Jarak tempat untuk berkuliah hampir 50
kilometer dari Bandar Kota Bharu dan jarak masa pula hampir 45 minit hingga
satu jam perjalanan jika mengikut kiraan masa saya memandu kereta.
Segala-galanya untuk ‘bertemu mata’ dan
mendengar secara langsung daripada mulut penulis buku ‘Travelog Haji :
Mengubah Sempadan Iman’ dan ‘Bersyukur Saat Diuji’, saya gagahi juga
untuk tiba di Masjid Bandar Machang tempat di mana Prof akan memberikan kuliah
maghribnya.
Sejujurnya, kehadiran Prof ke bumi Kelantan
sudah lama saya nantikan. Ditakdirkan di masjid inilah saya bertemu mata buat
pertama kalinya. Allahu Akbar… Ia nikmat pertemuan yang tidak dapat digambarkan
melalui tulisan ini. Cukuplah saya nyatakan bahawa ia sungguh manis dan indah. Manis
dan indah apabila segala-galanya dilakukan kerana Allah.
Hujan Lebat
Ketika dalam perjalanan menuju ke Machang,
hujan turun dengan lebatnya. Cuaca petang yang gelap dan kadang-kala diiringi
dengan kilat membuatkan perjalanan saya semakin mendebarkan. Seolah-olah ujian
cuaca yang perlu saya hadapi sebelum tiba di masjid. Hati saya berdoa,
“Ya Allah… Janganlah disebabkan oleh hujan
lebat pada petang ini membuatkan aku gagal ke sana. Semoga Engkau kabulkan niat
aku untuk bertemu dengan Prof pada hari ini!”
Cuaca di Bandar Machang agak berbeza dengan
perjalanan saya yang diiringi dengan hujan lebat. Cuacanya agak mendung dan
hujan baru sahaja mulai turun. Negeri yang sama, daerah yang berbeza, cuma cuaca yang berbeza. Betapa hebatnya aturan dan kekuasaan-Mu Ya Allah…
Setibanya di simpang jalan berhampiran dengan
pintu utama perkarangan masjid, saya terlihat kelibat Prof yang berjubah putih sedang
turun daripada kereta Mercedes hitamnya. Allahu rabbi… Insan yang mahu
saya bertemu sedang berada di hadapan mata sekarang.
“ Alhamdulillah… Engkau telah kabulkan niat
hamba-Mu ini Ya Allah!”
Seusai sahaja bersolat Maghrib, pengerusi
majlis telah memperkenalkan serba sedikit latar belakang Prof walaupun ada
kesilapan kecil tempat kelahiran Prof yang diumumkan, itu tidak menjadi
halangan untuk saya fokus dan mendengar mutiara kata serta perkongsian yang
bakal disampaikan oleh Prof nanti. Sejujurnya, saya tidak pernah mendengar
ceramah Prof sama ada melalui CD, DVD ataupun di laman Youtube. Inilah kali pertama
saya akan mendengar secara langsung suara Prof Muhd Kamil sepanjang saya
mengenalinya melalui pembacaan di blog dan melalui koleksi buku tulisannya. Saat
yang dinantikan sungguh mengujakan.
Insan Terpilih
Sepanjang Kuliah Maghrib, pelbagai isu yang disentuh
dalam konteks pengalaman Prof dan yang paling utama adalah ingatan Prof untuk
menjadi ‘insan terpilih’ adalah tidak sukar. Ia perlu kepada usaha yang
berterusan. Berdoalah di sepertiga malam, bersolatlah jemaah di masjid dan amalkan
puasa sunat. Allahu rabbi… Ingatan yang biasa-biasa untuk orang
biasa-biasa juga. Namun, ia cukup sukar diamalkan agar ia menjadi luar biasa seandainya
diri sendiri tidak mahu berusaha untuk tergolong
di kalangan ‘insan terpilih’, lebih-lebih lagi ketika kita berada di
akhir zaman.
Hampir satu jam setengah Kuliah Maghrib yang
disampaikan dengan pelbagai nada suara oleh Prof membuatkan saya sungguh malu
dengan diri sendiri. Saya sungguh malu dan sedar dengan pelbagai kelalaian
serta dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar. Detik ini sungguh ‘mahal’
pada diri saya. Sebab itulah saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu
dengan Prof ketika Prof bercuti dan pulang ke Malaysia. Terfikir juga, jika
saat terhidang saya lepaskan serta sia-siakan, maka tiada jaminan yang mampu
saya berikan terhadap setiap saat yang terlepas itu akan kembali lagi. Ia
teramat mustahil! Apatah lagi untuk berangan-angan untuk bertemu sekali lagi…
Mungkin ia menjadi realiti dengan aturan-Nya dan mungkin juga ia menjadi
fantasi yang berterusan kita.
Tandatangan Prof
Selesai sahaja bersolat jemaah Isya’ dan
berdoa, saya segera keluar daripada masjid dan mahu mengambil peluang keemasan untuk
memperkenal diri kepada Prof. Sekurang-kurangnya, saya mampu menunjukkan rasa
hormat saya kepada Prof. Di samping itu, saya juga mahu Prof turunkan
tandatangan pada buku ‘Bersyukur Saat Diuji’ yang saya bawa bersama. Ketika
memperkenal diri kepada Prof, saya sempat memberitahunya sesuatu,
“Prof…Saya sudah baca 28 bab dalam buku ini.
Ada dua bab sahaja lagi dan insha Allah akan saya baca setelah mendapat
tandatangan Prof!”
Prof tidak berkata apa-apa dan hanya tersenyum
simpul sahaja. Makna senyuman tersebut hanya Prof sahajalah yang tahu. Setidak-tidaknya,
kata-kata yang terpacul keluar daripada mulut saya datangnya dari hati, ia ada
makna khusus pada diri sendiri. Allahu rabbi...Kelihatan tangan Prof
pula sedang menulis sesuatu di atas buku yang dihulurkan. Sungguh tidak sabar untuk
membaca apa yang ditulis oleh Prof terhadap saya.
Pasti, tulisan tangan ini akan kekal sampai
bila-bila melainkan ia terkoyak atau dimakan lipas sahaja. Mudah-mudahan ia menjadi
doa yang berterusan oleh Prof kepada saya.
Bergambar
Sebelum meninggalkan perkarangan Masjid Bandar
Machang, saya berkesempatan mengambil gambar kenang-kenangan dengan Prof serta
ahli jawatankuasa masjid. Walaupun nampak agak keterlaluan untuk bergambar dengan
Prof ketika beliau sedang menjamu selera, saya buat muka tebal sahaja. Maklumlah,
dalam waktu terdesaklah katakana. Apa sahaja boleh terjadi.
Apa yang memeranjatkan saya, Prof serta pihak
jawatankuasa masjid pula mempelawa untuk menikmati hidangan nasi kerabu bersama
mereka. Allah…Allah…Namun, saya tolak pelawaan tersebut dengan baik dengan memberi
alasan ‘cover line’,
“Prof, saya sudah makan di rumah tadi…”
Bergambar secara ringkas dan ia menjadi petanda
bahawa pertemuan saya dengan Prof sudahpun menjadi kenyataan. Ia nikmat
pertemuan kerana Allah yang saya sendiri rasai apabila kita benar-benar berharap dan mahukan ia menjadi realiti.
Akhir sekali, saya doakan agar Prof sentiasa dirahmati dan menjadi 'insan terpilih' di sisi Allah.
Doakan saya juga Prof!
0 comments:
Post a Comment