Ujian Duit

Wednesday, June 20, 2012

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM10, kita terlupa nilai duit RM1.

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM100, kita terlupa nilai duit RM10.

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM1000, kita terlupa nilai duit RM100.

Apabila nilai duit sudah meningkat, kita seakan-akan terlupa nilai kecil sebelum daripada ini. Sedangkan daripada nilai kecil itulah duit kita membesar dan terus membesar. Jika sudah membesar, kita mahu ia membesar lagi. Begitulah duit mempengaruhi hidup kita seharian sehinggakan kita terlupa banyak perkara penting dalam hidup. 

Ketika kita tidak berduit sangat, impian kita pun kecil juga barangkali. Jika berimpian sekalipun, mungkin ia sekadar membahagiakan diri yang tidak berduit. Impian tersebut dapat dicapai dengan syarat kita melakukan pelan tindakan serta bertindak untuk menjayakan impian yang ada. 

Bayangkan jika sudah berduit pula, bagaimana kita pada ketika itu? Andai sudah punyai impian untuk ditunaikan, maka kita tidak teragak-agak untuk menunaikannya. Inilah masa yang terbaik untuk menunaikan impian yang terpendam sekian lama. Jika tidak ada impian sekalipun, kita secara automatik akan membina ‘impian segera’ kerana duit sudah berada dalam genggaman. Sungguh berbeza ketika kita tidak berduit. Mana mungkin untuk membina ‘impian segera’ untuk ditunaikan.

Alahai…Sungguh besar pengaruh duit dalam kehidupan kita. Tidak hairanlah ramai yang terpesona apabila memiliki duit yang banyak. Tidak kecil juga bilangan mereka yang tertewas dengan ujian duit ini. Ia ujian yang amat dekat dengan diri kita. Nilai RM1000 akan hilang serinya apabila RM10000 pula berada di tangan. Ia bukan ujian mudah untuk kita.

Maka, tidak hairanlah ada orang boleh berkata-kata sebegini ketika mempunyai duit yang agak banyak daripada kebiasaan. “Alah…Dengan RM100, apalah sangat nilainya. Nak beli itu dan ini pun belum tentu cukup. Setakat nak itu dan ini bolehlah!” Sedangkan sebelum daripada ini, nilai itulah yang dimahukan serta diimpikan. Apabila nilai yang dimahukan tercapai, maka mulalah berimpian dengan nilai yang lebih besar pula. Aduhai manusia…Cepat sekali kita berubah!

Begitulah duit apabila sudah menguasai diri dan nafsu. Ia ujian berterusan buat kita yang mahu mencari duit. Ujian duit tidak semestinya dalam nilai yang besar, dengan RM1 pun kita boleh diuji. Allahu Rabbi…Apatah lagi nilai yang agak besar berada dalam genggaman atau di bank. Tidakkah duit yang ada itu akan diuji juga pada suatu masa nanti? 

Manusia mudah merungut sekiranya duit yang ada semakin berkurangan atau lesap terus. Walhal, dengan nilai yang kecil itulah kita bermula dan berdikit-dikit. Jika duit bertambah dan semakin bertambah, jarang pula kita merungut dan mengeluh. Yang ada ialah kita mahu ia bertambah lagi. Seakan-akan sifat tamak sudah menjadi jatidiri terkuat pada diri kita, sifat ‘qanaah’ atau berpada-pada sudah ditinggalkan. Itulah yang dibimbangi dan mohon dijauhkan.

Jangan pula sifat ujub, riyak dan takabbur menguasai diri. Usah sesekali melazimi budaya menindas, merasuah serta berlaku zalim menjadi budaya kerja kita. Suburkanlah amalan bersedekah, infaq atau berzakat terhadap duit kita. Nescaya, berkat hasilnya.

Ayat 28 dalam Surah Al-Anfaal menjadi ingatan ketika saya menulis entri ini. Ia cukup bertepatan untuk renungan kita bersama.

“Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”

Biarlah duit yang kita ada dan kumpulkan tidak menjadi halangan untuk kita beribadah kepada-Nya. Agama tidak menghalang untuk kita menjadi kaya harta, tetapi ikutlah aturan yang ada.  

Biarlah dengan duit yang ada mampu mendekatkan diri kita kepada Allah. Itulah sebaiknya.

0 comments:

Post a Comment