Manusia dihidupkan dan akan dimatikan. Itulah
hakikat perjalanan hidup seseorang manusia. Perjalananan kehidupan seseorang
dan juga diri sendiri sebenarnya sudah diaturkan. Ada panduan untuk dituruti.
Jika kereta yang baharu dibeli ada manual untuk
menggunakannya, inikan pula sebuah kehidupan. Sudah tentu ada juga manualnya. Jika
tidak, takut terpesong dan mengalami masalah di kemudian hari nanti. Begitulah pentingnya
merujuk manual.
Hakikat hidup bukanlah sekadar untuk makan dan
minum sahaja. Jika untuk makan dan minum, berapa ramaikah manusia di luar sana
yang sudah tidak boleh makan dan minum akibat kesakitan atau penderitaan yang
ditanggung.
Saban hari kita melihat manusia yang masih
hidup seakan-akan tidak sedar akan tujuan kehidupannya. Tidak sedar dalam erti
kata untuk menjadi hamba-Nya yang patuh dalam segala suruhan serta meninggalkan
segala larangan-Nya. Namun, manusia tetap manusia. Masih lagi melakukan apa
yang dilarang dan meninggalkan apa pula yang disuruh. Malah, berasa seronok
serta megah pula apabila melakukan perkara yang dilarang. Sedikitpun tidak berasa
bersalah atau berdosa apabila tidak melakukan apa yang disuruh. Sungguh sombong
dan angkuhnya kita.
Untuk melihat tujuan kehidupan, kita sudah
dipesan agar berpandukan kepada manual yang ada iaitu, al-Quran dan as-Sunnah. Itulah
manual kehidupan kita. Bukannya buku atau tulisan selain daripadanya. Jika
manual ini hanya disimpan dan digunakan pada waktu atau bulan tertentu, sudah
pasti kita tidak merasai kewujudan manual tersebut sepenuhnya.
Jika kita tidak mampu untuk memahami apa yang
terkandung di dalam kedua-dua manual tersebut sepenuhnya, maka belajarlah. Tiada
alasan untuk terus menjadi jahil dengan menafikan untuk belajar. Kemudahan untuk
belajar amat terbuka luas, ruangnya ada di mana-mana jika kita mahu belajar. Bak
kata pepatah Melayu, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’
Kekadang kita terlebih merujuk internet atau
Facebook daripada manual yang agung. Alasan kita, semuanya ada dalam dunia
internet. Pantas dan mudah. Ya, kemudahan tersebut saya tidak nafikan. Namun,
jangan abaikan sama sekali untuk menatap al-Quran dan as-Sunnah juga. Ia adalah
jaminan daripada Allah tentang dua manual ini. Selagi mana kita berpegang
dengannya, kita pasti tidak akan sesat. Itulah jaminan pemilih kepada alam raya
ini.
Hadis yang direkodkan oleh Imam Abu Daud dan
Tirmizi menjadi renungan saya pada hari ini. Ia sungguh mengesankan jiwa.
“Kamu semua
harus berpegang teguh pada sunnahku (setelah Al-Quran) dan sunnah
Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk Allah sesudahku, berpeganglah
dengan sunnah itu, dan gigitlah dengan gigi geraham kalian sekuat kuatnya,
serta jauhilah perbuatan baru (dalam agama), kerana setiap perbuatan baru itu
adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
Semoga manual
ini tidak kita lupai. Ia perlu ditatap serta diikuti walaupun sesukar mana keadaan kita. Semoga Allah
terus memandu kehidupan kita ke arah yang lebih baik.
0 comments:
Post a Comment