Entri terakhir yang ditulis ialah pada 15 Ogos
2012. Rasa-rasanya, inilah entri yang saya tulis sejak Ramadhan berlalu pergi. Hampir
tiga minggu juga tidak berblog.
Apa-apapun, Tuhan masih memberikan lagi
kekuatan untuk berblog dan berukhwah dalam alam yang tiada sempadan ini. Alam
maya yang merentasi negara-negara yang tidak saya pernah jejaki secara nyata. Dengan
berblog, ia tidak mustahil lagi. Bezanya ialah ia hanya dapat dirasai secara ‘maya’
sahaja. Logiknya begitu.
Bulan berganti bulan, kini bulan Syawal 1433H
sudahpun berada di pertengahan. Madrasah Ramadhan terasa sudah lama kita
tinggalkan. Walhal, ia masih lagi belum mencukupi sebulan kita tinggalkan. Madrasah
yang menjadi dambaan ramai di kalangan kita seolah-olah kelihatan sepi apabila
bulan Syawal memasuki.
Mahu melihat orang berduyun-duyun melakukan
kebajikan serta amal soleh sebagaimana pada bulan Ramadhan, sudah tentu kita
perlu menunggunya pada Ramadhan akan datang. Mahu melihat pada bulan-bulan
selain bulan Ramadhan, sudah tentu ia cukup mustahil. Pada bulan Ramadhan,
siang dan malam kita cuba penuhi dengan amal soleh. Jika boleh, kita tidak mahu
lepaskan saat-saat bersama dengan bulan Ramadhan untuk beribadat. Begitulah sebahagian
besar di kalangan kita apabila berhadapan dengan bulan Ramadhan, walaupun ada
segelintir yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan bulan Syawal. Terasa seperti
dipenjara apabila melalui madrasah Ramadhan ini. Bagi mereka yang beriman, perasaan
sebegitu tidak lahir, malah tidak mahu pula berpisah dengan Ramadhan ini.
Hakikatnya, kita telah lama melepasi madrasah
Ramadhan. Hari-hari kita ialah hari pada bulan Syawal. Bukan lagi hari-hari
pada bulan Ramadhan. Terfikirkah kita, seandainya kita layak menerima Piala
Taqwa atau bergraduan dengan ijazah taqwa pada Ramadhan yang lalu, apakah
ijazah yang diterima itu mampu kita pertahankan sekarang? Atau bagaimana?
Mungkin pada bulan Ramadhan, kita menjadi lebih
positif dan bersemangat untuk melakukan kebaikan disebabkan oleh suasana
persekitarannya cukup membantu. Maka, kita dengan sendirinya terdorong untuk
melakukan kebaikan tanpa menghadapi sebarang masalah. Bagaimana pula dengan
bulan selain bulan Ramadhan, mampukah kita mendorong diri sendiri untuk
melakukan kebaikan tatkala persekitarannya tidaklah sebaik atau sepositif
persekitaran pada bulan Ramadhan? Di sinilah persoalan serta muhasabah yang
perlu dilakukan.
Beramal soleh bukan ‘hebat’ pada bulan
Ramadhan sahaja, bahkan ia perlu juga ‘hebat’ pada bulan-bulan lain. Alasannya
cukup mudah, kita tidak tahu bilakah tarikh sebenar kematian kita. Sedangkan
mati itu pasti! Jadi, biarlah kita konsisten walaupun amalan yang kita lakukan
itu kecil kerana nabi begitu suka dengan amalan yang dilakukan oleh umatnya
yang kecil tetapi istiqomah (konsisten). Jika kita boleh khatam al-Quran pada
bulan Ramadhan, biarlah kita boleh khatam juga pada bulan-bulan lain. Jika kita
mampu bersedekah dalam amaun yang banyak pada bulan Ramadhan, biarlah kita
boleh bersedekah dalam amaun yang banyak juga pada bulan-bulan lain. Jika kita
boleh solat berjemaah di masjid, biarlah kita boleh berjemaah juga pada
bulan-bulan lain.
Semoga kita mampu mengekalkan serta meneruskan
amal soleh serta kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu pada
bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain juga. Biarlah madrasah Ramadhan yang
lalu mampu memberi kesan kepada diri kita untuk menjadi hamba-Nya yang bertaqwa
pada setiap ketika dan keadaan.
0 comments:
Post a Comment