Ramadhan Datang Lagi

Tuesday, July 9, 2013



Beberapa jam sahaja lagi, bulan Syaaban 1434H bakal meninggalkan kita. Perginya tidak akan kembali lagi. Selepas ini, tiada lagi bulan persiapan, persediaan serta latihan untuk kita. Kita bakal menempuh madrasah atau ‘universiti’ Ramadhan dengan bekalan yang dibawa.

Seseorang pelari jika tidak melakukan apa-apa latihan atau ‘warm-up’  sebelum berlari, sudah tentu lariannya pincang, pancit dan terbantut di pertengahan jalan. Berbeza dengan pelari yang cukup latihan dan sentiasa memastikan fizikal dalam keadaan terbaik, pasti lariannya pantas, tidak termengah-mengah dan akhirnya mampu menamatkan larian dengan baik.

Ramadhan akan lebih bermakna apabila kita melaluinya dengan penuh persediaan. Kita bersedia dari sudut akal, hati serta fizikal. Kesemua aspek tersebut memerlukan persiapan terbaik. Selain itu, berdoa serta memohonlah kepada Allah supaya kita diberi kekuatan untuk berhadapan dengan bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan serta kerahmatan.

Tidak bermakna dengan tidak melakukan persediaan rapi sepanjang Rejab dan Syaaban boleh menyebabkan kita ‘pancit’ sewaktu meraikan pesta ibadah. Namun, bersedia sebelum tibanya bulan Ramadhan adalah saranan baik daripada kebanyakkan para alim-ulamak untuk diambil berat. Bahkan, ia dibincang secara khusus di dalam kitab-kitab karya bijak-pandai. 

Kini, hanya menunggu detikan jam sahaja untuk memasuki  bulan Ramadhan secara rasmi. Syaaban 1434H bakal ditinggalkan sebagaimana kita meninggalkan Rejab dan bulan-bulan sebelumnya. Biarlah kita memasuki Ramadhan al-Mubarak pada kali ini dengan satu target yang jelas untuk dicapai. Pokoknya, pasti berasaskan kepada redha Allah. 

Ayat 183, Surah al-Baqarah menjadi teras kepada ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Apa yang dimahukan ialah memperoleh ‘taqwa’ apabila berakhirnya Ramadhan.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Didoakan kedatangan Ramadhan pada kali ini memberi 1001 kebaikan pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh alam. Sesungguhnya kita masih dipilih untuk berada dalam madrasah Ramadhan lagi pada tahun ini. Ia nikmat untuk disyukuri.
Bak kata seorang penulis skrip tanahair, Tuan Zabidi Mohamed, “Jadikanlah keredhaan Allah itu sebagai matlamat hidupmu. Masa yang berlalu jangan kau tangisi. Masa akan datang jangan terasa kita yang punya. Bukankah ketetapan itu ketentuan Allah. DIA yang menjadikanmu. DIA jugalah yang berhak mengatur hidupmu. Usahlah kau meminta sesuatu yang belum dirancang untuk mu."
BENAR, Ramadhan datang lagi.

Catatan 7 Syaaban 1434H

Saturday, June 15, 2013


Alhamdulillah…Sudah seminggu kita sudah mengharungi bulan Syaaban ini. Sedar atau tidak, itulah tempoh yang telah berlalu. Tempoh yang tidak dapat dikembalikan lagi pada hari ini. Biarpun emas setinggi gunung, wang berguni-guni, kita sesekali tidak mampu untuk mengembalikan masa yang telah berlalu.

Allah menyatakan dengan jelas dalam surah Al-‘Ashr, ayat 1-3 yang bermaksud:-

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Kenyataan Allah cukup signifikan dan mudah, manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman, melakukan amal kebajikan dan saling nasihat-menasihati tentang perkara kebenaran serta kesabaran. Selebihnya, mereka berada dalam kerugian.

