Itulah Chelsea…

Wednesday, April 25, 2012


Seusai solat Subuh, saya mengambil sedikit masa untuk mencoret tentang perlawanan bola sepak timbal balik separuh akhir kedua Juara Liga-Liga (UCL) di antara pasukan Chelsea menentang Barcelona. Sudah pasti Barca mengharapkan tuah Stadium Nou Camp serta sokongan padu penyokongnya untuk mengatasi defisit 1-0 yang tercatat di Stamford Bridge pada minggu lepas.

Perlawanan ‘hidup atau mati’ Chelsea ini bukanlah sesuatu perlawanan yang biasa. Ia lebih kepada sejarah pertembungan yang sudah lama tercatat sejak 5 tahun yang lalu. Nostalgia tahun 2009 masih lagi segar dalam ingatan saya. Ia sesuatu yang menyakitkan serta memedihkan hati untuk diratapi jika dikenang. Jaringan Iniesta pada lewat perlawanan telah menguburkan harapan Chelsea untuk layak ke perlawanan akhir pada tahun tersebut.

Berbekalkan dengan jaringan satu gol oleh Drogba serta yang paling utama ialah tidak membawa bekalan dibolosi oleh Barca ketika perlawanan pertama amat membantu Chelsea ketika bertandang ke Nou Camp. Rekod Chelsea di Nou Camp juga agak baik, sepanjang 3 pertemuan terakhir, Chelsea mencatat keputusan seri. Dengan fakta yang ada, saya amat yakin Chelsea pasti layak ke perlawanan akhir nanti. Jika layak, sudah pasti ia sebuah sejarah terindah yang bakal dilakar oleh pasukan yang terlalu mengharapkan kejuaraan dalam Liga Juara-Juara ini. Pasti, ia hadiah terlalu berharga buat pemilik Chelsea, Mr Abrahamovic serta peminat Chelsea di seluruh dunia tidak terkecuali juga saya.

