Kuasa Doa

Thursday, April 12, 2012


Sungguh hebat kuasa doa! Itulah yang boleh saya perkatakan ketika saat entri ini ditulis. Doa bukan sekadar kita tahu membacanya. Juga, bukan sekadar kita tahu akan maknanya. Ia lebih daripada membaca dan juga mengetahui makna. Doa ialah bagaimana cara kita meyakini dan bergantung harap pada-Nya. Jika ketika berdoa, kita masih lagi ragu-ragu dan was-was dengan apa yang diminta, mana mungkin Allah memakbulkan apa yang kita minta. Benar sekali, ada kalanya Allah menangguhkan 'permintaan' kita disebabkan oleh rasa kurang yakin dengan-Nya.

Dua situasi kecil yang boleh saya jadikan contoh tentang kuasa doa dan ia benar-benar terjadi terhadap diri saya pada hari ini. Mudah-mudahan ia mampu memberikan kebaikan buat kita semua.

Situasi Pertama

Hari ini saya ada temu janji anak dengan klinik kesihatan untuk pemeriksaan rutin. Pada awalnya, saya menjangkakan orang akan ramai pada hari ini kerana semalam (11hb) adalah cuti pertabalan YDPA. Jadi, mereka yang sudah ditetapkan untuk berjumpa pada 11hb ditangguhkan pada hari ini termasuklah jadual anak saya. Masuk sahaja ke pintu klinik, orang awam sudah memenuhi tempat duduk. Malah, ada yang berdiri untuk menunggu giliran. Ketika itu, saya sudah menjangkakan bahawa telahan saya adalah benar. Namun, hati saya berdoa dan merintih agar urusan anak saya di klinik tidak akan mengambil masa yang terlalu lama. Mudah-mudahan ia dipermudahkan. “Rabii yassir wala tuassir...”

Setibanya di bilik kanak-kanak dan ibu bersalin yang terletak di tingkat satu, saya agak terkejut kerana suasananya tidaklah sesibuk di tingkat bawah. Jangkaan awal saya sungguh meleset. Agak lenggang sedikit. Lantas saya bertanya di kaunter, “Puan, temujanji anak saya sepatutnya kelmarin (11hb), tetapi kelmarin cuti pertabalan YDPA. Jadi, saya datanglah pada hari ini. Tiada masalah kan?” Jelas saya dengan panjang lebar. “Ok, encik. Sila duduk. Nanti kami akan panggil!” Jururawat bertugas menjawab sambil melontarkan senyuman. Tidak sampai 5 minit sahaja saya menunggu, tiba-tiba kedengaran suara jururawat memanggil, “Farid...Sila datang!”

Alangkah terkejutnya saya, secepat itu giliran saya dipanggil. Saya perhatikan, ada beberapa orang lain lagi yang sedang menunggu giliran untuk dipanggil juga. Perhatian saya mula beralih arah kepada meja tempat jururawat memanggil. Tanpa berlengah, saya mula meninggalkan tempat duduk sambil memimpin tangan anak saya untuk berjumpa dengan jururawat yang bertugas. “Allahu Akbar...Sungguh hebat kuasa berdoa!”

Situasi Kedua

Berkali-kali saya mencari parkir kereta ketika mahu singgah di pejabat. Amat susah sekali sehinggakan berkali-kali saya melalui jalan yang sama. Sehinggakan saya mengeluh dan berkata, “Aduh...Kenapalah susah sangat nak ‘parking’ hari ini. Banyak sungguh kenderaan yang sedang berpusing-pusing mencari parkir seperti saya.”

Entah kenapa, tiba-tiba mulut saya terpancul doa, “Rabbi yassir wala tuassir...” dan menyambungnya dengan lebih spesifik lagi, “Ya, Allah...Mudahkan aku untuk mencari ‘parking’!”

Dengan tidak disangka-sangka, muncul kelibat sepasang suami isteri yang sedang menuju ke arah keretanya. Jarak kereta saya dengan kereta pasangan tersebut adalah lebih kurang dengan 50 meter sahaja. Amat dekat sekali. “Ya, Allah...sungguh besar kuasa-Mu!” Beberapa minit sahaja, kereta tersebut dengan perlahan-lahan meninggalkan kotak parkir. Dengan tenang, saya memasuki parkir kosong yang ditinggalkannya. Allahu Akbar...

Sesungguhnya Engkau telah memudahkan urusan aku pada hari ini. Mengapa tidak sahaja berdoa? Bukankah ia merupakan alat perhubungan terpantas di antara kita dan Dia?

0 comments:

Post a Comment