Konteks bulan Syaaban sebagai bulan persediaan menghadapi madrasah Ramadhan juga begitu. Ia medan terbaik untuk mengasah minda, hati serta fizikal yang sudah lama berkarat agar kembali jernih serta menyucikan. Pun begitu, bagi mereka yang sudah jernih hatinya, pasti amat menyukai bulan ini. Ia medan yang pasti tidak mahu disia-siakan oleh kita, bukan?

Begitulah intipati surah al-‘Ashr yang menceritakan perihal manusia rugi. Rugi bukan setakat tidak memanfaatkan kehadiran bulan Syaaban sahaja, tetapi membiarkan masa secara keseluruhan itu menjadi sia-sia. Jadilah seperti mereka yang dinyatakan secara jelas di dalam ayat ketiga surah tersebut. Merekalah golongan beruntung. Bukan setakat di dunia, bahkan di akhirat sama.

Minggu berbaki, bukan lagi untuk dihitung-hitung tanpa ada kesudahan. Ia perlu dirancang serta diisi sebaiknya. Biarlah ia benar-benar menjadi medan persediaan untuk berhadapan dengan madrasah Ramadhan. Pisau jika tidak diasah pasti tidak akan tajam. Begitulah juga amal soleh kita, jika tidak dilatih ia pasti sukar dan mengalami masalah di kemudian hari. Konotasi mudahnya begitu.

Nafsu jika tidak dididik, pasti sukar dikawal. Hubung kait dengan diri cukup banyak apabila nafsu atau dalaman sudah di luar kawalan. Ia boleh melumpuhkan objektif hidup sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini tanpa memerlukan musuh dari luar. Cukulah kita tewas dengan diri sendiri. Benarlah kata bijak pandai, “musuh paling besar ialah diri sendiri.” Ia bertambah benar apabila kita jarang melakukan muhasabah atau ‘post mortem’ untuk diri sendiri. Bedah dan siasatlah di mana kelemahan serta kekurangan yang perlu diperbaiki. Yang baik, kita pertingkatkan. Yang kurang kita tambahkan. Yang buruk kita jauhkan. Begitulah proses ‘pembersihan’ dalaman berlaku tanpa disuruh. Kehadiran bulan Syaaban ini tidak lebih sebagai unsur penggalak atau ‘booster element’ dalam melakukan kebaikan. 

Misi akhir kita hanyalah satu, mendapat redha Dia kelak.

Sentiasalah berdoa agar dipertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.

Nikmat Belajar

Thursday, June 6, 2013

Bismillah. Bersyukurlah jika Allah hadirkan dalam diri kita untuk terus belajar. Allahu rabbi.

Sebagai contoh mudah, sebelum ini kita telahpun belajar menulis dengan baik dalam Bahasa Melayu. Bahkan kita menggunakan Bahasa Melayu setiap hari. Kita membaca akhbar, menulis surat rasmi, menghantar mesej melalui telefon mudah alih dan sebagainya. Malah, kita berkomunikasi pun masih dalam bahasa ibunda.

Lalu, ada teman baik kita mengajak, "Bro, jom join bengkel penulisan!"

Sama ada kita mahu menolak atau menerima ajakannya, terpulanglah. Mungkin kita ada sebab kukuh untuk bertindak sedemikian.

Namun, usah sesekali berkata, "Alah...Aku dah tahu lah. Buat apa nak belajar lagi?" Kata-kata atau persoalan sebegitu 'memungkinkan' kita ditarik nikmat untuk belajar.

Percayalah, sekali kita berkata sebegitu, tidak mustahil Allah menutup satu persatu nikmat belajar dalam bab itu. Bersangka baiklah bahawa Allah mahu pertajamkan lagi skil menulis kita, Allah mahu tunjukkan ilmu-Nya yang begitu luas kepada kita, Allah mahu kita tahu perkara yang kita tidak tahu, Allah mahu kita ingat apa yang kita lupa dan bermacam-macam 'kebaikan' tersimpan dalam pengetahuan Allah.

Belajar boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia tidak sukar. Apatah lagi pada zaman internet yang serba canggih ini.

