Usia seseorang jika dibincang akan memberi
reaksi berbeza-beza. Ada yang boleh menerimanya dengan baik dan ada pula
sebaliknya. Seakan-akan ia begitu sensitif.
Hakikatnya, hidup kita amat berkait rapat
dengan usia. Usia bertambah, tidak berkurang. Apabila bertambah, ia semakin
hampir kepada penghujung kehidupan kita. Teringat pula bait-bait puisi yang
ditulis oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said tentang ‘Tetamu Senja.’ Antara
rangkap pertama puisi tersebut ialah:-
Kita datang ini
hanya sebagai tetamu senja
Bila tiba detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Bila tiba detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Sudah tentu pengakhiran kehidupan kita di dunia
ini adalah melalui kematian. Ia selaras dengan ayat 2, Surah Al-An’aam yang
bermaksud:-
“Dialah Yang
menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu), dan
ada lagi suatu ajal yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya),
kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu).”
Usia dan ajal.
Saling berkaitan. Ia adalah dalam pengetahuan Allah. Kita tidak tahu usia kita sampai angka
berapa, bila tarikh ajal kita. Namun, kita digalakkan untuk beramal soleh
setiap masa dan berdoa agar usia yang ada dapat dimanfaatkan untuk menjadi
hamba yang taat serta patuh pada suruhan-Nya. Tidak perlu tunggu usia kita
sekian-sekian baharulah mahu berubah dan beramal soleh. Tidak perlu!
Mudakah usia
kita atau tuakah usia kita, ia tidak menjadi persoalan ‘besar’ jika kita
tahu untuk memanfaatkan nikmat usia yang diberikan kepada kita. Ini kerana,
kita tahu bahawa setiap detik atau perjalanan usia ini bakal dihitung atau
dihisab kembali di akhirat kelak.
Begitulah usia
dan kita, lihatlah pada kaca mata yang positif. Usah melenting atau sensitif
jika ada orang yang lebih muda daripada kita berkata bahawa kita sudah berumur
atau ‘sudah tua.’ Hakikatnya, ia benar.
Saya juga
merasakan diri sendiri sudahpun berusia dan ‘tua’ jika mahu dibandingkan
dengan orang yang lebih muda daripada saya. Cukuplah ayat 60, Surah Al-An’aam menjadi ingatan
tegas buat kita:-
“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui
apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang
hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada
Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.”
Ketika kita
masih lalai dan alpa, sebenarnya Allah masih sayangkan kita. Dia terus
memberikan nikmat usia walaupun tidak diminta. Itulah sifat Maha Pengasih dan
Penyayang Allah kepada hamba-hamba-Nya.
0 comments:
Post a Comment