23 Hari

Saturday, March 3, 2012


Hampir 23 hari saya berulang-alik ke hospital untuk menjaga ibu mertua yang diserang penyakit jantung. Rawatan yang diterimanya pelbagai. Wadnya juga sering berpindah-randah. Bermula di wad CRW sehinggalah ke Wad 10 bersebelahan dengan Wad Diraja. Semuanya menjadi tempat ibu mertua saya menerima rawatan sakit jantung. 

Sepanjang saya berada di hospital, sungguh banyak iktibar yang saya perolehi. Bukan kepada orang yang sakit sahaja, malah orang yang masih diberikan nikmat ‘sihat’ seperti saya hendaklah juga mengambil pengiktibaran di atas apa yang telah, sedang dan akan berlaku di sekeliling. Nikmat sihat itu sungguh terasa apabila kita diuji dengan kesakitan. Ia saling berkait di antaranya. Jika kita tidak sakit, mungkin kita terlupa untuk mensyukuri nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada kita. Sesungguhnya pesan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ingatlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Di antaranya ialah nikmat sihat sebelum sakit. Sungguh benar, ia merupakan ingatan untuk kita pelihara dan jaganya setiap masa iaitu kesihatan diri!

Pelbagai ragam dan karenah orang ‘sakit’ yang dapat saya lihat sepanjang 23 hari. Melihat dengan mata kasar dan juga dengan mata hati. Itulah yang saya lihat dan cuba lihat ketika di hospital. Lihat secara fizikal menampakkan orang itu sungguh sakit dan menderita ketika diuji dengan kesakitan. Tubuh menjadi lemah, berat badan menurun, malah, tidak berselera pula dengan makanan yang dihidangkan. Pada jiwa mereka pula seolah-olah sedang merintih untuk kembali ‘sihat’. Sungguh, mereka bertarung dengan fizikal, mental dan juga jiwa. Sungguh sakit ujian ‘kesihatan’ itu.

Ketika menulis entri ini, saya terbayangkan kisah Nabi Ayub a.s yang terkenal dengan ujian kesihatan ke atas dirinya. Allah campakkan penyakit ke atas Nabi Ayub. Bukan ujian kecil, sehinggakan keluarga terdekat sudah tidak sanggup untuk menguruskan penyakit yang ada pada Nabi Ayub. Sungguh tabah dan sabar Nabi Ayub dengan ujian yang diberikan. Sehinggakan Nabi Ayub berdoa kepada Allah dan doanya telah dirakamkan di dalam surah Al-Anbiyaa, ayat 83 yang bermaksud :

"(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang."  
Ya, Allah…Sungguh sabar Nabi Ayub ketika menerima ujian tersebut. Bahkan, beliau masih memikirkan bahawa Allah itu masih sayang kepadanya walaupun beliau dalam keadaan kesakitan. Kita? Barangkali ada di antara kita yang mampu bersabar seperti Nabi Ayub. Mungkin kecil bilangannya. Kebanyakkannya, ramai yang pasrah dan sugul dalam erti kata negatif apabila kesakitan sudah menimpa diri. Kita acap kali berfikir dan bertindak mengikut hawa nafsu serta akal yang tidak berpandukan iman. Kita seolah-olah ‘marah’ apabila Allah menguji kita dengan kesakitan. Diri menjadi lemah, selemah-lemahnya. Seolah tidak berdaya untuk melakukan apa-apa lagi. Ia bagaikan kiamat untuk kehidupan kita. Seakan-akan tiada lagi hari esok untuk kita kembali sihat. Pasrah dengan takdir dengan tidak melakukan apa-apa usaha. Itulah yang sering terjadi, lebih-lebih lagi sakit yang ditanggung itu dalam tempoh yang agak lama.

Jika mahu dititip, sungguh banyak apa yang mahu dititipkan sepanjang 23 hari. Ia bukannya tempoh yang sekejap bagi mereka yang berada di hospital. Waktu yang amat panjang untuk berangan-angan agar kembali sihat dan berjaya pulang ke pintu rumah. Biarpun yang dititip ini agak umum, namun tempoh 23 hari sudah cukup untuk mengajar saya betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan diri. Janganlah sampai kita sakit barulah kita sibuk untuk menjaga kesihatan diri, sudah tentu ia amat terlewat untuk kita mula menghargai nikmat kesihatan itu. Ia adalah nikmat yang perlu dijaga serta dipelihara setiap masa dan ketika. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawatnya? 

Andainya ditarik nikmat kesihatan pada ketika ini, mampukah kita bersabar dan tidak merungut sepertimana yang dilalui oleh Nabi Ayub a.s? Sama-samalah kita renungkan, semoga ada kebaikan untuk kita.  

0 comments:

Post a Comment