Hari ini dihubungi oleh dua buah sekolah untuk memberikan ceramah
motivasi. Ia adalah di luar jangkaan kerana saya tidak pernah memberikan
motivasi secara formal di sekolah. Perasaan terkejut menguasai hampir
keseluruhan diri.
Saya mula mempersoal tentang diri sendiri, “layakkah aku memberikan
motivasi kepada orang lain sedangkan aku sendiri perlukan kepada motivasi?” Saya
bimbang apa yang diberikan tidak sama dengan apa yang sedang saya lakukan
sekarang. Ia amat bertentangan. Itulah ketakutan saya.
Minda mula melayang-layang mencari jawapan yang mampu menyakinkan hati.
Logiknya begitu apabila hati mula tidak keruan. Teringatkan kepada kata-kata
Saidinan Ali r.a yang pernah berkata-kata, “Janganlah
melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan.”
Jika direnung lama-lama kata-kata ini, ia mampu memotivasikan diri
seketika. Namun, saya harus berfikir semasak-masaknya sebelum memberi kata putus.
Mereka begitu berharap agar saya mampu memenuhi hajatnya. Sungguh besar harapan
untuk saya tunaikan.
Saya tanyakan kepada mereka yang menghubungi saya, “mengapa saya
dipilih?” Persoalan yang saya lontarkan hanyalah untuk mengetahui alasan mengapa
saya dipilih sedangkan masih ramai lagi yang berpotensi. Soalan saya lebih
untuk mengetahu, bukannya mahu menguji. Ia tidak lebih daripada itu.
“Secara jujurnya, saya sebenarnya telah lama mengikuti blog serta
tulisan tuan di Facebook. Saya fikirkan ada kelainan pada tulisan tuan dan
mungkin tuan mampu berkongsi kebaikan dengan anak murid kami nanti.” Jelasnya dengan terang tanpa berselindung.
Saya terkedu seketika. Terkedu kerana alasan tersebut membuatkan diri
saya dihubungi. Sedangkan saya menulis adalah untuk berkongsi di alam maya
sahaja. Mungkin medium saya berkongsi, saya tidak tahu siapakah yang mengikuti
secara jujur atau tidak berkenaan penulisan saya. Mediumnya tanpa batasan serta
tiada sempadan. Itulah alam maya yang menjadi tempat saya menulis dan
berkongsi.
Tiba-tiba, alam maya tersebut bakal menjadi alam yang nyata sebagai
tempat untuk saya terus berkongsi. Secara jujurnya, saya lebih selesa dengan
alam maya berbanding dengan alam nyata. Tentulah berkongsi pada alam nyata amat
berbeza sekali suasananya. Ia lebih kepada keselesaan diri.
Saya mula menelah dan berfikir tentang sudut motivasi yang harus saya
sampaikan jika ia menjadi kenyataan. “Begitulah ketetapan Allah untuk saya terus
berkongsi barangkali!” Hati mula berbicara.
Saya kenal diri saya, saya juga kenal potensi saya. Saya tahu, saya
adalah insan yang begitu lemah dan sering melakukan dosa. Saya tidak sangka
ketika pada saat yang begitu sukar untuk saya memberikan jawapan, masih ada
orang yang sudi menjemput saya memberikan motivasi.
Ketika saya perlukan kepada motivasi dalam hidup, ada pula pihak yang
mahu menjemput saya memberikan motivasi. Pertentangannya wujud pada diri
apabila saya merenungi ayat 44, surah al-Baqarah yang
bermaksud :
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu
lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah
kamu berakal?”
|
Itulah kebimbangan
yang ada. Semoga saya dijauhi dengan sifat tersebut.
“Ya Allah, bantulah hamba-Mu
dalam membuat pilihan dan keputusan. Sesungguhnya, Engkau amat mengetahui
tentang diri ini.”
0 comments:
Post a Comment