Jika kita sudah berani berkata 'aku sudah tahu', 'aku tahulah...' atau 'buat apa nak belajar lagi, kan kita sudah belajar sebelum daripada ini', bimbang ia akan membuat diri berasa ujub, serta menyombong diri. Astaghfirullah...

(Nota - Contoh mudah boleh diubah-ubah dalam banyak perkara seperti ajakan belajar membaca al-Quran, bengkel memasak, ceramah kesihatan, kursus pengurusan organisasi, dll.)

Tuhan, Aku Kembali!

Wednesday, May 29, 2013




Naskhah terbitan PTS ini ditulis dalam bahasa yang mudah oleh penulis bersama iaitu Bro Sham Kamikaze serta Ustaz Ainuddin. Naskhah ini menceritakan perjalanan hidup seorang insan bernama Sham Kamikaze yang ‘berhijrah’ untuk mencari redha Allah. Beliau menceritakan kehidupan sebelum hijrah dan juga pasca hijrah secara tersusun.

Bagi saya, apa yang menarik tentang naskhah ini ialah bagaimana beliau mengkisahkan detik hijrah itu berlaku dalam diri beliau. Beliau membawakan contoh-contoh kisah hijrah selebriti serta tokoh pendakwah dunia sebagai bukti kepada pembaca bahawa sesiapapun boleh berubah dan berhijrah jika Allah campakkan ‘hidayah’ serta ‘taufik’ ke dalam diri hamba-hamba-Nya.

Saya merasai sendiri bahawa nilai ‘hidayah’ itu begitu mahal nilainya buat Bro Sham Kamikaze. Kisah silamnya diceritakan satu persatu sebagai ‘sempadan’ kepada pembaca betapa perubahan itu boleh berlaku walaupun seteruk mana kita dahulu. Allah ya Allah…

Siapapun kita, berubah dan terus berubah menjadi lebih baik adalah tuntutan agama. Kita tidak boleh selesa dengan takuk yang ada pada hari ini. Jika hari ini kita mampu melakukan 10 kebaikan, sudah tentu untuk mengekalkan 10 kebaikan itu pada hari esok jauh lebih sukar dan memerlukan mujahadab berterusan. Kata bijak pandai, “Mujahadah itu pahit kerana syurga itu mahal.”

Apa-apapun, naskhah ini banyak manfaatnya. Buat Bro Sham, saya doakan supaya Bro Sham terus istiqomah dengan perubahan yang telah dilakukan. Teruskan berdakwah sepertimana ucapan Bro Sham semasa menghadiri Konvensyen Fiqh di PWTC. Bahkan, tajuk naskah ‘Tuhan, AKu Kembali!’ cukup relevan kepada sesiapa sahaja untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik.

Semoga Allah berkati serta rahmati perjalanan hidup Bro Sham! Siiru ‘ala Barakatillah…

Nasihat Betul

Tuesday, May 21, 2013

Sebelum kes di panggil oleh jurubahasa mahkamah tadi, saya sempat berborak dengan seorang pakcik yang menguruskan kes harta pusaka arwah bapanya (kalau tak silap).

Pakcik itu uruskan kesnya secara sendirian. Tidak menggunakan khidmat peguam. Saya kagum dan terdetik untuk bertanyakan sesuatu kepada pakcik itu, "Boleh tanya, kes apa pakcik?"

"Kes pusaka."

"Guna khidmat peguam?"

"Tak. Pakcik uruskan sendiri semuanya..."

"Ohh...Pakcik kerja apa?"

"Berniaga kecil-kecilan. Menjaja sayur-sayuran dan ikan dari rumah ke rumah."

"Ohh...Maaf tanya pakcik, macam mana pakcik uruskan pusaka ini? Pakcik dapat nasihat daripada siapa? Setahu saya, bukan senang nak uruskan kes ini sendirian."

"Itulah...Pakcik memang tak tahu apa-apapun tentang selok belok mahkamah. Nasihat orang macam-macam dah pakcik dengar. Orang suruh buat itu ini, pakcik ikut sahaja."

"Berapa lama pakcik uruskan pusaka ni?"

