Penamaan Calon : Dicalonkan atau Mencalonkan?

Saturday, April 20, 2013


Hari ini, 20 April 2013 (Sabtu) merupakan hari penamaan calon bagi parti-parti bertanding bersempena pilihanraya kali ke-13. Bagi mereka yang mengikuti proses demokrasi, hari ini merupakan penentu secara muktamad siapa lawan siapa atau parti mana bertanding sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.

Suka duka serta rasa kecewa kerana ‘tidak tercalon’ semasa PRU13 ini jelas tergambar oleh segelintir ahli parti. Ia boleh dibaca pada akhbar Sinar Harian (Bilangan 2410, muka surat 2, 4, 10, 12 dan 14). Saya terpanggil untuk menulis tentang hal ini setelah meneliti berita yang dilaporkan serta tulisan-tulisan lain.

Bayangkan, sewaktu kita bercinta dengan seseorang, tiba-tiba cinta kita ditolak di atas alasan beliau mencintai orang lain. Sebelum itu, kitalah cinta awal dan akhirnya. Hampir keseluruhan cinta, kita serahkan kepada dirinya. Hanya satu harapan kita, menjadi pasangan sah buat dirinya kelak. Pasti kita berasa kecewa dan ‘frust’, bukan?

Di dalam politik pun ada rasa kecewa juga.

Rasa kecewa ditunjukkan dengan pelbagai cara. Ada yang ‘mencalonkan’ diri untuk bertanding sebagai calon bebas, membakar bendera dan bilik gerakan parti sendiri, mensabatoj dengan tidak memberi sokongan padu dengan menutup bilik gerakan serta wujud perubahan calon pada saat-saat akhir hari penamaan jelas menggambarkan rasa kecewa yang ada, sama ada pemimpin, pendokong malah di kalangan ahli kebanyakkan.

Walaupun yang berlaku hanyalah segelintir, ia mampu memberi persepsi buruk kepada sesebuah parti itu. Malah, jauh lebih buruk, ia mampu membuka pekung di dada kepada parti lawan serta rakyat keseluruhan yang menjadi ‘pemerhati’ serta ‘hakim’ dalam amalan sistem demokrasi berparlimen ini.

Sebagai contoh, kes Datuk Kamilia Ibrahim yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar jelas menggambarkan kekecewaan daripada seorang pendokong parti politik yang mempunyai jawatan tinggi dalam parti. Baginya, ia merupakan ‘penghinaan’ daripada parti kesayangan apabila apa yang diperjuangkan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pucuk pimpinan. Rasa ‘penghinaan’ tersebut diluahkan pada akaun Facebook miliknya. 

Contoh lain ialah di Parlimen Pasir Mas apabila calon BN yang sepatutnya bertanding tidak menyerahkan borang pencalonan kepada pihak SPR kerana memberi laluan kepada calon bebas untuk bertanding. Juga ada calon yang mahu bertanding kerana disebabkan tarikh 20 April merupakan tarikh hari kelahirannya. Allah…Allah….

Walaupun kes yang dipetik ini rationya tidak besar, namun ia merupakan manifestasi yang telah ditunjukkan secara langsung oleh ahli serta pendokong sesebuah parti politik dalam PRU13 ini. Pun begitu, laungan ‘transformasi politik’ oleh Perdana Menteri nampaknya bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi ia melibatkan ahli sendiri.  

Begitulah sedikit sebanyak senario yang berlaku sehingga lewat petang ini. Cuma, ada perkara yang merisaukan saya jika ia tidak ditangani secara serius dan berhikmah. Mempertahan serta merealisasikan aspirasi bukanlah perkara mudah, ia jauh lebih sukar berbanding untuk membina aspirasi itu sendiri. Rakyat kebanyakkan mahu melihat ‘aspirasi’ itu benar-benar dapat diterjemah sehingga ke akar umbi dan tidak hanya berlegar pada peringkat-peringat tertentu. Bahkan, rakyat sekarang jauh lebih bijak untuk menilai pemimpin yang bijak menabur janji atau melaksanakan janji, menjadi YB iaitu yang berhormat atau yang memberi khidmat, dan pelbagai penilaian lain yang saya fikir dan percaya rakyat ada pertimbangan waras serta bijak dalam hal ini. Kita kan rakyat bijak memilih!

