Melihat Kelip-Kelip

Friday, April 20, 2012

 
Berhujung minggu dengan melihat kelip-kelip? Ia sesuatu pengalaman yang amat berharga buat diri saya pada hari Jumaat, 20 April 2012.

Sungguh, pengalaman melihat kelip-kelip secara langsung ada banyak bezanya dengan melihat secara tidak langsung. Saya pernah menonton rancangan atau dokumentari berkenaan dengannya di TV3 pada suatu ketika dahulu. Ketika itu, saya amat seronok melihat gelagat pengacara program bercerita tentang pengalamannya melihat kelip-kelip di sebuah sungai di sekitar Kuala Selangor, Selangor. Pengalaman melihat kelip-kelip secara 'live' juga tidak boleh disamakan dengan melihat gambar kelip-kelip di internet atau melalui koleksi gambar tentang unggas. Ia amat berbeza sekali.

Untuk melihat kelip-kelip secara ‘live’, saya dibawa oleh jurumudi bot menyelusuri sungai Tok Kenali. Perjalanan dengan menaiki bot adalah merupakan pengalaman pertama saya. Ia sungguh mengujakan pada awalnya. Ketika kaki mula menjejaki permukaan bot, saya mula terasa gayat dan takut. Maklumlah, pertama kali menaiki bot sepanjang hidup. Sudah tentu, ia akan menjadi catatan yang tidak akan dilupakan oleh saya.

Perjalanan bermula setelah muatan bot tersebut penuh dengan penumpang-penumpang lain. Keadaan bot yang seimbang amat dititik beratkan oleh jurumudi yang bertugas. Ia penting untuk memastikan perjalanan lancar dan tidak mengalami masalah di kemudian hari. Begitulah rasa tanggungjawab jurumudi bot yang nampak saya lihat ketika beliau menguruskan bot saya. Setelah semuanya bersedia, bot secara perlahan-lahan meninggalkan pengkalan di mana tempat bot tersebut berlabuh. Ketika itulah, hati kecil saya mulai berdoa agar perjalanan pada malam Jumaat ini berlangsung dalam keadaan selamat. 

Setelah beberapa meter bot meninggalkan pengkalan, baharulah kedengaran enjin bot memecah suasana sunyi malam. Rasa takut saya pada air mulai beransur-ansur hilang. Hilangnya seiring dengan perjalanan bot amat-amatlah dirasai. Tambahan pula, perjalanan saya dibantu oleh jurumudi yang cukup berpengalaman dan arif tentang selok-belok kawasan sungai ini. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba kedengaran suara rakan seperjalanan saya mengajukan soalan mudah kepada jurumudi bot, “bang, berapa dalam air sungai ini?” Tanyanya penuh rasa ingin tahu. Saya juga tidak terlepas untuk ambil tahu dengan persoalan yang dilontarkannya. “Di sini, kira-kira 5 meter. Kalau kat depan sikit mampu mencecah 10 meter.” Jelasnya dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. “Wah, dalam juga tu…Tenggelam lah kita kalau dalamnya 5 meter!” Sampuk saya secara bersahaja.


Lebih kurang 10 minit perjalanan, saya mulai dapat melihat kelip-kelip berterbangan di kawasan pinggir sungai. Mula-mula seekor dua sahaja yang dilihat. Selepas itu, saya lihat ada sejumlah kelip-kelip yang berterbangan tinggi pada pokok dalam jumlah yang begitu banyak sekali. “Subhanallah…Sungguh hebat ciptaan Allah ini.” Kelihatan kelip-kelip tersebut membentuk seperti ‘pokok krismas’ dan suasananya cukup indah sekali.

Tahukah kita bahawa erti kelipan yang ada pada kelip-kelip? Pengelipan adalah bertujuan untuk menarik pasangan untuk mengawan. Selalunya kelip-kelip betina hinggap pada hujung daun pokok dan mengelip dengan merendahkan abdomen dekat dengan daun. Ada satu fakta menarik yang saya baca tentang kelip-kelip ketika entri ini ditulis. Faktanya begini, jika 6000 ekor kelip-kelip dimasukkan ke dalam satu botol kaca, kecerahan cahaya yang mampu dihasilkan adalah seakan-akan sebatang lilin. Wah, sungguh takjub apabila saya membaca fakta ini!

Sesungguhnya perjalanan melihat kelip-kelip semalam adalah merupakan peluang untuk saya mensyukuri ciptaan Allah melalui alam sekeliling. Mudah-mudahan ia mampu membuka mata saya untuk terus mengagungkan ciptaan Allah yang terkadang kita lupa untuk berfikir dan berzikir walaupun dengan hanya melihat kelip-kelip!

1 comments:

Qistina said...

Pernah melihat kelip-kelip disini juga bersama keluarga.

Memang seronok!

Jurumudi cakap bulan 7 lagi banyak kelip-kelip.

Post a Comment