Salam Nuzul Al-Quran 1433H

Sunday, August 5, 2012

Esok, umat Islam di Malaysia bakal bercuti bersempena hari ’Nuzul al-Quran.’ Maka, sudah pasti ada yang berkira-kira untuk memenuhi masa cuti yang diberikan untuk bersama keluarga, membeli-belah, berprogram dan tidak ramai juga mahu berehat seharian.

Tidakkah ia sesuatu merugikan jika hari yang cukup besar dalam kalendar Islam tidak digunakan sebaiknya untuk membaca, menghayati seterusnya beramal dengan ayat-ayat al-Quran. Manfaatlah sebaik mungkin hari kebesaran ini dengan mendekatkan diri dengan al-Quran, mudah-mudahan ia memberikan kita petunjuk serta panduan untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. 

Di dalamnya, ada pelbagai hikmah serta ayat yang mampu meruntun jiwa untuk lebih dekat dengan Allah. Tiada kitab atau panduan selain daripada al-Quran yang relevan dari dahulu hingga ke hari kiamat di dunia ini. Jaminan Allah untuk memeliharanya adalah bukti bahawa kitab ini bukanlah kitab biasa untuk kita. Jika tidak, Allah tidak akan menjaminnya pula!

Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu sebuah motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan melalui buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, berkemungkinan menyebabkan motokar akan rosak dan tidak selamat.

Oleh sebab itu manusia perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, kita bakal sesat dan masyarakat akan porak-peranda.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” 

(Surah Al-A’araf 7:203)

Semoga kita sentiasa menjadikan al-Quran sebagai “How to Use” untuk kehidupan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan alam keseluruhannya. 

Salam Nuzul al-Quran 1433H!


0 comments:

Post a Comment