Dalam Islam kita sering diingat serta dipesan-pesan agar memilih pemimpin yang benar-benar dapat menunaikan amanah serta mampu berlaku adil. Tidak melakukan khianat serta berlaku zalim. Rata-rata kita faham tentang hal ini, namun yang tinggal adalah bagaimana untuk menterjemahkan dalam bentuk tindakan khususnya pada 5 Mei ini.

Sama ada dicalonkan atau mencalonkan diri, sebenarnya di sana ada pertimbangan ‘amanah’ untuk difikirkan. Ia bukanlah kebanggaan untuk diraih, malah merupakan ‘taklifan’ berat yang pasti akan dipersoal di hadapan Allah kelak. Mahu terdengar kisah-kisah calon bersujud syukur kerana tidak dicalonkan begitu sukar pada zaman ini. Yang sampai di telinga ialah kisah bodek-membodek serta lobi-melobi untuk diangkat menjadi calon. Tidak keterlaluan dinyatakan di sini, wujud kisah ‘mengangkat diri’ secara terbuka sama ada melalui media massa, cetak atau sosial untuk dicalonkan untuk bertanding. Seolah-olah, menjadi pemimpin di peringkat DUN atau Parlimen itu menjadi rebutan secara terbuka pula.

Tinggal hanya 15 hari dari sekarang untuk membuat pilihan. Biarlah pilihan dilakukan berpandukan pada iman serta ilmu, bukannya di atas ketaksuban ideologi serta pemikiran tertentu yang menyebabkan kita melihat ‘pilihan’ yang ada begitu sempit.

Ingatlah, pilihan yang bakal kita lakukan nanti merupakan hasil daripada pilihan-pilihan yang ada di hadapan kita, malah dengan memilih untuk tidak membuat pilihan sebenarnya kita sudah membuat pilihan.

Saya menulis hanya untuk Dia dan tulisan ini tidak berpihak kepada mana-mana pihak melainkan kepada pendokong kebenaran serta pencinta kebaikan di dalam negara demokrasi berparlimen ini. Didoakan agar Allah membuka mata hati kita untuk melihat kebenaran.

Semoga beroleh kebaikan dan manfaat!

Kisah Duit 50 sen

Sunday, April 7, 2013


“Kringggg.. Terima kasih cikgu.”

Semua pelajar mula beredar ke kantin. Namun ada seorang pelajar tidak keluar untuk berehat. Dia masih duduk di bangku dan matanya sepi memandang ke luar tingkap.

“Zafri, awak tak rehat ke?” Tanya guru mata pelajaran agama kepada pelajarnya.

“Tak, cikgu.” Jawab Zafri ringkas.

“Kenapa Zafri tak rehat?”

Jawab Zafri, "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin sekolah, 50 sen ini hanya dapat beli nugget je sekeping. Malu la cikgu beratur panjang-panjang, tapi dapat beli nugget sekeping je. Saya kumpul duit hari ini untuk makan pada hari esok. Jadi dapatlah saya makan nugget 50 sen dan segelas air sirap 50 sen. Saya pergi ke kantin hanya pada hari Selasa dan Khamis je cikgu.” Zafri tertunduk malu selepas memberitahu kisahnya.

Perasaan seorang guru mula bercampur baur, sedih dan sebak. Pada tahun 2013 ini masih ada pelajar yang membawa wang saku 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50 sen sangat besar ertinya.

