Di Gelanggan Penulis PTS, saya sempat
meluangkan masa untuk mendengar kupasan buku bertajuk ‘Pikat Remaja Dengan
Kata-Kata’ hasil tulisan Dr Tengku Asmadi dan juga Tuan Hilmi Isa. Kupasan
buku tersebut telah dikendalikan dengan baik oleh moderator yang juga merupakan
penulis novel sejarah, Shamsiah Fakeh, iaitu Cik Puan Azzah.
Tentang Cover Buku
Moderator memulakan persoalan dengan
bertanyakan tentang ‘cover’ buku yang dipilih. Soalan mudah dengan
jawapan yang mudah juga, “Biasanya Dr memakai jaket atau berkot dalam
‘cover’ buku-buku tulisannya sebelum daripada ini, mengapa untuk buku ‘Pikat
Remaja Dengan Kata-Kata’ Dr memilih tidak berkot dan bertali leher?” Tanya
moderator penuh semangat.
“Sebenarnya, saya memilih untuk berkemeja dan
tidak bertali leher bagi menampakkan ia kelihatan santai dan ia juga bagi
memudahkan remaja dekat dengan saya…” Begitulah jawapan Dr Tengku yang sempat saya
rakam pada minda saya ketika entri ini ditulis. Bukan sahaja isi buku mahu didekatkan
dengan jiwa remaja, malah ‘cover’nya juga sudahpun digambarkan untuk
kelihatan remaja juga. Saya sempat perhatikan dari dekat ‘cover’
tersebut, memang ‘santai’ dan ‘sempoi’ habis gaya Dr Tengku
Asmadi.
Perkataan ‘Maaf’
Seterusnya, moderator meneruskan dengan soalan
lain kepada Dr Tengku iaitu berkenaan dengan pemilihan kata-kata paling baik
untuk memikat jiwa remaja.
‘Maaf.” Itulah perkataan yang disebut oleh Dr Tengku
sambil mengulasnya dengan panjang lebar tentang perkataan ‘maaf.’ Untuk
meminta maaf, ia amat sukar jika perasaan ego terlalu menebal dalam diri. Ibu
bapa yang mahu menegur anak remajanya, perlu mengikis perasaan ego terlebih
dahulu jika mahu mendidik anak-anak berjaya dan mendengar kata-katanya nanti.
Jika perasaan ego sudah menebal, kita susah mahu menerima teguran orang lain ke
atas anak kita. Yang kita lihat hanyalah kebaikan anak yang kadang-kadang ‘dilakonkan’
di hadapan mata ibu bapa. Seringkali kita akan lebih percayakan anak-anak kita
daripada orang luar.
Jika anak-anak terbukti telah melakukan sesuatu
kesalahan, jangan sesekali terus menghukumnya. Ambillah pendekatan untuk
menasihati dengan kata-kata. Pemilihan kata-kata juga perlu bijak ketika
menasihat. Jika kita terus menghukumnya, kesan lempang atau pukulan yang
diberikan secara ‘percuma’ dibimbangi akan berbekas di hatinya. Yang
paling parah, ia akan melahirkan tindakan di luar kawalan di kemudian hari
nanti.
Dua Telinga, Satu Mulut
Ibu bapa yang hebat adalah ibu bapa yang mampu
menjadi pendengar yang hebat. Sebab itulah, hikmah dikurniakan dua telinga dan
satu mulut kepada kita adalah untuk menunjukkan bahawa proses mendengar itu
lebih penting daripada kita banyak bercakap. Orang yang mampu menjadi pendengar
yang baik sebenarnya adalah orang yang tinggi sabarnya kerana untuk menahan
telinga daripada terus mendengar jauh lebih sukar berbanding dengan menahan
mulut daripada terus berhenti daripada membebel dan berkata-kata.
Bukankah dalam banyak keadaan, kita juga
dituntut untuk berdiam diri daripada berkata-kata. Memang benar, ia bergantung
kepada situasi dan keadaan juga. Bercakap hanyalah ketika perlu sahaja. Bercakap
tidak perlu banyak, tetapi perlulah jelas dan terang. Tidak perlu
berbunga-bunga dan bermadah-madah ketika berkata-kata, yang penting mesej
sampai.
