Hari ini, hari Isnin bersamaan dengan 2 Julai
2012. Maknanya sudah dua hari kita melepasi pertengahan tahun 2012. Sungguh
pantas masa dan waktu meninggalkan kita pergi. Sedar tidak sedar, bermula pada
bulan Januari sehinggalah bulan Jun, sudah 6 bulan telah kita lalui.
Kini, bulan Julai telah memasuki hari kedua. Itu
mengikut perkiraan Tahun Masihi. Segala-galanya tampak bersemangat pada awal
tahun, namun apakah momentumnya hampir sama pada hari ini? Adakah masih
bersemangat dan seghairah pada awal tahun untuk melakukan itu dan ini.
Segala-galanya perlu tanya pada diri sendiri. Orang lain tidak mampu
menjawabnya dengan baik, mungkin boleh membantu untuk menjawab agar ia menjadi
baik. Yang memastikan ia baik ataupun tidak adalah diri kita sendiri.
Bagi memastikan pelbagai perancangan kita berjalan
mengikut jadual, buatlah ‘muhasabah’ untuk enam (6) bulan pertama bagi
tahun 2012. Pasti banyak perkara untuk berkira-kira, daripada sekecil-kecil
perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Sama ada melibatkan diri sendiri, keluarga,
karier, organisasi, majikan tempat berkerja dan pelbagai peringkat sosial
keterlibatan kita, sama ada dengan masyarakat, negeri mahupun global. Semuanya perlu
dinilai dengan cermat dan teliti. Masih ada ruang masa untuk diperbaiki dan
ditambahbaik, minimakan perkara yang negatif dan tingkatkan perkara positif
yang ada. Mudah-mudahan, dengan melakukan muhasabah kita mendapat banyak
manfaat.
Menanti Nisfu Syaaban atau Ramadhan?
Ramai di kalangan kita membuat perhitungan dan
kira-kira berapa harikah kita bakal meraikan hari ke-15 dalam bulan Syaaban dan
tidak kurang juga menghitung berapa harikah bulan Ramadhan al-Mubarak akan
bertamu. Ada yang memasukkan ingatan atau ‘reminder’ tersebut di
gajet-gajet yang ada, ada yang meletakkan di laman sosial seperti Facebook atau
Twitter, ada juga yang menandakan di kalendar besar di meja pejabat yang
pastinya mahukan kepada ingatan agar tidak terlupa.
Namun, berapa banyakkah di kalangan kita yang
mahu memastikan agar hari yang ada menjadi hari yang terbaik daripada hari semalam.
Terkadang kita membiarkan hari yang dilalui dengan pelbagai perkara yang
sia-sia dan tidak mendatangkan faedah. Masih sempat berfoya-foya dan bertangguh
dalam banyak hal. Tidak kurang juga yang masih lalai dan mengingkari segala
perintah yang Tuhan suruh. Hari yang ada dibiarkan berlalu pergi, tetapi masih
menaruh harapan tinggi untuk bertemu dengan hari tertentu serta bulan tertentu.
Allahu rabbi… sungguh banyak masa kita biarkan berlalu pergi dengan tidak
melakukan apa-apa melainkan hanya sekadar berharap atau berangan-angan indah
sahaja.
Tidak Rugi Dengan Bermuhasabah
Dalam banyak hal, kita jarang membuat muhasabah
secara konsisten. Sepatutnya setiap hari kita perlu dilakukan muhasabah atau ‘post-mortem.’
Lakukanlah muhasabah, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Jika tidak
banyak masa yang mampu diperuntukkan, ambillah sedikit masa untuknya. Yang paling
utama, muhasabahlah diri kita dengan Tuhan, sama ada semakin sujud ataupun
semakin kufur. Ia adalah muhasabah diri yang sepatutnya diambil berat oleh
kita.
“Lakukanlah muhasabah sebelum kamu
dimuhasabahkan”
Kata-kata sedemikian rasa-rasanya amat
bersesuaian untuk diri sendiri. Setidak-tidaknya ia menjadi ingatan serta mampu
membawa kebaikan kepada anda selaku pembaca entri ini. Semoga saat, masa, hari
serta bulan yang mendatang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kita. Lihatlah
segala kelemahan, kekuatan, kelebihan serta ancaman yang ada sepanjang enam
bulan yang lalu agar ia mampu membawa manfaat yang banyak untuk kita.
0 comments:
Post a Comment