Guru itu terus bertanyakan soalan, “Kalau hari Jumaat, Zafri tak pergi kantin lah ye?”
“Oh... Hari Jumaat duit 50 sen ini saya sedekahkan di masjid, cikgu!” Jawab Zafri perlahan. Lalu terus menyambung jawapannya, “Mak saya kata, kalau kita sedekah, rezeki akan bertambah...”

Mata seorang cikgu mula berkaca...Terkejut serta perasaan bertambah sebak. “Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pula. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku ini. Luaskan rezeki mereka. Semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.”

Kisah pelajar sendiri begitu terpukul pada diri sendiri. Sewaktu kaki melangkah keluar dari kelas itu, minda terbayangkan duit 50 sen yang diberi unttk makan, diinfakkan untuk tabung masjid pada setiap kali hari Jumaat.

Kisah ini nampak kecil, tetapi bagi seorang guru agama seperti saya, ia cukup besar pengajarannya. Bahkan, mungkin Allah mahu bukakan mata saya agar dapat melihat amalan bersedekah pelajar sendiri walau hanya dengan 50 sen.

NOTA | Kisah ini merupakan petikan kisah yang dibaca oleh saya di Facebook. Sedikit adaptasi dilakukan agar ia kelihatan menarik dan saya cuba sedaya upaya untuk mengekalkan agar mesej utama kisah ini tidak berubah. Didoakan ia memberi manfaat serta kebaikan untuk diri kita yang membacanya. 


Air Bateri

Monday, March 25, 2013


Semalam saya ada janji temu dengan seorang sahabat selepas waktu Maghrib.

Kebetulan pula, enjin kereta saya tidak dapat dihidupkan. Fikir saya pada waktu itu hanyalah satu, "barangkali bateri kereta lemah."

Dengan tergesa-gesa, saya memohon ehsan daripada isteri agar menghulurkan kunci kereta miliknya. Isteri saya faham, diberikan kunci tanda simpati di atas dugaan berlaku.

Saya hidupkan enjin kereta milik isteri dan memecut laju ke tempat yang dijanjikan. Saya memohon maaf di atas kelewatan dan memberitahu 'dugaan' menimpa kepada sahabat baik. Dia senyum dan hanya berkata, "Tak apa."

Sewaktu bersembang, sahabat saya menasihati serta berkongsi berbagai-bagai topik yang banyak manfaatnya. Saya kutip satu persatu dan semat pada minda.

Salah satu nasihat yang masih saya ingat ialah anjuran untuk melakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Muhasabah sering dilupakan. Sedangkan melalui muhasabah kita dapat mengenali diri sendiri serta Pencipta kepada diri kita. Kita akan tahu kekuatan dan kelemahan melalui muhasabah.

Entah kenapa, nasihat sahabat saya tentang 'muhasabah' bermain-main di minda sehinggalah saya terkait dengan kereta yang mengalami masalah bateri.

Pada awalnya, mati-mati saya ingat bahawa bateri kereta memang sudah tidak berfungsi lagi dan perlu ditukarkan dengan bateri baharu. Penyelesaian awalnya difikir begitu.

Entah mengapa, poin 'muhasabah' berkali-kali menerjah ke dalam minda. Allah campakkan ilham untuk saya berfikir secara serius dan apa yang berlaku cukup menakjubkan. Allah...Allah...

Allah ilhamkan saya dengan persoalan berikut, "Bateri kering atau bateri basah (air)?" Persoalan ringkas, tetapi teramat signifikan. Saya sendiri lupa sama ada bateri yang diguna pada kereta itu, sama ada bateri kering ataupun basah. Lama sungguh tidak menjenguk bonet enjin kereta di bahagian hadapan, sehinggakan bateri kereta sendiri pun terlupa.

Saya berpandukan kepada ilham yang dicetus oleh-Nya.

Sebaik sahaja bonet dibuka serta ditongkatkan dengan sebatang besi tersedia, mata terfokus pada bahagian bateri kereta. Saya amati betul-betul. Ya, memang sah bateri yang diguna pakai oleh kereta sendiri ialah bateri basah.

