Papan Tanda

Monday, September 2, 2013

Bismillah. Papan tanda ini saya tidak perasan pada awalnya. Ia berada pada laluan kebiasaan saya ke mahkamah. Allahu rabbi... 
 
Entah mengapa, kaki terhenti tepat pada papan tanda yang teguh berdiri ini. Mata memerhatikan apa yang tertulis. Rupa-rupanya ia merupakan Ayat 10, Surah Al-Jumuah.

Saya renung lama-lama ayat tersebut.

Saya baca berkali-kali maksud ayat tersebut.
 
Saya amati betul-betul maksud ayat tersebut.

Masya Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar. 
 
Allah hentikan kedua belah kaki seketika, agar mata saya dapat melihat kata-kata-NYA. Sungguh, ia ingatan penting agar kita tidak menatap ayat Al-Quran pada bulan Ramadhan sahaja. Pada bulan-bulan lain, jangan dilupakan.

Astaghfirullah. Cukuplah papan tanda ini menjadi asbab agar diri saya tidak lupa akan kata-kata Allah yang maha hebat.

“Innalillahi wainna ilaihi roojiuun…”

Friday, August 30, 2013



Semalam (29 Ogos 2013), saya sempat menziarahi junior sekolah menengah yang kehilangan ayah tercinta buat selama-lamanya. Ramai juga kenalan terdekat hadir dan mengucapkan takziah. Di samping itu, saya juga sempat bersolat jenazah walaupun tersesat seketika dalam perjalanan menuju ke rumah junior di Tanah Merah. 

“Innalillahi wainna ilaihi roojiuun…” - Sesungguhnya daripada DIA kita datang dan kepada-NYA kita pergi. 

Begitulah episod sebuah kehidupan insan. Hakikatnya, ada hidup dan mati. Sesiapa pun mempercayai hakikat ini hatta orang bukan Islam.

Teringat memori semasa menziarahi arwah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian beberapa bulan dahulu, sifat peramahnya cukup saya ingati. Banyak cerita serta nasihat berguna beliau kongsikan. 

Dari raut wajahnya, saya lihat beliau begitu ‘tabah’ dan ‘sabar’ menghadapi ujian kanser. Melalui pemerhatian luaran pada waktu itu, itulah yang dapat saya nyatakan. Pasti ahli keluarga beliau lebih merasai serta memahami akan ujian Allah ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Allahu Rabbi… Allah Maha Mengetahui ke atas segala sesuatu. Setiap yang berlaku, tidak ada yang sia-sia. Ia juga merupakan pelajaran kehidupan buat diri saya. Apakah saya mahu berfikir dan mengambil pelajaran ke atas setiap kejadian yang berlaku khususnya - kematian.

Doa saya agar roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang soleh serta beriman di sisi-Nya. Moga Allah mengampunkan segala dosa serta merahmati arwah di alam sana. 

Kelak, kita juga pasti akan ke sana!

Gelaran

Sunday, August 25, 2013

Ada segelintir peguam menggelarkan diri saya sebagai 'peguam motivator' atau 'ustaz', ada pula yang menggelarkan 'penulis buku' dan tidak kurang yang berseloroh mahu saya memberikan 'ceramah' atau 'motivasi' pada khalayak.

Takut sungguh dengan gelaran-gelaran tersebut.

Barangkali gelaran itu tercipta apabila mereka membaca tulisan saya di Facebook. Barangkali juga 'persepsi' itu wujud hasil daripada rakan-rakan Facebook yang saya kenali. Wallahu'alam.

Cuma, sebagai penegasan daripada saya sendiri, saya lebih suka dikenali sebagai Facebooker. Saya bukanlah motivator, bukan juga ustaz. Bak kata Saudara Sham Kamikaze, "Saya bukanlah ustaz, tetapi baru nak 'start'".

Pada saat ini, saya juga bukanlah penulis buku. Saya belum menulis apa-apa judul buku pun lagi. Namun, saya lebih suka dikenali sebagai Penulis di Muka Buku atau Blogger di Firdaus Shope. Blog saya boleh dilayari melalui pautan ini http://www.firdaushope.blogspot.com/. Di sana ada pelbagai tulisan yang telah saya tulis untuk dibaca.

