Demam bola semestinya buat peminat bola. Sanggup bersengkang
mata dan bangun awal pagi untuk menonton perlawanan bola. Begitulah kita apabila kita sudah
meminati sesuatu, kita sanggup lakukan apa sahaja. Allahu Rabbi…
Pesta bola yang menyaksikan pelbagai negara
bertanding, membuatkan pelbagai lapisan umur dan masyarakat mampu bersembang
mengenai bola. Sungguh seronok apabila bersembang perkara yang
kita suka, bukan? Malah, semangat penceritaannya pula sudah pasti berkobar-kobar dan berlainan nadanya.
Suka saya ingin menarik perhatian teman-teman
sekalian, tidak salah meminati dan menonton bola asalkan kita tidak melanggar
suruhan agama yang telah ditetapkan. Jangan sampai melewatkan solat atau
tertinggal solat, itu sudah di luar batasan dan menyebabkan dosa pula. Jagalah
pergaulan dan akhlak agar tidak menimbulkan masalah ketika menonton. Jika
terlalu fanatik dengan bola, bimbang-bimbang perkara yang tidak diingini
berlaku.
Jika kita pandai menguruskan masa, kita dapat
jadikan musim bola pada kali ini sebagai tempat untuk kita melakukan ibadat
sunat seperti bersolat tahajjud, taubat ataupun witir. Ia adalah amalan yang
dituntut apabila sudah memasuki satu pertiga malam. Bukankah ia saat terbaik
untuk kita melakukan amalan sunat tatkala pesta bola sedang berlangsung?
Biarpun banyak amalan sunat yang terhidang
untuk kita kerjakan, namun untuk menewaskan hawa nafsu bukanlah sesuatu perkara
yang mudah. Ia ada kaedah tersendiri untuk menjinakkan seterusnya mendidik
nafsu kita agar mudah dikawal. Jika tidak, ia sukar dikawal dan akan
memudaratkan pula. Pertarungan nafsu sungguh kuat apabila kita mahu melakukan
perkara yang dituntut oleh agama berbanding dengan perkara yang disukai oleh
nafsu. Ia situasi yang sungguh mencabar keimanan diri. Alasannya, jika kita
meminati sesuatu perkara, kita sanggup berkorban untuknya.
24 Rejab
Saya sungguh terpanggil untuk mengajak diri dan
juga teman-teman membuat muhasabah tentang kehadiran bulan Rejab yang akan berakhir
beberapa hari sahaja lagi. Ajakan kecil ini dibuat tatkala pesta bola masih lagi
rancak diperkatakan. Sudah pasti ajakan saya akan kelihatan kecil jika kita
tidak cuba untuk membuka mata hati kita seluas-luasnya.
Bulan Rejab yang dipenuhi dengan pelbagai peristiwa
besar untuk direnungi, seolah-olah kelihatan sepi pada mata masyarakat. Hari ini
sudahpun 24 Rejab dan beberapa hari sahaja lagi Peristiwa Isra’ dan Mikraj
bakal diraikan oleh umat Islam. Suasananya tidak sehebat kita meraikan
kehadiran pesta bola UERO 2012. Mungkin kempennya agak kurang dimainkan di
media massa atau media cetak. Yang ada hanyalah berita tentant bola. Ia mendapat
perhatian eksklusfi kebanyakan syarikat akhbar atau televisyen. Tambah pula, diri
sendiri sememangnya agak kurang suka untuk bercakap tentang bulan Rejab, sebab
itulah kehangatannya tidak dirasai. Wallahu alam…
Biarlah kehadiran Rejab lebih dirasai
berbanding kehadiran EURO 2012. Tidak salah untuk menjadi kaki bola. Pada masa
yang sama juga, biarlah kita mampu menjadi kaki solat atau kaki masjid pula
mudah-mudahan. Pasti kehadiran Syaaban dan Ramadhan akan menjadi lebih bermakna
buat diri setelah kita mampu menanam minat serta suka kepada solat pada bulan
Rejab ini. Ia selari dengan turunnya perintah solat kepada umat Nabi Muhammad
SAW pada bulan Rejab. Allahu Akbar…
Doa saya buat peminat bola sekalian,
"Semoga EURO mampu dijadikan sebagai medan untuk kita melakukan amal kebaikan serta amal soleh yang lain juga. Mudah-mudahan Allah memudahkan usaha kita...Amin"
0 comments:
Post a Comment