Tuan Imran : Saya Hanya Baru Bermula

Wednesday, September 12, 2012

Tidak banyak kisah atau cerita yang boleh saya titipkan tentang peribadi Tuan Imran. 

Saya mengenalinya ketika bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Tarikh pertemuan masih lagi tersemat pada buku tulisannya yang berjudul ‘Meja Runding: Dari Konflik Ke Solusi Strategik’ iaitu pada 28 April 2011. Itulah tarikh yang menjadi saksi pertemuan saya dengannya. Pertemuan yang cukup indah untuk diingati.

Ia menjadi pertemuan kali pertama dan juga kali terakhir saya dengannya apabila mengetahui berita pemergiannya pada awal pagi Rabu, 12 September 2012 melalui rakan-rakan Facebook. Allahu Akbar. 

Bertemu dan berpisah, hidup dan mati, semuanya di dalam pengetahuan-Nya. Kita tidak mampu menduga banyak hal dalam kehidupan kita, namun kita mesti bersiap-sedia untuk melalui pelbagai kemungkinan hidup. Segala-galanya adalah di dalam pengetahuan dan ilmu Allah.

Pasti, buku ini menjadi kenangan terindah di antara saya dan pemilik karya agung ini. Saya hanya baru bermula, sedangkan Allah sudahpun ‘menamatkan’ perjalanan hidup insan yang telah memberikan nasihat ringkas ketika bertemu di PBAKL 2010 yang lalu. 

Nasihatnya dahulu kini kembali segar. Walaupun bertemu hanya seketika, namun karyanya tetap segar dan hidup pada akal dan hati saya. Apatah lagi mereka yang sempat berguru serta belajar daripadanya, sudah tentu ia merupakan saat yang sukar dilupakan dan memilukan. 

Nasihat ringkasnya kepada saya:-

“Kalau mahu menulis, kena berguru. Saya syorkan agar menulislah dengan PTS. Sebuah syarikat yang mahu memandaikan bangsa.”

Lebih kurang begitulah nasihatnya yang masih terpahat pada minda. 

Takdir sudah tertulis untuknya dan untuk kita juga sebenarnya. Yang menjadi persoalan, amalan apakah yang mampu menjadi ‘saham’ atau ‘pendapatan’ kita di akhirat nanti? Itulah yang memerlukan kepada jawapan yang realistik, bukannya retorik. Allahu rabbi… Terkadang jawapannya sudah ada, tetapi kita pula masih terleka dengan keseronokan dunia. 

Doa ini khas saya titipkan buat Tuan Imran:-

“Ya Allah...Biarlah kasih yang mahu diraikan di langit syurga menjadi miliknya. Tempatkanlah Tuan Imran di kalangan mereka yang soleh, beriman dan bertaqwa di sisi-Mu. Mudah-mudahan, Syurga Firdaus menjadi persinggahan abadi buatnya. Amin.”

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Tuan Imran. Al-Fatihah.

0 comments:

Post a Comment