Itulah kebanyakkan orang akan ingati tentang bulan April. Bulan keempat dalam susunan kalendar Masihi. Ia tidak lebih daripada bercerita tentang ingatan serta larangan untuk meraikan ‘April Fool.’ Hari yang diiktiraf untuk kita bergurau-senda dan melakukan pelbagai aktiviti ‘menyakat’ yang keterlaluan atau dalam istilahnya ‘foolishness’. Sesungguhnya, saya tidak sesekali berniat untuk menulis berkenaan hukum meraikan ‘April Fool’ di sini kerana sudah ramai para ilmuwan serta agamawan berbahas tentangnya.
Biarlah kita melihat bulan ini sebagai bulan yang kita tidak boleh berolok-olok atau bersenda-gurau. Bulan yang perlu kita hadapi dengan penuh serius dan tegas. Serius bukan bermakna kita tidak boleh bersenda-gurau langsung, boleh. Namun perlu ada batasannya. Jangan sampai 24 jam kita bergurau-senda dan jangan melampaui batas pula, kerana pasti ada kesan buruknya. Kita dibolehkan untuk bergurau-senda dalam kehidupan. Namun, jika terlebih bergurau, dibimbangi kita akan mula menipu dan berani berbohong. Itulah yang melampaui batas! Itulah yang mahu dielakkan dan itulah juga yang mahu kita pandang secara serius.
Bergurau-senda itu tidak salah dan Nabi sendiri melakukannya. Lihat sahajalah hadis yang dilaporkan oleh Anas bin Malik ini dan telah direkodkan oleh Tirmizi dan Abu Dawud :-
Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah supaya dibawa menaiki tunggangan. Rasulullah berkata kepada lelaki itu, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.” Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?” Jawab Rasulullah, “Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain?”
Sungguh hebat nabi bergurau-senda! Walaupun si lelaki tersebut seakan-akan sudah ‘terkena’ atau ‘disakat’ dengan jawapan sinis atau gurau nabi, namun nabi tidak berbohong. Itulah batasan yang nabi ajar, jangan sampai kita berbohong walaupun dengan bergurau-senda. Begitulah ia dibenarkan untuk bergurau. Jangan sampai berbohong. Ia amat jelas dinyatakan larangan tersebut melalui hadis yang direkodkan oleh Tirmizi ini :-
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?” Rasulullah menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”
Kita, bagaimana? Hmm…tepuk dada, tanyalah iman. Saya juga bertanyakan kepada iman saya sekarang ini. Sebenarnya, ajakan tersebut tidak mengecualikan saya sedikitpun. Sama-samalah kita menilai dan bermuhasabah. Jika bergurau, nabi sudahpun mendidik serta mencontohkan dengan sedemikian rupa, inikan pula dalam keadaan yang tidak bergurau dan memerlukan untuk serius. Kadang-kadang, kita terlebih pula bohongnya walaupun keadaan memerlukan kita untuk serius. Malah, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi ada menyatakan bahawa berbohong adalah sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan.
Sebagai contoh, ketika bersolat lima waktu. Saya membawakan satu situasi yang cukup mudah iaitu ketika ayah bertanyakan kita, “Sudahkah kamu bersolat Subuh?” Disebabkan oleh rasa takut dan akan dimarahi oleh ayah jika memberi jawapan ‘Tidak’, maka kita berbohong dahulu dengan berkata ‘Sudah’ atau ‘Ya’. Konon-kononnya, kita akan mengerjakan solat tersebut nanti. Jika tidak bersolat juga, bagaimana ya? Sungguh banyak kesilapan yang mampu memberika ‘dosa’ percuma kepada kita dengan berbohong tadi.
Sekurang-kurangnya, ada tiga kesalahan berbohong yang kita lakukan dalam situasi yang kita tidak sepatutnya bergurau dan perlu serius dengannya iaitu ketika untuk bersolat.
1) Membohongi ayah dengan berkata sudah bersolat, sedangkan kita masih lagi belum bersolat.
2) Jika ada niat mahu ‘bergurau-gurau’ ketika memberikan jawapan kepada si ayah, gurauan kita sudahpun mempunyai unsur-unsur berbohong yang ditegah oleh nabi.
3) Jika tidak menunaikan solat, kita telah berbohong dengan Allah pula.
Biarlah ‘April Fool’ ini dilihat dalam konteks yang positif dan baik. Tiada ‘fool’ pada tarikh 1 April. Yang membezakan kita ‘fool’ atau tidak ialah bagaimana kita menguruskan 1 April ini. Jika mampu membawa kepada kebaikan serta manfaat, sudah tentu ‘April Fool’ akan kita tukarkan kepada ‘April Right’, ‘April Honest’, ‘April True’, ‘April Correct’. Bukan untuk 1 April sahaja, malah ia amat sesuai untuk sepanjang bulan April dan seterusnya untuk sepanjang hidup kita untuk tidak melihat ‘April Fool’ dalam konteks negatif dan buruk!
0 comments:
Post a Comment