Maka, bergegaslah saya mencari botol air bateri. Nasib baik ada satu botol yang tersimpan di rumah. Itupun sudah tinggal separuh botol.

Saya buka botol itu cepat-cepat dan membaca "Bismillah' sebelum menuangkan air bateri ke bahagian lubang bateri yang ada.

Usai sahaja menuangkan kesemuanya, saya bertawakal dan mengharapkan keajaiban berlaku.

Saya masukkan kunci pada suis enjin dan terus memulas kunci itu, alhamdulillah enjin kereta berjaya dihidupkan. Gembira bukan main kepalang lagi. Rasa syukur turut mengiringi rasa gembira di hati.

Ya. Ada sesuatu pengajaran bermakna saya perolehi melalui dugaan ini. Nasihat seorang sahabat tentang 'muhasabah' serta 'ilham' dari-Nya merupakan nikmat yang tidak mampu saya engkari serta dustakan.

Pengajaran yang boleh saya simpulkan ialah lakukanlah muhasabah. Melalui muhasabah kita kenal diri kita dan Tuhan yang mencipta kita. Kita dapat kenal diri sendiri dengan 'membuka' mata fizikal serta mata hati untuk melihat ke dalam diri. Seandainya ada 'kelemahan' pada diri yang kita temui, maka perbaikilah. Seterusnya, perelokan sebaik mungkin.

Ia ibarat seperti bonet enjin kereta yang tidak pernah dibuka. Apabila enjin kereta mengalami masalah, pasti bonet itu dibuka untuk mencari punca sebenar masalah. Sekiranya masalah itu berkaitan dengan bateri, maka kita akan mengatasi masalah tersebut sebaik mungkin. Sama ada menukar baharu, mengisi air bateri atau mengecas dengan bateri lain. Pokoknya, bonet itu mesti dibuka. Jika tidak, kita tidak akan tahu masalah sebenar selama-lamanya.

Begitu juga dengan diri kita, cara 'membuka' atau membedah diri sendiri ialah dengan melakukan muhasabah.

Semoga beroleh manfaat sewaktu kalian membacanya. Ia kisah kecil diri sendiri untuk dikongsi manfaat besarnya.

(Gambar botol air bateri di atas merupakan bukti atau ekshibit yang digunakan untuk mengisi bateri basah kereta)

Sementara

Monday, March 18, 2013

Majoriti di kalangan kita memang tahu bahawa tempoh hidup di dunia ini hanyalah 'sementara'. Malah, terkadang ada orang yang mempersoal tentang tempoh sementara itu lama mana, 20 tahunkah? 58 tahunkah? atau seminggukah?

Sementara dalam konteks hari di dunia tidak sama dengan konteks hari di akhirat. Satu hari di dunia bersamaan dengan 1000 tahun hari di akhirat. 

Jika kita membuat kira-kira matematik, andaikata kita hidup di dunia ini selama 60 tahun, berapakah jumlah hari kita di akhirat kelak?

Hanya satu sahaja persoalan yang terlintas pada minda. Bagaimana sekiranya hari-hari di akhirat kelak merupakan hari yang ditentukan untuk kita berada di neraka, bukannya di syurga? Pasti kita semua tidak mahukan destinasi bukan pilihan itu. Semua bercita-cita mahukan syurga-Nya, termasuklah diri sendiri.

Firman Allah s.wt melalui ayat 61, Surah Al-Qashash memberi maksud tentang apa yang mahu saya tulis pada entri ini.


“Maka apakah orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (surga) lalu ia memperolehnya, sama dengan orang yang Kami berikan kepadanya kenikmatan hidup duniawi; kemudian dia pada hari kiamat termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam neraka)?"

Ayat tersebut mengingatkan tentang tujuan sebenar kehidupan di dunia ini agar tidak rugi di akhirat kelak. Dunia bukanlah syurga sebenar untuk dikejar bagi setiap orang Islam. Ia merupakan medan ujian serta tempat beramal soleh. Sebenar-benar syurga kita ialah di akhirat sana.

