Kupasan Buku ‘Magnet Diri’

Wednesday, March 14, 2012


Hari Rabu bertarikh 14 Mac 2012, saya berpeluang untuk mengikuti kupasan buku ‘Magnet Diri’ yang diadakan di Dewan Seminar ITC, Kota Bharu, Kelantan. Hampir 20 orang peserta hadir untuk mengupas buku ‘Magnet Diri’ bersama dengan penulisnya, Amin Idris. 

Sesungguhnya banyak yang saya mahu ketahui serta kupas tentang buku ‘Magnet Diri’ daripada penulis buku ini sendiri yang merupakan seorang penulis, motivator serta pengacara rancangan Assalamualaikum di TV Alhijrah. Hampir 2 jam mengupas buku bersama dengan penulis, ia seolah-olah tidak mencukupi bagi diri saya serta peserta-peserta lain yang hadir. Kupasan yang diberikan seolah-olah pada peringkat pengenalan mengapa buku ini ditulis. Ia belum dikupas sedalam-dalamnya lagi. Fikir saya, “perlu kepada masa tambahan lain agar buku ini benar-benar dikupas serta dibedah! Mungkin lain kali kena kupas untuk 1 hari barangkali…” Namun, kesimpulan yang mampu saya buat sepanjang mengikuti kupasan buku ini ia sungguh bermanfaat.

Apa-apapun, kebanyakan peserta yang hadir sungguh teruja dengan kupasan yang diberikan oleh penulis. Apa tidaknya, perkongsian dari hati sudah pasti mampu turun ke hati juga. Penulis begitu bersemangat mengungkapkan kata-kata, ‘analogi’, ‘energi’ serta ‘sinergi’ kepada peserta-peserta yang hadir di samping menunjukkan dengan tangan di manakah ungkapan-ungkapan itu perlu berada pada diri kita. Ketika menggambarkan ‘analogi’, tangannya menunjukkan di kepala. Ketika menggambarkan ‘energi’, tangannya pula menunjukkan di dada. Manakala ketika menggambarkan ‘sinergi’, tangannya menggayakan ‘ala-ala Hitler memberi arahan untuk dipatuhi’. Itulah tiga ungkapan keramat yang ada pada buku ‘Magnet Diri’. Ia adalah untuk mencipta pengaruh luar biasa dan berjaya.

Penulis juga begitu tegas menyatakan bahawa untuk mencari pengaruh bukan semestinya dengan mempunyai jawatan. Ia mesti dibina dan dicari. Contoh yang diberikan oleh penulis ialah bagaimana jika kita menguruskan sesebuah amanah dengan tidak mempunyai sebarang pengaruh. Kemungkinan besar, amanah yang diberikan itu akan kita abaikan seterusnya dikhianati. Bagaimana si ayah mahukan anak-anaknya mematuhi arahannya, sudah tentu si ayah juga mampu mempengaruhi mereka juga untuk mematuhi arahannya nanti. Itulah pengaruh dalam ruang lingkup kekeluargaan, di antara si ayah dan anak-anaknya.

Pada sesi tersebut juga, penulis sempat berkongsi “Tiga Prinsip Utama Magnet Diri” iaitu :-

Prinsip 1 : Semua orang adalah kawan. Tiada musuh, walaupun musuh sekalipun.

Prinsip 2 : Setiap orang adalah unik. Maka, saya perlu meneroka dan berusaha untuk  menghargainya.

Prinsip 3 : Setiap orang suka diterima, diiktiraf dan dirasai kewujudannya. 

Biarpun masa yang ada begitu terhad dan suntuk, namun ia sudah cukup untuk membuka mata saya untuk melihat fungsi ‘pengaruh’ dalam kerangka yang lebih luas lagi. Sekali lagi ditegaskan, untuk menjadi individu yang berpengaruh, tidak semestinya dengan berjawatan! 

Begitulah sedikit kenangan kupasan buku 'Magnet Diri' dicatat...

0 comments:

Post a Comment