Didoakan agar gelaran 'penulis buku' dimakbulkan Allah berbanding dengan gelaran-gelaran lain yang tidak ada dalam keutamaan saya. Jika ada sekalipun, ia berada pada senaraian bukan nombor satu. Insya Allah, gelaran sebagai 'penulis buku' setakat ini menjadi keutamaan saya berbanding dengan gelaran-gelaran lain. Ia lebih dekat di hati. Bahkan, ia lebih realistik dengan diri sendiri.

Al-Quran Di Hati, Sebuah Catatan Ringkas

Monday, July 29, 2013



Bismillah. Catatan Ceramah Nuzul Al-Quran di SMKA Falahiah, Kelantan pada 27 Julai 2013.

Pada hari Sabtu lepas, saya diizinkan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke sekolah lama. Itupun setelah menerima mesej daripada Presiden ALUMNI SMKA FALAHIAH (AL-FALAH), Tuan Mohd Razif Abdullah sendiri.

Ringkasan mesej beliau tertulis lebih kurang begini, "Bro, free malam esok? Ada ceramah Nuzul Al-Quran oleh Saudara Ameer Azeezy Abu Abdullah."

Ajakan baik, kadangkala sukar jika tiada dalam perancangan awal minda. Minda mungkin kata tidak mahu pada mulanya, tetapi boleh berubah menjadi mahu pada akhirnya. Begitulah minda, ia dikawal oleh jantung hati bak kata tokoh agama negara.

Dipendekkan cerita, saya tiba di perkarangan sekolah lama dengan penuh kesyukuran. Agak lama juga tidak ke sini. Walaupun jarak sekolah dengan rumah saya tidak sampai 5 kilometer, jika Allah tidak izinkan untuk sampai, pasti saya tidak sampai.

Usai berterawih. Imam mengalunkan zikir munajat. Ya Allah, ia menggamit memori lalu apabila adik-adik pelajar mengalunkan bersama penuh semangat. Gema suara memecah sunyi masjid serta kepekatan malam. Bulu roma saya meremang, jantung hati pula bergoncang kuat. Hebat! Masya Allah. Subhanallah.

Begitulah, zikir apabila ada fikir. Terasa nikmatnya. Terasa rohnya. Fikir tanpa zikir, zikir tanpa fikir seperti kata sifu saya - tiada makna - kembali merewang dalam sarang minda.

Tatkala zikir sedang berkumandang, mata saya terpana pada sebuah rak Al-Quran yang terletak di bahagian tepi masjid.

Hati tiba-tiba terasa sayu. Sayu melihat keadaan fizikal Al-Quran yang sudah lusuh dan uzur. Entah kenapa, tangan saya gatal untuk 'snap' keadaan rak Al-Quran ini dengan kamera ciput.

Untuk beberapa tempoh, saya teringatkan kisah seorang penggerak NGO yang menceritakan perihal umat Islam di Kemboja yang memerlukan Al-Quran untuk kegunaan mereka di sana. Menurutnya, "Mereka di sana begitu dhaif. Al-Quran terpaksa dikoyak-koyak serta disusun mengikut juzuk kecil agar dapat dimanfaatkan oleh ramai orang. Jika satu naskhah Al-Quran, mereka akan pecahkan kepada 30 juzuk dan agih-agihkan kepada 30 orang. Seorang akan dapat satu juzuk. Jika mahu baca juzuk lain, mereka kena bertukar."

Di tempat kita, rasanya tidak berlaku sedemikian. Fikir saya begitu.

Usai slot ceramah dan makan-makan bersama sahabat serta ustaz bertugas, saya pun pulang bersama sahabat baik.

Hampir 10 minit kami tidak bercakap. Fikiran saya terganggu apabila melihat keadaan fizikal 'Al-Quran' di sekolah lama. Kebetulan, sahabat saya memainkan bacaan Al-Quran melalui pemain CD keretanya. Ia sungguh menenangkan jiwa. Ia sedikit sebanyak menghilangkan 'gangguan' yang bersarang pada minda.

----------

Bagi saya, menerima mesej ajakan ke ceramah Nuzul Al-Quran, mendengar alunan zikir tentang 'Al-Quran', mendengar ceramah tentang 'Al-Quran', melihat fizikal 'Al-Quran' yang dhaif, teringatkan kisah seorang penggerak NGO di Kemboja serta mendengar bacaan 'Al-Quran' di dalam kereta sahabat merupakan petanda serta ingatan baik dari Allah agar saya terus mencintai Al-Quran. Cinta pada Al-Quran bukan sekadar dengan membacaannya, malah menterjemah dalam kehidupan seharian. 