Jika kita sentiasa terbayang tentang hari-hari yang perlu dilalui di dalam syurga, pasti kita bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan dan amal soleh ketika di dunia ini kerana kita tahu bahawa di sanalan destinasi abadi dan nikmat sebenar bagi orang yang beriman dan beramal soleh.

Manfaatkan umur yang ada serta waktu hidup yang 'sementara' di dunia ini untuk tidak melakukan perkara yang tidak disukai Allah serta mengundang murka-Nya kelak. 

Ingatan Allah s.w.t melalui ayat 26, Surah Az-Zumar menjadi penutup kepada entri ringkas ini. Mudah-mudahan ada manfaat diperoleh.

“Maka Allah merasakan kepada mereka kehinaan pada kehidupan dunia. Dan sesungguhnya azab pada hari akhirat lebih besar kalau mereka mengetahui.”


Bersama Hilal Asyraf

Tuesday, March 12, 2013



Pada 9 Mac 2013 (Sabtu), saya berpeluang berbengkel separuh hari dengan Tuan Hilal Asyraf di Pengkalan Chepa, Kelantan. Beliau merupakan penulis novel serta buku motivasi Islami terkenal tanahair yang berdiri di atas jenama ‘Langitilahi’. Jenama yang semakin berkembang baik ini sebenarnya menjadi pendorong kepada saya untuk terus belajar menulis serta berkarya dalam konteks saya sendiri. Berkarya mampu menjadi medan terbaik untuk berkongsi kebaikan serta manfaat.

Bahkan berkali-kali beliau menasihati peserta bengkel agar menjadi insan bermanfaat kerana diri setiap Muslim itu sebenarnya bermanfaat. 

Sepanjang perkongsian beliau sendiri sampaikan, saya dapat perhatikan dengan jelas bahawa kunci kepada kejayaannya ialah ‘disiplin’. Beliau menyarankan agar setiap daripada kami mempunyai jadual jika mahu benar-benar berjaya dalam bidang penulisan. Kawalan diri atau ‘self control’ perlu dipatuhi sebaiknya. Jika tidak, kejayaan akan menjadi mimpi-mimpi indah sahaja.

Sewaktu sesi bengkel berlangsung, beliau ada bertanyakan soalan ini:-

“Apakah faktor penyebab kejayaan seseorang dalam bidang penulisan? Bakat atau Latihan?”

Lalu, ada yang menjawab ‘bakat’, ada yang menjawab ‘latihan’ dan ada juga yang menjawab kedua-duanya sekali. Lantas, ada seorang peserta memberikan pilihan jawapan lain iaitu ‘minat’. Kata Tuan Hilal Asyraf, jawapan betul ialah ‘minat’. 

Beliau juga berkali-kali berpesan agar setiap penulis perlu ada opsyen ketiga, jika ada dua opsyen yang perlu dipilih. Jika ada tiga opsyen, maka penulis mampu mengeluarkan opsyen keempat. Apatah lagi ia melibatkan penulisan fiksyen seperti novel yang memerlukan kepada daya fikir serta imaginasi yang tinggi.

Di samping itu, beliau menekakan faktor terpenting sewaktu mahu berkecimpung dalam dunia penulisan ialah faktor niat. Hadith tentang niat beliau ulas begitu baik dan dikaitkan dengan matlamat akhir iaitu untuk mencapai ‘redha Allah’. Apa-apapun, matlamat kita perlulah jelas dan ‘clear likes a crystal’. Jangan melencong dalam mengejar matlamat walaupun satu darjah. Kesan akhirnya, kita tidak sesekali sampai pada matlamat sebenar. 

