Padanya Ada Hikmah

Thursday, September 20, 2012

Satu tulisan yang baik daripada Tuan Bahruddin Bekri. Buku ini terhasil melalui temubual penulis dengan Prof Dr Muhaya dan dibukukan melalui penulisan serta penceritaan yang segar. Pasti, maksud asal serta hikmah yang dikongsikan oleh Prof Dr Muhaya telah sedaya-upaya disampaikan oleh penulis. 

Buku yang memuatkan 35 cerita pelbagai tajuk disampaikan melalui penceritaan yang digarap bersama dengan watak-watak seperti tukang cuci, pemandu teksi, jururawat, doktor pelatih, pensyarah dan beberapa watak lain lagi. Hakikat yang tidak boleh saya nafikan ialah mesej serta pengajaran yang ada pada setiap tajuk cerita sungguh menyentuh akal untuk berfikir dan hati untuk merasa.

Biarpun buku ini tidak setebal 300-400 muka surat, namun masa yang saya ambil untuk menghabiskannya adalah enam hari juga. Ia bertujuan untuk saya benar-benar memahami, menghayati dan merasai sendiri suasana-suasana yang berlaku di dalam setiap cerita yang ada pada buku tersebut.

Yang paling tertarik ialah cerita-cerita yang disampaikan melalui watak-watak yang ada saling berkait. Tidak terhenti pada satu cerita sahaja. Pada cerita lain, watak tersebut kita akan temui kembali dalam cerita yang berbeza. Seakan ada pertalian cerita di antara watak-watak yang digarapkan.

Apa-apapun, "Untuk manusia, Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia." Itulah hikmah yang saya perolehi apabila menghabiskan naskhah secara berdikit-dikit.

Semoga Tuhan merahmati usaha murni penulis.

0 comments:

Post a Comment