Minggu ini merupakan minggu terakhir Ramadhan. Ia dibezakan dengan beberapa hari sahaja dengan bulan Syawal. Perkiraan mudahnya begitu.
Perasaan serta jiwa raga pula berbolak-balik. Ada masa bersemangat untuk menamatkan Ramadhan ini sebaik mungkin dan ada masa juga bersemangat untuk menyambut kedatangan Syawal.
Jika melihat suasana berpuasa, berterawih, membaca al-Quran, bersedekah pada bulan Ramadhan ini, perasaan menjadi kuat secara tiba-tiba untuk meneruskan amal kebaikan. Namun, jika melihat suasana persiapan rumah, pakaian, langsir, juadah raya, maka perasaan menjadi kuat juga secara tiba-tiba untuk meraikan hari raya. Tambahahan pula, ucapan hari raya sudah berduyun-duyun memasuki laman sosial yang kita miliki, kad raya yang dihantar oleh kenalan, iklan di radio mahupun televisyen membuatkan diri seakan-akan lupa seketika untuk meneruskan misi terakhir pada bulan Ramadhan ini.
Begitulah suasana membentuk perasaan serta jiwa kita. Ia teramat dominan apabila kita tidak berpendirian teguh dan mudah mengikut persekitaran. Ibarat lalang, apabila ditiup angin akan mengikut arah angin yang bertiup itu. Saya yakin dan percaya, kita bukanlah lalang!
Perjalanan pulang mereka yang di perantauan ke desa tercinta menambahkan sedikit sebanyak keghairahan untuk menyambut Syawal tiba. Pasti ibu bapa di desa seronok untuk bergembira dan tidak sabar-sabar menyambut anak tercinta pulang dengan dakapan mesra serta makanan yang sedap-sedap untuk dihidangkan. Maklumlah, situasi sebegini bukannya selalu. Setahun sekali!
Namun, di celah-celah keseronokan serta keghairahan mereka yang bergembira, ada insan-insan yang masih tekun dan seolah-olah tidak peduli dengan sambutan 1 Syawal. Bagi mereka ialah untuk menamatkan madrasah Ramadhan dengan sebaik mungkin. Pada akal dan hati mereka, inilah Ramadhan terakhir. Berat rasanya mahu membiarkan Ramadhan berlalu pergi.
Bukannya mereka tidak seronok untuk berhari raya. Mereka seronok. Mereka cukup seronok sekali jika 1 Syawal disambut dengan pengakhiran 'taqwa' serta 'pengampunan dosa-dosa yang lalu.' Itulah makna hari raya buat mereka yang soleh dan cintakan kepada kebaikan Ramadhan al-Mubarak.
Mereka raikan penuh keseronokan, penuh makna dan penuh kesyukuran!
0 comments:
Post a Comment