Jika mahu ditulis, memang banyak. Benarlah kata-kata Allah, jika lautan menjadi tinta untuk menulis ilmu-ilmu di atas muka bumi ini, nescaya tidak cukup. Allahu rabbi… 

Segala ilmu, pengalaman serta perkongsian selama separuh hari yang dicurahkan oleh beliau diharapkan mampu diterjemah dalam bentuk tindakan pula. Doakan teman-teman.

“Lempeng Seorang Abah”

Thursday, February 28, 2013


Memasak bukanlah kesukaan saya sejak kecil. Jauh sama sekali untuk menjadi hobi, malah kerjaya. Saya tahu bahawa ada orang suka memasak dari kecil sehinggalah besar.

Seorang jiran baik pernah bercerita perihal anaknya yang suka menggoreng telur serta memasak nasi sendiri. Sehinggalah pandai menggoreng nasi sewaktu usia belasan tahun. Mengamati ceritanya, saya fahami bahawa aktiviti memasak boleh berlaku pada usia muda. Bahkan, ada orang yang tidak tahu memasak nasi walaupun umurnya sudah meningkat dewasa.

Menjadi kelaziman bahawa aktiviti memasak sering dikaitkan dengan tugasan seorang wanita, sama ada sebagai ibu, sebagai isteri ataupun adik-beradik perempuan kita. Lazimnya begitu. Jika ada di kalangan lelaki yang mampu memasak dengan baik, jumlahnya tidak besar. Ia berlaku di luar kelaziman.

Kebetulan pula hari ini anak kesayangan memohon sesuatu.

“Abah…Abah boleh goreng lempeng macam Mama goreng?” 

Kanak-kanak kecil itu meminta sesuatu yang pernah dimakannya. Malah, beliau sendiri pernah aktif ‘menyibuk’ sewaktu ibunya mahu menyediakan lempeng. Bermula daripada penyediaan bahan-bahan sehinggalah mengacau di dalam bekas, kesibukannya sukar dibendung. 

“Abah…Jangan lupa masukkan tepung, telur dan air nanti. Yid tengok Mama buat lempeng macam itu…”

Saya memang tidak pernah memasak lempeng terpaksa membuka buku resipi. Dalam hati berbisik halus, “Mahu masak lempeng pun kena buka buku. Inilah orang lelaki.”

Jujur saya katakan, bahan-bahan yang disebut oleh kanak-kanak kecil itu ada dalam senarai bahan-bahan yang dibaca melalui buku resepi. Memori kanak-kanak kecil itu cukup tajam dan mampu mengingat dengan baik bahan-bahan bagi penyediaan lempeng. Walaupun ‘menyibuk’, matanya memerhati dan akalnya menangkap kemas senaraian bahan.

“Abah…Abah tahu tak nak masak lempeng macam Mama? Yid tahu…Tapi…Tapi…Yid tak pandai memasak. Takut terkena api!” Sekali lagi kanak-kanak kecil itu bertanyakan soalan sama. 

“Nanti abah masak lempeng untuk Yid. Yid tunggu, OK.”

“Okey Abah…”

Selesai sahaja memasak lempeng, saya hidangkan untuknya. Perkara pertama yang saya dengar ialah komen kanak-kanak kecil itu yang membandingkan bahawa lempeng yang saya masak itu tidak sesedap lempeng ibunya masak.

Ya. Hakikat kesedapan ada bezanya walaupun tidak ketara. Lempeng yang saya masak ada banyak kekurangan. Biasalah, masakan kali pertama.

Namun, di sebalik masakan lempeng melalui air tangan sendiri, saya belajar sesuatu yang amat berharga iaitu memasak bukanlah kerja yang sukar. Malah, memasak merupakan kerja yang mulia. 

Jadi, hargailah ibu, isteri, atau sesiapa sahaja yang mampu berada di dapur untuk menyediakan masakan untuk santapan keluarga. Walau hanya memasak ‘lempeng’ yang tidak sedap pada hari ini, ia bukanlah penghalang besar untuk saya terus berada di dapur.