Berikut adalah ringkasan catatan saya sepanjang menonton perlawanan di antara Chelsea dan Barcelona:-
  • Jangkaan awal saya ialah Chelsea akan bermain secara bertahan. Itulah taktikal kebanyakkan pengurus Chelsea gunakan bagi mengekalkan kemaraan Barca nanti. Pemain mesti 200% fokus terhadap taktikal yang dipilih. Kesebelasan pemain yang diturunkan pada perlawanan pada kali ini 100% sama dengan perlawanan di Stamford Bridge. Tiada perubahan pemain yang berlaku. Sudah tentu ia merupakan suatu penghormatan yang diberikan oleh pengurus sementara Chelsea untuk pemain-pemainnya.  
  • Penguasaan bola banyak memihak kepada Barca pada 30 minit pertama. Sekali-sekali ada serangan balas yang dilakukan oleh Chelsea sehinggalah pada minit 35, Barca telah berjaya membolosi gawang Chelsea dengan gol mudah melalui pemain pertahanannya, Bosquets. Kedudukan nampaknya sudah berubah, Barca sudah mendahului 1-0. Secara agregat, Barca 1, Chelsea 1. Peluang kembali menjadi seimbang, 50-50  
  • Kesilapan bodoh atau ‘silly mistake’ yang dilakukan oleh kapten Chelsea, John Terry ke atas penyerang Barca, Sanchez telah mengundang padah. Kad merah terus dilayankan untuknya. Bagi saya, ia merupakan insiden yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang kapten yang cukup berpengalaman sepertinya.  
  • Derita Chelsea ditambah lagi apabila Barca sekali lagi menjaringkan gol melalui Iniseta pada minit ke 43. Kesempatan bermain dengan 10 orang dimanfaat sebaik-baiknya oleh Barca. Kedudukan sudah menjadi 2-0. Keadaan sudah mencemaskan saya. Namun, keyakinan saya masih tinggi dengan mengharapkan agar Chelsea mampu menjaringkan gol di Nou Camp. Saya mengharapkan keajaiban akan berlaku di Nou Camp.  
  • Benar…Keajaiban telah berlaku! Saya melihat hantaran yang menakjubkan (wonderful and superb pass) daripada pemain tengah Chelsea, Frank Lampard kepada pemain berasal dari Brazil, Ramires berjaya disempurnakan melalui penyudah yang amat cantik. Satu ‘loop ball’ yang berjaya menewaskan penjaga gol Barca, Valdes. Gol!!! Harapan Chelsea bertambah cerah dengan jaringan di tempat lawan. Berjoget sakan Ramires! Mahu sahaja berjoget seperti Ramires fikir saya berkali-kali…  
  • Harapan saya ialah agar Chelsea tidak membenarkan lagi Barca membolosi gawang Chelsea pada separuh masa kedua. Usaha mempertahankan kubu Chelsea agar dibolosi harus dipandang serius oleh pemain-pemain. Sudah pasti taktikal untuk bertahan adalah taktikal terbaik untuk diaplikasikan oleh pemain-pemain. Ia mesti digandakan kepada 400%. Barca pasti mengawal bola (control the ball) dan akan melakukan serangan demi serangan bagi mengatasi Chelsea sekurang-kurangnya dengan kemenangan 3-1.  
  • Baru sahaja separuh masa kedua bermula, Barca dihadiahkan penalti pula oleh pengadil. Ia adalah hasil daripada kesilapan Drogba menjatuhkan Fabregas dalam kotak penalti. Ia adalah situasi 50-50 yang saya fikir. Seolah-olah Fabregas menjatuhkan badannya setelah terkena ‘tackle’ ringan oleh Drogba. Pandai sungguh berlakon Fabregas ni…  
  • Nasib baik penalti yang diambil oleh Messi terkena palang. Petr Cech dah tertewas, namun masih ada lagi benteng terakhir iaitu palang gol. Oh, nasib baik! Sungguh mencemaskan. Maka, badi Messi yang masih lagi tidak berjaya menjaringkan gol ketika menentang Chelsea pasti menghantuinya lagi. Keh…keh…  
  • Chelsea jelas bertahan pada separuh masa kedua. Kebanyakkan pemain berkampung dalam kotak penalti. Jika ada bola singgah di kaki, cepat-cepat mereka keluarkannya jauh-jauh. Jika dilihat, separuh masa kedua tidaklah secemas separuh masa pertama. Tidak banyak sangat gerakan merbahaya yang berjaya dilakukan oleh Barca. Kebanyakkannya dapat dipatahkan oleh pemain-pemain Chelsea dengan baik.  
  • Keyakinan saya masih lagi tidak pudar untuk melihat Chelsea mara ke perlawanan final sehinggalah perlawanan memasuki minit yang ke-80. Saya harap situasi pada minit-minit akhir tidak berlaku lagi sebagaimana pada tahun 2009. Ia sungguh menyakitkan jika Barca menjaringkan gol lagi.  
  • Tidak disangka-sangka, situasi yang agak kalut dalam kotak penalti telah memberikan ruang dan peluang kepada penyerang termahal dunia, Torres untuk menjaringkan gol. Bola yang dikeluarkan oleh Ashley Cole berjaya dikawal dengan baik oleh Torres sebelum memperdaya penjaga gol Barca buat kali kedua. Gol…Yeahhhh….Sungguh ia adalah keajaiban yang berlaku buat kali kedua. Ia juga berlaku dalam masa tambahan untuk separuh masa kedua. Sudah pasti, harapan Barca juga terkubur dengan gol Torres ini.  
  • Setelah wisel penamat ditiupkan oleh pengadil yang banyak menghadiahkan kad kepada pemain Chelsea, saya berasa langkah untuk mendakap piala Liga Juara-Juara semakin hampir. Hanya menunggu keputusan perlawanan di antara Real Madrid atau Bayern Munich sahaja untuk mengetahui siapakah lawan Chelsea nanti. 
Di sebalik banyak pasukan elit Liga Inggeris tumbang ketika bertanding dalam Liga Juara-Juara edisi 2012 ini, Chelsea yang bergelumang dengan pelbagai masalah terutamanya masalah pengurusan akhirnya telah menjadi wakil tunggal yang berjaya menempahkan slot perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Munich. Ia sesuatu pencapaian menakjubkan yang ditonjolkan oleh pemain-pemain yang kebanyakkannya dianggap ‘kuda tua’ ini. Saya mahu ‘kuda tua’ ini mengucup trofi Liga Juara-Juara sebelum EURO 2012 membuka tirainya nanti. 

Syukur… Sesungguhnya menentang Barca bukanlah sekadar perlawanan separuh akhir yang biasa. Ia merupakan perlawanan yang cukup bersejarah, penuh dengan nostalgia serta emosi. Sudah pasti, saya akan merayakan dalam hati saya dengan penuh kegembiraan dan ia merupakan kemenangan yang amat menakjubkan. Bermain dengan 10 orang pemain dan sekali lagi keputusan seri tercatat di Nou Camp.

Sesungguhnya, pasukan ini sentiasa di hati saya, itulah Chelsea…

0 comments:

Post a Comment