Terima Kasih Dr Hj Tengku Asmadi!

Tuesday, March 27, 2012



Lobi hotel itu sungguh damai. Sedamai suasana petangnya. Tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk walaupun hotel itu dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin. Namun, suhunya masih pada tahap sederhana sejuk. Lobi itu juga bebas daripada hiruk-piruk serta kesibukan manusia dan bandarnya. Pada awalnya, tidak ramai yang berkunjung ke ruangan lobi itu. Sehinggalah lewat petang tiba, baharulah ada beberapa orang lain yang datang berkunjung untuk minum-minum serta bersantai. 

“Peluang bertemu dengan Dr nanti, mahu saya manfaatkan sebaik mungkin.” Itulah niat yang tersemat di hati. Mudah-mudahan, niat ini mampu disusuli pula dengan tindakan.

Selain itu, tekad saya juga adalah untuk menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman yang ada pada diri Dr. Ia tidak lain hanyalah sebagai bekal serta motivasi kepada diri sendiri untuk lebih yakin dan bersemangat menghadapi kehidupan. Ketika saat untuk bertemu ini dirancang, tulisan Dr di Facebook tentang ‘Carilah Mentor’ masih berlegar-legar pada minda saya. Tulisan itu cukup ringkas dan memberi makna yang cukup besar dalam hidup saya sejak akhir-akhir ini. Seingat saya, saya membaca tulisan Dr pada 23 Mac 2012 dan saya bertemu dengan Dr secara ‘kebetulan’ pada 25 Mac dan secara temujanjinya pula pada 27 Mac 2012. Tidakkah tarikh-tarikh itu jaraknya terlalu dekat dengan pertemuan saya dengan Dr? Lagipun saya hanya mengikuti perkembangan Dr melalui laman sosial dan televisyen sahaja. “Sungguh hebat perancangan Allah!” Itulah ungkapan yang boleh saya simpulkan tentang bagaimana pertemuan ini boleh berlaku dan menjadi asas kepada entri ini ditulis. 

Sesungguhnya, kehadiran saya yang ditemani oleh rakan kongsi sepejabat disambut dengan penuh senyuman oleh Dr. Wajahnya yang cukup ceria membuatkan saya tidak sabar-sabar lagi  untuk terus bersembang dengannya. Setelah bersalaman, kami berdua memilih untuk berada di kafe hotel sebagai transit untuk bersembang dengan ikon motivasi ini. 

Pendek kata, banyak yang saya perolehi setelah hampir dua jam bersembang dengan Dr. Pelbagai perkara yang disembangkan. Pelbagai tip juga dikongsikan. Pada waktu itu, saya seolah-olah dipukau dengan kepetahan Dr berbicara. Sehinggakan saya tidak mampu bertanyakan banyak soalan kepadanya. Nasib baiklah saya mampu menjadi pendengar yang setia. 

Apa yang boleh saya katakan tentang Dr ialah beliau seorang yang tidak ‘lokek’ atau senang untuk berkongsi ilmu serta pengalaman. Itulah yang membuatkan saya agak selesa ketika bersembang dengannya. Seakan-akan saya sudah lama mengenalinya. Antara yang Dr kongsikan ialah bagaimana praktikal atau amalan terhadap sesuatu perkara mampu mematangkan ilmu kita. Orang yang berkata-kata tentang sesuatu ilmu belum tentu dia merasakan kebenaran ilmunya melainkan dia sendiri telah melaluinya. Itulah pengalaman praktikal! Bukan salah atau benar yang mahu dipersoalkan tentang ilmu, tetapi di antara hanya dengan berkata-kata dan mempraktikkan ilmu yang dimiliki. Sudah pasti ada beza yang amat ketara. 

Sesungguhnya, pertemuan dengan Dr adalah nikmat yang tidak boleh saya nafikan indahnya. Ia sebuah pertemuan yang tidak dirancang pada awalnya. Lalu, saya merancangnya untuk bertemu. Tiada maknanya jika kita hanya mengharapkan banyak ‘kebetulan’ berlaku dalam hidup berbanding dengan merancang sebetul-betulnya ketika hidup. Ia sebuah konotasi kata-kata yang berbeza maknanya.

Doa saya, biarlah ia menjadi ‘sembang bermanfaat’ dan mampu membawa kebaikan kepada diri saya khususnya dalam membuat tafsiran hidup. Ia sungguh indah jika kita mampu melihat dunia ini dalam pelbagai sudut dan sisi. Elakkan menjadi insan yang jumud atau rigid kepada satu-satu tafsiran sahaja. 

 Sebagai akhirnya, “Terima kasih Dr!” 

3 comments:

Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D said...

Assalamualaikum Tuan Firdaus,

Alhamdulillah saya juga seronok bertemu tuan. Terisi masa saya dengan sesuatu yang bermanfat. Berkongsi ilmu, bermuzakarah dan menjalin satu hubungan silaturahim bukanlah pekerjaan yang sia-sia. Insya Allah kelak nanti kita bertemu lagi.

UmmuNuha said...

aiyakk..muzakarah mengenai poligami tak selit pun..ahakss..

Firdaus Shope said...

Waalaikumusalam Dr, terima kasih kembali. Saya amat menghargainya!

UmmuNuha, ada ker muzakarah tentang tu?? Hehe...Yang itu kena tulis dalam bab khusus...

Post a Comment