Hari Sabtu lepas, saya sekeluarga sempat berkunjung
ke Rantau Panjang untuk membeli-belah. Antara barangan di dalam senarai kami
ialah toto ‘Tulip’, set periuk bersaiz kecil, jersey bola sepak serta
sedikit buah-buahan. Sudah lama kami sekeluarga tidak ke sana. Sejujurnya, saya
sendiri baru sahaja ke sana dua minggu lepas bersama sahabat seuniversiti
dahulu. Pada kali ini, isteri saya beria-ria mahu ke sana. Apa salahnya jika saya
ke sana sekali lagi untuk memenuhi hasrat isteri pula.
Di samping memenuhi hasrat isteri, saya diminta
oleh ayah saya untuk membelikan sehelai jersey bola sepak negara Sepanyol untuknya.
Permintaan ayah begitu bersungguh-sungguh dan ia bermain di minda saya
sepanjang perjalanan ke Rantau Panjang.
“ Tolong belikan jersey negara Spain untuh abah
deh! Abah nak yang warna merah! Jersey negara Jerman dah ada…England pun dah
ada!”
Setibanya di Rantau Panjang, kelihatan
kenderaan begitu banyak sekali. Kelibat manusia juga tidak kurang ramainya. Kebetulan
cuti hujung minggu pula. Sudah pasti tempat ini menjadi tumpuan pelancong serta
kebanyakkan orang untuk dikunjungi.
Misi untuk membeli barangan di sini hampir
selesai. Yang tinggal hanyalah sehelai jersey yang dikirim oleh ayah sahaja
yang belum dibeli. Rata-rata, sudah kehabisan stok dan kekurangan saiz yang
dikehendakki. Pada awal pencariannya, ia cukup sukar.
Dipendekkan cerita, hanya sebuah kedai sahaja yang
masih lagi mempunyai stok jersey Sepanyol berwarna merah. Alhamdulillah…Mujur
ada! Harga jersey tersebut ialah RM27.00. Mahal atau murah, itu bukan soalnya. Yang
penting, saya dapat penuhi hasrat serta permintaan ayah terlebih dahulu. Itulah
yang paling utama.
Seusai membeli-belah di Rantau Panjang, saya
segera mencari masjid untuk bersolat Zohor dan seterusnya mahu mengisi perut dengan
mencari kedai makan. Kedua-dua urusan telah dipermudahkan.
Tiba sahaja di pintu rumah ibu bapa saya, saya
menyerahkan plastik yang berisi dengan jersey kepada ayah saya dan berkata, “nasib
baik ada…Kebanyakkan kedai sudah kehabisan stok!”
“Berapa harganya?” Ayah saya segera bertanya kepada saya.
“RM27.00.” Balas saya dengan jujur tanpa berselindung.
“Nanti abah bayar. Tunggu sekejap. Nak ambil
pitis (duit) dulu…” Ayah
terus menyambung kata-katanya.
“Tak apalah… Kira sebagai hadiah untuk abah.
Bukannya sokmo (selalu).” Saya tidak mahu ayah membayar harga jersey tersebut. Awal-awal lagi,
ketika memandu kereta ke Rantau Panjang saya sudah memasang ‘niat’ untuk
membelanjakannya. Biarlah ia menjadi hadiah daripada seorang anak kepada
ayahnya.
Biarpun jersey tersebut tidak mahal, tetapi ia
sungguh berharga pada dirinya. Begitulah saya menelah. Tambahan pula, jersey
tersebut dihadiahkan oleh anak sulungnya pula. Pasti terharu!
Apalah sangat jersey Sepanyol jika mahu
dibandingkan dengan pakaian yang dibelikan sewaktu saya kecil sehinggalah dewasa.
Saya tidak pernah kekurangan pakaian ketika dibesarkan oleh ayah. Alhamdulillah…
Ayah cukup menjaga kebajikan anak-anaknya. Itulah yang saya fikirkan ketika
dalam pemanduan ke Rantau Panjang. Nilai pengorbanannya tidak terbalas.
Kalau setakat RM27.00, ayah saya terlebih mampu
untuk membayar kembali kepada saya. Tetapi, itu bukanlah asas pertimbangan saya.
Ia lebih kepada mahu memenuhi permintaan ayah. Tiada maknanya hidup jika tidak
mampu berbakti terhadap kedua ibu bapa kita yang masih hidup. Mereka mahukan
kasih-sayang kita tatkala usia meniti senja. Setidak-tidaknya, biarlah kita
mampu menjadi anak yang soleh dan tidak derhaka kepada mereka walaupun ia
kelihatan sukar untuk dilakukan. Hakikatnya, kita boleh lakukan. Cuma ia bergantung
kepada sejauh mana niat, kesedaran serta kemahuan yang ada pada diri. Jika tidak
berjaya juga, berdoalah kepada-Nya. Allahu rabbi…
Ketika beransur pulang ke Kota Bharu, saya
bersalaman dengan kedua ibu bapa saya dan ayah saya sempat mengucapkan
kata-kata yang sungguh menyentuh perasaan saya, “terima kasih kerana hadiahkan
jersey untuk abah!” Kata-kata tersebut lahir dari hatinya. Saya sungguh
terasa ketulusan kata-kata ayah itu.
“Sama-sama.” Walaupun jawapan yang saya berikan cukup
ringkas, tetapi ia amat berbekas pada lubuk hati kecil saya.
Sudah tentu ia berkaitan dengan sehelai jersey
Sepanyol.
0 comments:
Post a Comment