Sekadar Berkongsi...

Thursday, March 8, 2012

Lewat petang kelmarin, saya berkesempatan merakam beberapa keping gambar di kebun sayur ibu bapa saya di Pasir Mas. Kebun kecil yang diusahakan bagi memanfaatkan ruang tanah yang ada. Daripada terbiar kosong atau bersemak-samun, lebih baik ditanam dengan sayur-sayuran bagi manfaat sendiri. Setidak-tidaknya, ada juga aktiviti berkebun di rumah. Sedikit sebanyak mampu mengeluarkan peluh di badan. Bukan hanya menghabiskan masa dengan rancangan Astro di kaca televisyen atau berjam-jam membaca berita di suratkhabar sahaja. 

Ada beberapa keping gambar yang saya rakamkan mahu dikongsi pada entri kali ini. Ia sekadar perkongsian sahaja. Okeylah, gambar pertama yang mahu saya kongsikan ialah gambar seekor belalang yang sedang asyik bertenggek di atas daun sayur sawi. Gambar ini dirakam dengan menggunakan satu aplikasi khas yang ada pada kamera biasa saya. Teknik fotografi ini saya pelajari daripada seorang motivator ketika berada di Cameroon Highlands baru-baru ini. Nama tekniknya saya tidak ketahui, yang saya tahu adalah bagaimana untuk menggunakan teknik atau aplikasi tersebut. Hmm…lihat sahajalah hasilnya, cantik bukan? Gambar ini tidak ada apa-apa suntingan selepas dirakam. Yang ada hanyalah, alamat blog saya di bahagian bawah paling kanan. Sambil-sambil tu kenalah promosi blog sendiri juga! (http://Firdaushope.blogspot.com)


Gambar kedua yang mahu saya kongsikan di sini ialah gambar bunga sayur petola. Kalau dialek Kelantan, mereka menggelarkannya ‘bunga buoh tene’. Sudah tentu ramai di kalangan kita yang sukakan sayur petola bukan? Tidak terkecuali dengan diri saya juga. Cuma, kenalkah kita dengan bungannya? Takut-takut tertukar dengan bunga-bungaan sahaja nanti. Sebab ia kelihatan seperti ‘bunga kuning’.

 
Gambar terakhir yang mahu saya kongsikan ialah gambar pokok langsat yang sudah keguguran daun-daunnya. Pokok ini masih gagah berdiri walaupun agak kosong dengan dedaun. Malah, ia diserikan dengan latar belakang langit nan membiru yang cukup mempesonakan mata saya lewat petang kelmarin. Seolah-olah ada asap putih yang keluar daripada celah-celah rantingan pokok itu bukan? Itulah lingkaran awan sirus yang cukup nipis, bukannya awan kolumbus yang menebal. Teringat pula subjek Geografi ketika di sekolah menengah apabila berbicara tentang jenis-jenis awan ;)


Subhanallah… Sungguh takjub dengan beberapa gambar kecil ini. Kecil kerana ia dirakam oleh bukan di kalangan jurufoto yang profesional. Jurufoto sambilan dan begitu amatur seperti saya. Sudah pasti ada penilaian yang berbeza dari segi rakaman gambarnya. Cuma, dari sudut yang saya tidak mampu pertikaikan ialah mesej yang ada pada gambar-gambar tersebut. Benar pepatah Inggeris ada menyatakan, "A picture is worth a thousand words". Rakaman ini sungguh membuka mata saya untuk terus belajar daripada alam sekeliling yang kadang-kadang kita terlupa untuk belajar daripadanya. Sungguh banyak faedah serta iktibar untuk kita ambil dan berfikir. Bukankah dengan berfikir tentang alam, kita juga mampu melihat kebesaran serta keagungan Ilahi? 

Sudah tentu saya hanya sekadar berkongsi sahaja...

0 comments:

Post a Comment