Beberapa jam sahaja lagi, bulan Syaaban 1434H
bakal meninggalkan kita. Perginya tidak akan kembali lagi. Selepas ini, tiada
lagi bulan persiapan, persediaan serta latihan untuk kita. Kita bakal menempuh
madrasah atau ‘universiti’ Ramadhan dengan bekalan yang dibawa.
Seseorang pelari jika tidak melakukan apa-apa
latihan atau ‘warm-up’ sebelum
berlari, sudah tentu lariannya pincang, pancit dan terbantut di pertengahan
jalan. Berbeza dengan pelari yang cukup latihan dan sentiasa memastikan fizikal
dalam keadaan terbaik, pasti lariannya pantas, tidak termengah-mengah dan
akhirnya mampu menamatkan larian dengan baik.
Ramadhan akan lebih bermakna apabila kita
melaluinya dengan penuh persediaan. Kita bersedia dari sudut akal, hati serta
fizikal. Kesemua aspek tersebut memerlukan persiapan terbaik. Selain itu,
berdoa serta memohonlah kepada Allah supaya kita diberi kekuatan untuk
berhadapan dengan bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan serta
kerahmatan.
Tidak bermakna dengan tidak melakukan
persediaan rapi sepanjang Rejab dan Syaaban boleh menyebabkan kita ‘pancit’
sewaktu meraikan pesta ibadah. Namun, bersedia sebelum tibanya bulan Ramadhan
adalah saranan baik daripada kebanyakkan para alim-ulamak untuk diambil berat. Bahkan,
ia dibincang secara khusus di dalam kitab-kitab karya bijak-pandai.
Kini, hanya menunggu detikan jam sahaja untuk
memasuki bulan Ramadhan secara rasmi.
Syaaban 1434H bakal ditinggalkan sebagaimana kita meninggalkan Rejab dan
bulan-bulan sebelumnya. Biarlah kita memasuki Ramadhan al-Mubarak pada kali ini
dengan satu target yang jelas untuk dicapai. Pokoknya, pasti berasaskan kepada
redha Allah.
Ayat 183, Surah al-Baqarah menjadi teras kepada
ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Apa yang dimahukan ialah memperoleh ‘taqwa’
apabila berakhirnya Ramadhan.
“Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”
Didoakan kedatangan Ramadhan pada kali ini
memberi 1001 kebaikan pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh alam.
Sesungguhnya kita masih dipilih untuk berada dalam madrasah Ramadhan lagi pada
tahun ini. Ia nikmat untuk disyukuri.
0 comments:
Post a Comment