertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.
0 comments:
Post a Comment