Allahu rabbi...Ceramah Nuzul Al-Quran di sekolah baru-baru ini menyedarkan saya betapa pentingnya Al-Quran dalam hidup. Tajuk ceramah begitu kena dengan beberapa catatan kecil yang berlaku sepanjang malam pada diri sendiri. Benar, Al-Quran adaIah panduan menuju jalan yang benar. Beruntunglah kepada mereka yang benar-benar meletakkan 'Al-Quran' di dalam hati, bukan pada rak atau almari semata! Astaghfirullah...

Bonus Oh Bonus!

Wednesday, July 24, 2013

Rata-rata, penjawat awam begitu gembira di atas pemberian 'bonus' yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Alhamdulillah, ia sebahagian nikmat untuk disyukuri serta dimanfaatkan sebaiknya oleh si penerima.

Namun, ada sesuatu yang merisaukan diri selaku bukan penjawat awam. Jauh di sudut hati, ia merupakan kerisauan semulajadi apabila memikirkan nasib sebagai hamba Allah di dunia ini. Berfikir tentang hala tuju serta pengakhiran di mana. Berfikir tentang peluang yang sentiasa diberikan oleh Majikan kepada seorang hamba agar menjadi hamba terbaik di sisi-Nya adalah salah satu nikmat yang perlu disyukuri. Allah ya Allah, Majikan kita sangat Pengasih dan Penyayang.
Setinggi mana dosa, rahmat-Nya terbentang luas.
Bonus boleh berlaku dalam pelbagai cara dan keadaan. Kenaikan pangkat, tender projek menjadi milik kita, lulus temuduga mohon kerja, menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, menjejaki bumi Haramain, memperoleh sahabat baik, diberi kesembuhan daripada kesakitan dan pelbagai lagi. Hatta, diberi peluang untuk terus bernafas juga bonus untuk disyukuri. Bahkan, tidak ditarik nikmat Islam serta iman juga mampu menjadi bonus setiap hari buat mereka yang mahu berfikir dan mengambil pelajaran. 
Lalu, saya fikirkan, Ramadhan juga merupakan sebahagian daripada siri-siri 'bonus' yang Allah kurniakan. Sungguh, kita sedang menikmati dan merasai bonus yang maha hebat ini. Ia bonus untuk umat Nabi Muhammad sallalahu allaihi wassalam yang tiada pada umat-umat sebelumnya.
Maka, bonus jika difikir di luar kotak, ia tidak terhad kepada pemberian imbuhan tertentu sahaja. Bahkan, ia tidak terhad dalam bentuk duit atau subsidi sahaja.
Tatkala Ramadhan melewati pertengahan bulan, apakah pengumuman bonus oleh Allah SWT seperti Lailatul Qadar, pengampunan dosa serta memperoleh darjat TAQWA mampu kita terima sepanjang menduduki madrasah Ramadhan 1434H ini?
Teringat pesanan seorang ustaz sebelum memasuki madrasah Ramadhan, "Jadikan Ramadhan ini merupakan Ramadhan terbaik untuk kita. Setidak-tidaknya, ia lebih baik daripada Ramadhan tahun lepas."

Bergembiralah wahai diri yang bersungguh-sungguh mengejar bonus Allah. Kejarlah bonus-bonus yang ditawarkan mengikut aturan-Nya. Lakukan semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah.
Ibarat pesan Ustaz Pahrol Mohd Juoi melalui naskhah 'Seraut Kata, Selaut Rasa', "Mujahadah itu awalnya susah, tetapi akhirnya indah!"
 Moga Allah merezekikan bonus tersebut untuk kita. Amin.

Catatan berbuka puasa di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Sunday, July 21, 2013


"Boleh pakcik duduk?" Sapa seorang lelaki yang sedang mencari-cari tempat duduk untuk berbuka puasa.

Kebetulan tempat duduk saya masih ada dua kekosongan.

Seraya saya berkata, "Silakan duduk. Masih kosong lagi di sini."

Lelaki itu tersenyum girang dan memberitahu, "Terima kasih. Pakcik tengok kebanyakkan tempat sudah penuh. Segan nak bertanya tempat yang dipenuhi dengan ahli keluarga. Kamu tak ada keluarga ker?"

"Oh, kami berdua sahaja." Sambil merujuk kepada sahabat baik yang berada setentang dengan saya. Sahabat saya senyum sahaja.