Agak-agaknya, anak remaja kita suka yang mana,
suka kita banyak mendengar atau banyak bercakap? Sebab itulah, kadang-kadang
ada anak remaja lebih suka bercerita di luar rumah berbanding di dalam rumah.
Mereka lebih suka mencari kawan-kawan daripada ibu bapanya sendiri untuk
bercerita. Jika mahu bercerita kepada ibu bapa, situasi yang diharapkan tidak
menjadi kebanyakkan. Yang sering terjadi ialah ibu bapa pula yang banyak ‘bercerita’
daripada menjadi pendengar yang setia.
Kisah Anak Remaja Berumur 14 Tahun
Ketika sesi kupasan buku yang dikendalikan secara
santai oleh moderator, pengunjung-pengunjung dibenarkan untuk bergambar dan
mendapatkan tandatangan daripada Dr Tengku walaupun ketika kupasan buku sedang
berlangsung. Betapa santainya sesi tersebut dikendalikan. Saya suka dengan cara
tersebut.
Semasa kupasan buku ini berlangsung, saya
tertarik dengan kisah seorang remaja berumur 14 tahun yang dikongsikan oleh Dr
Tengku. Kisahnya begini. Ia bermula dengan ber’chit-chat’ dengan seorang
lelaki yang umurnya sudah melebihi 20 tahun di ruangan ‘chatting’
saluran televisyen berbayar. Perkenalan di situ dipanjangkan sehinggalah remaja
perempuan ini bertukar nombor telefon dan perhubungan tersebut berterusan
sehingga berkomunikasi pula di alam maya. Dipendekkan cerita, perkenalan di
alam maya berpanjangan sehinggalah remaja ini sanggup berjumpa dengan teman
lelakinya. Si lelaki pula sudahpun memasang jerat dengan menyediakan lebihan
helmet untuk membawa remaja ini ke rumah bujangnya. Disebabkan ‘tiada rasa
malu’ lagi, remaja ini sanggup mengikuti teman lelakinya dengan menaiki
motosikal. Apa yang mengejutkan, setibanya di pintu rumah, remaja ini telah menjadi
ratahan rakus bukan teman lelakinya seorang, tetapi lima rakannya yang lain
juga.
Apabila Benteng Malu Sudah Roboh
“Jika
benteng malu sudah roboh dalam diri kita, maka kita mudah sahaja melakukan
maksiat serta kesalahan-kesalahan. Sesungguhnya, ia adalah benteng penting dan
terakhir yang ada pada diri kita.”
Kata-kata Dr Tengku saya sokongi dengan
kata-kata memukau daripada Nabi Muhammad yang direkodkan oleh Imam at-Tirmizi. Daripada
Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Malu adalah sebahagian daripada iman
dan iman adalah di syurga.”
Kisah remaja yang berumur 14 tahun amat berkaitan
dengan benteng malu yang telah lama roboh dalam dirinya dan kisahnya diharapkan
mampu menjadi menjadi pengajaran buat diri kita juga.
Nasihat buat ibu bapa seperti saya, awasilah anak-anak
ketika mereka berinternet dan jadilah ibu bapa yang bijak mengawasi keadaan
anak-anakketika di rumah. Biarlah kita mampu menjadi teman setia bagi mendengar
cerita anak-anak daripada menjadi tukang bebel sepenuh masa. Ketika anak kita
lebih selesa bercerita kepada ‘orang di luar’ berbanding kepada ibu
bapanya sendiri, maka, pada ketika itu, air mata bercucuran kekesalan sudah tidak
berguna lagi.
Seusai sesi kupasan buku, saya sempat
bersalaman dengan Dr Tengku sambil melontarkan senyuman kepada Cik Puan Moderator
sebagai tanda terima kasih kerana berpeluang berkongsi ilmu melalui Gelanggang
Penulis PTS ini.
0 comments:
Post a Comment