Kesan kepada tindakan yang kita lakukan hanya
ada dua sahaja, sama ada kita mendapat pahala ataupun dosa. Tidak ada di
tengah-tengah atau separuh-separuh. Sifir asasnya adalah begitu.
Jika kita melakukan kebaikan dan amal soleh,
pasti mendapat pahala. Jika kita melakukan kejahatan atau kemungkaran pula,
pasti mendapat dosa. Soalnya, yang mana kita banyak lakukan saban hari? Sama
ada perkara kebaikan ataupun sebaliknya?
Soalan kelihatan ringkas, tetapi jawapannya mungkin
tidak seringkas soalan yang ditanya. Agak saya begitu. Fitrah manusia ialah
melakukan kesalahan, kesilapan, kejahatan dan kesemuanya mampu membawa kepada
dosa. Apabila yang banyak tercatat itu adalah dosa berbanding pahala, pasti
destinasi kita akan ke neraka. Nauzubillah…
Bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak
ini, marilah kita mengejar dan merebut peluang pengampunan ke atas dosa-dosa
yang telah kita lakukan selama ini. Sama ada dosa kecil ataupun besar. Sama ada
dosa yang kita sedari ataupun tidak sedari. Sama ada dosa melibatkan hubungan
kita dengan Allah ataupun sesama manusia. Sebaik-baiknya manusia ialah memohon
keampunan di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini.
Peluang dan ruang untuk bertaubat dan
memohon keampunan sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi ketika kita masih berada
pada bulan Ramadhan ini. Maka, amat rugilah jika kita tidak bersungguh-sungguh
merebut peluang yang diberikan ini.
Selain beristighfar atau bertaubat, melalui
puasa juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada masa lalu. Berpuasa bukannya
sekadar menunaikan rukun Islam yang ketiga atau menahan diri daripada melakukan
perkara yang membatalkan puasa sahaja, melaluinya juga kita sebenarnya
berpeluang untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu jika ia dilakukan penuh
keikhlasan dan keimanan kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya
dosa-dosa yang lepas.”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Selain pahala yang diraih, kita bakal mendapat
pengampunan ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Begitulah kasih serta
sayangnya Allah kepada kita, setiap saat dan ketika di dalam bulan Ramadhan
pasti ada ruang untuk diberi pengampunan. Itu baharu dengan berpuasa, lihat
pula dengan sabdaan Rasulullah tentang saranan untuk berqiamullail. Natijah yang
sama dijanjikan iaitu pengampunan dosa oleh Allah.
“Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya
dosa-dosa yang lepas.”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Apabila meneliti kembali kedua-dua sabdaan
Rasulullah SAW, saya mendapati bahawa ruang pengampunan dosa adalah setiap
saat, setiap minit, setiap jam dan setiap hari. Logiknya begini, siang hari
kita berpuasa, maka di sana ada ruang pengampunan untuk kita perolehi. Pada
malam hari pula, kita berqiam atau mendirikan waktu malam dengan berterawih,
berqiamullail, bertadarus atau apa sahaja amal ibadah yang memberi erti kita ‘menghidupkan
malam’, maka di sana ada juga ruang pengampunan untuk kita. Allahu Rabbi…Kasih
sungguh Allah kepada kita, bukan?
Yang tinggal hanya, sejauh mana kita merebut
peluang tersedia dan terbentang luas sepanjang Ramadhan ini?
Seruan untuk diri sendiri dan juga kalian yang
membaca entri ini, “Mohonlah Pengampunan…”
Lantas sebelum menutup entri ini saya terlintas
ingatan tegas daripada Rasulullah SAW sewaktu baginda menaiki mimbar di
Madinah:-
“Sangat malang, orang yang berkesempatan
melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi)
Semoga Allah mengampuni dosa kita semua sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya!
0 comments:
Post a Comment