Tatkala azan Maghrib berkumandang, kami bertiga menjamu dengan buah kurma serta sedikit kuih yang disediakan oleh pihak masjid. Nikmat berbuka puasa di masjid amat dirasai. Apatah lagi dengan mereka yang jarang serta tidak pernah saya temui sebelum daripada ini.

Sedang asyik menjamu selera, tiba-tiba lelaki itu membuka bekas makanan yang terisi dengan 'Kue Tiaw Goreng' untuk dijamu kepada kami. Pada awalnya, saya dan sahabat baik menolak. Menolak bersebab kerana pada fikiran kami, pasti makanan itu dibawa khas untuk dirinya. Namun, jangkaan kami ternyata meleset.

Setelah berkali-kali beliau mempelawa, akhirnya beliau mengagihkan ke dalam pinggan plastik untuk diberikan kepada kami. Kali ini ini, kami menerima pelawaannya tanpa membantah lagi.

Saat 'Kue Tiaw Goreng' memasuki ruang mulut saya, fikiran terus berfikir bahawa lelaki ini begitu bertuah kerana berjaya menjamu orang berbuka puasa. Pahalanya sungguh besar. Ia menyamai pahala orang yang dijamunya berbuka, sedikitpun tidak kurang.

Allah ya Allah. Sikap lelaki ini membuatkan hati saya tersentuh. Lelaki ini membuka mata hati untuk melihat kebaikan dalam pelbagai sisi. Catatan ringkas di Masjid Wilayah pasti menjadi kenangan terindah buat diri.

Ramadhan Datang Lagi

Tuesday, July 9, 2013



Beberapa jam sahaja lagi, bulan Syaaban 1434H bakal meninggalkan kita. Perginya tidak akan kembali lagi. Selepas ini, tiada lagi bulan persiapan, persediaan serta latihan untuk kita. Kita bakal menempuh madrasah atau ‘universiti’ Ramadhan dengan bekalan yang dibawa.

Seseorang pelari jika tidak melakukan apa-apa latihan atau ‘warm-up’  sebelum berlari, sudah tentu lariannya pincang, pancit dan terbantut di pertengahan jalan. Berbeza dengan pelari yang cukup latihan dan sentiasa memastikan fizikal dalam keadaan terbaik, pasti lariannya pantas, tidak termengah-mengah dan akhirnya mampu menamatkan larian dengan baik.

Ramadhan akan lebih bermakna apabila kita melaluinya dengan penuh persediaan. Kita bersedia dari sudut akal, hati serta fizikal. Kesemua aspek tersebut memerlukan persiapan terbaik. Selain itu, berdoa serta memohonlah kepada Allah supaya kita diberi kekuatan untuk berhadapan dengan bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan serta kerahmatan.

Tidak bermakna dengan tidak melakukan persediaan rapi sepanjang Rejab dan Syaaban boleh menyebabkan kita ‘pancit’ sewaktu meraikan pesta ibadah. Namun, bersedia sebelum tibanya bulan Ramadhan adalah saranan baik daripada kebanyakkan para alim-ulamak untuk diambil berat. Bahkan, ia dibincang secara khusus di dalam kitab-kitab karya bijak-pandai. 

Kini, hanya menunggu detikan jam sahaja untuk memasuki  bulan Ramadhan secara rasmi. Syaaban 1434H bakal ditinggalkan sebagaimana kita meninggalkan Rejab dan bulan-bulan sebelumnya. Biarlah kita memasuki Ramadhan al-Mubarak pada kali ini dengan satu target yang jelas untuk dicapai. Pokoknya, pasti berasaskan kepada redha Allah. 

Ayat 183, Surah al-Baqarah menjadi teras kepada ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Apa yang dimahukan ialah memperoleh ‘taqwa’ apabila berakhirnya Ramadhan.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Didoakan kedatangan Ramadhan pada kali ini memberi 1001 kebaikan pada diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh alam. Sesungguhnya kita masih dipilih untuk berada dalam madrasah Ramadhan lagi pada tahun ini. Ia nikmat untuk disyukuri.
Bak kata seorang penulis skrip tanahair, Tuan Zabidi Mohamed, “Jadikanlah keredhaan Allah itu sebagai matlamat hidupmu. Masa yang berlalu jangan kau tangisi. Masa akan datang jangan terasa kita yang punya. Bukankah ketetapan itu ketentuan Allah. DIA yang menjadikanmu. DIA jugalah yang berhak mengatur hidupmu. Usahlah kau meminta sesuatu yang belum dirancang untuk mu."
BENAR, Ramadhan datang lagi.