"Sejak tahun 2009 kalau tak silap..."
Lalu saya berhenti bertanya dan tiba giliran pakcik itu mahu mengatakan sesuatu kepada saya, "Erm...Pakcik nak tanya boleh?"

"Boleh...Pasal apa pakcik?"

"Agak-agak hakim bagi tak perintah untuk pakcik?"

"In Shaa Allah kalau kena cara serta ikut prosedur, hakim akan bagi."

"Ohh...Lega pakcik kalau itulah jawapannya. Inilah kali pertama pakcik bercakap dengan seorang peguam dalam hidup. Sebelum ini, yang banyak menasihati pakcik bukannya peguam. Kalau pakcik tahu, baik pakcik cari peguam awal-awal. Penat naik turun mahkamah."

Ayat terakhir pakcik itu saya tidak mahu mengulas panjang. Takut-takut mencederakan emosi pelbagai pihak yang ada khususnya yang membaca tulisan ini. Bagi saya, nasihat betul lahir daripada orang yang betul. Ia ujian juga sewaktu mahu memberi nasihat kepada orang lain. Apatah lagi, ia melibatkan urusan kerja serta memerlukan 'professional advice' tertentu. Ia tidak mudah.

Buang Sampah

Monday, May 13, 2013

 
Semasa memandu kereta menuju ke Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah tadi, ada sebuah lori pasir berada di hadapan kereta saya. Tanpa disangka-sangka, pemandu lori itu membuangkan plastik makanan melalui cermin lori yang dipandu.

Plastik tersebut melayang-layang dan akhirnya melekat pada cermin sisi sebelah kanan kereta yang dipandu.

Tergamak pemandu itu membuang plastik sewaktu memandu kenderaan. Tak terfikirkah jika sikap buruknya itu boleh menyebabkan kemalangan terhadap orang lain? Mungkin kita selamat, bagaimana dengan orang di belakang kita?

Sehinggakan anak saya memberitahu, "Abah, mengapa dia tak buang plastik dalam tong sampah? Abah, mengapa dia buang plastik atas jalanraya?"

Bagi saya, tiada contoh baik ditunjukkan. Bahkan mampu mengundang bahaya kepada orang lain hanya disebabkan sikap buruk yang ada pada diri sendiri.

Sikap pemandu lori itu menyebabkan saya membunyikan hon beberapa kali dan mengangkat tangan (gaya tak puas hati) kepadanya. Dia pula menggayakan tangan seakan-akan memohon maaf kepada saya. Saya nampak jelas sewaktu memotong lori yang dipandu olehnya.

Bukan mahu bersikap samseng, tetapi mahu memberi pengajaran supaya tidak mengulangi lagi sikap atau tabiat 'membuang sampah melalui cermin kereta'. Fikir saya, tidak susah untuk membuang sampah ke dalam tong sampah. Tak perlulah membuangnya melalui cermin kenderaan.
 
Hari ini Allah masih sayangkan diri saya dan memelihara daripada sebarang kejadian buruk atau kemalangan. Salah satu ajaran agama agar Allah memelihara diri kita daripada sebarang kejadian buruk sewaktu memandu ialah dengan membaca doa. Doa mampu mengawal apa yang kita sendiri tidak boleh kawal. Jadikanlah amalan berdoa khususnya sewaktu memandu kenderaan sebagai tabiat bukannya adat. Ia menunjukkan tahap kebergantungan diri kita dengan Allah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku sewaktu kita memandu di atas jalanraya. Mungkin brek rosak, tayar pecah, minyak gear bocor, ada orang langgar kita, ada orang buang sampah dan pelbagai macam perkara di luar kawalan kita boleh berlaku.
 
Kejadian pada hari ini mengingatkan saya tentang fungsi doa serta kebergantungan diri kita dengan Allah dalam setiap perkara. Teringat satu buku karangan Dr 'Aidh Al-Qarni yang bertajuk 'Jagalah Allah, Allah Menjaga Dirimu.' Bukunya terlalu banyak manfaat untuk diambil. 

(Gambar di atas adalah tempat yang mahu dituju oleh saya tadi dan ia sekadar hiasan kepada catatan ringkas ini)

20 Hari

Friday, May 10, 2013


Bilangan hari di antara entri terakhir dengan entri ini dikongsikan ialah dua puluh (20) hari. Bagi seorang penulis blog, dua puluh (20) hari tidak menulis atau mencatat apa-apa di blog merupakan sesuatu yang amat malang. Hati mahu terus konsisten untuk menulis, tetapi tindakan tidak menggambarkan begitu. Maka secara mudahnya ia dilihat tidak konsisten. 

Lalu saya tertanya-tanya pada diri sendiri tentang persoalan berikut, “Mengapa dibiarkan 20 hari itu dengan tidak menulis apa-apa bermanfaat? Malaskah? Lenakah? Sibukkah?” Saya cuba kaitkan persoalan tersebut dengan sikap konsisten. Sikap ini mungkin mudah diungkap oleh mulut, tetapi amat sukar untuk diterjemah oleh tindakan. Permis awal saya adalah begitu. 

Guru saya pernah berpesan tentang kelebihan mempunyai sikap konsisten ini. Katanya, “Lihatlah batu besar di dalam gua. Bagaimana batu tersebut lekuk dan akhirnya pecah menjadi batu-bata kecil. Bukankah ia disebabkan oleh air yang menitis tanpa henti daripada bahagian atas gua? Air yang menitis itulah sikap konsisten. Cuba kamu perhatikan…”

Ya. Tamsilan guru saya cukup hebat. Mudah serta signifikan. Sekecil mana usaha jika dilakukan secara konsisten, natijahnya pasti luar biasa. Pernah semasa belajar di universiti dahulu, saya berkawan dengan seorang pelajar berasal daripada negara China. Pada awal perkenalan, beliau tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Percakapannya kurang saya fahami. Apa yang mengagumkan saya ialah beliau sering membawa kamus elektronik di tangan. Ke mana sahaja beliau pergi, kamus tersebut tidak pernah ditinggalkan. 

Pernah saya bertanya kepada beliau, “Mengapa selalu bawa kamus?” Jawab beliau mudah sahaja, “Senang untuk merujuk.” Apa yang diberitahu itu betul. Jika ada perkataan yang kurang difahami, beliau terus menaip pada kamus elektronik. Ada kala saya melihat beliau meletakkan kamus tersebut pada telinga. Beliau mendengar penuh teliti bagaimana kamus tersebut menyebut dengan betul patah perkataan yang ditaip. Beliau begitu bersungguh-sungguh dan konsisten mempelajari bahasa Inggeris. Sehinggalah saya sendiri merasai kesan perubahan komunikasi pada dirinya. Bahasa yang digunakan serta cara sebut setiap patah perkataan cukup mengagumkan saya. Saya puji perubahan yang berlaku ke atas dirinya dan beliau dengan senang hati menunjukkan kamus elektronik yang ada pada tangannya kepada saya. Beliau beritahu, “Learn and learn consistently. Consistency is my key.” Itulah pesanan beliau dalam Bahasa Inggeris yang saya ingat-ingat lupa.

Malah, Rasulullah (sallahu allayhi wassalam) sendiri pernah bersabda, “Amalan paling mulia ialah berterusan (konsisten atau istiqomah) walaupun sedikit.” 

Contohilah bagaimana semut mengambil gula di dalam botol. Meskipun kita mengusirnya, namun ia tidak lari sehinggalah dia berjaya membawa keluar gula tersebut daripada botol. Contoh di hadapan mata begitu banyak untuk diperhatikan serta diambil pengajaran.

Kisah pelajar Cina, kisah titisan air serta kisah semut merupakan di antara kisah-kisah hebat yang mempunyai kaitan dengan sikap konsisten. Tidak salah jika saya simpulkan bahawa kejayaan besar mampu terhasil melalui usaha kecil yang konsisten. Maka, entri bertajuk ’20 Hari’ ini ada pengajaran tersendiri buat diri saya. Semoga beroleh manfaat teman-teman.