Hari ini hari
tanpa undang-undang pejabat buat diri saya. Saya mahu pakai jersey yang
dihadiahkan oleh adik saya ketika berpraktikal di Jepun pada hari ini. Baju ini
saya tidak pakai sehinggalah saya berkata kepada diri sendiri, "Jika
Chelsea menang trofi Liga Juara-Juara, baharulah saya mahu memakainya. Jika
tidak menang, ia bakal menjadi hiasan di dalam plastik yang berbalut elok
sahaja!"
Walaupun adik
saya peminat tegar Man Utd dan AS Roma, tetapi kami agak terbuka serta rasional
apabila bercakap tentang pasukan bola yang diminati. Ia tidak lebih daripada
itu. Tidak salah kita meminati sesuatu perkara, tetapi janganlah melampaui
batasan dan membuatkan kita menjadi lalai.
Misalnya, kita
minat bola sepak. Tetapi sebab terlalu minat, kita sanggup menghabiskan wang untuk
membeli perkara-perkara berkaitan dengan pasukan bola sepak yang kita minati. Sedangkan
dengan wang yang ada, kita sebenarnya boleh gunakan untuk membeli keperluan
yang jauh lebih penting dan berfaedah untuk diri dan keluarga di rumah.
Yang lebih teruk
adalah kita sanggup meninggalkan suruhan Tuhan kerana bola. Ketika perlawanan
bola mahu bermula, ketika itulah syaitan mula menggoda agar kita melengah-lengahkan
untuk bersolat. Mula-mula kita berlengah-lengah, akhir sekali kita terus
tinggalkan. Tidak kurang juga yang sudah tidak meletakkan soal solat di dalam
kepala ketika saat pintu stadium mulai dibuka. Yang difikir ialah bersegera untuk
memasuki stadium. Yang bersolat, Alhamdulillah. Yang meninggalkannya
pula, bagaimana? Tanyalah diri masing-masing.
Tidak salah
meminati bola. Ia boleh menjadi perkara pendorong dalam hidup jika kita melihat
bola dalam sudut pandang positif dan membina. Mungkin ia mampu menjadi topik
perbincangan yang santai dan umum ketika berdepan dengan orang ramai. Jika sebab
bola kita mampu bersatu, apalah salahnya untuk meminati bola, bukan?
Namun, ada juga
yang bergaduh dan bermasam muka disebabkan oleh bola. Bahkan, sanggup merusuh,
merosakkan harta awam dan berbunuhan. Ia amat ditegah sama sekali oleh agama. Apa-apa
perkara sekalipun, jika terlalu fanatik dan melampaui batas, maka kesannya
amatlah buruk.
Bagi saya,
buatlah pertimbangan yang munasabah ketika meminati sesuatu perkara dalam hidup.
Jangan terlalu ‘over’ ketika meminati sesuatu kerana ia bakal mengundang
mudarat, sama ada mudarat kecil atau mudarat besar.
Sehinggakan perlawanan
akhir Chelsea menentang Bayern secara langsung pun saya tidak tonton kerana
saya masih dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dengan menaiki bas. Saya
sebenarnya boleh membuat pilihan untuk menontonnya di sekitar Kuala Lumpur, namun
ia bukan menjadi keutamaan buat diri saya pada ketika itu. Yang menjadi
keutamaan saya ialah untuk bersama dengan keluarga tersayang pada hari Ahad
kerana ia merupakan cuti peristiwa yang dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri
Kelantan buat rakyatnya bersempena perlawanan akhir Piala FA.
Bagi saya, meminati
bola bukan hanya setakat mengetahui sejarah atau fakta tentang sesebuah pasukan
bola sahaja atau mampu menonton perlawanan penuh dan mengulasnya sehebat pengulas
sukan bertauliah. Ia bukan begitu. Ia lebih kepada persoalan hidup yang ringkas
tapi jelas, iaitu apakah ia mampu membawa kita dekat dengan-Nya? Soalan
tersebut sentiasa bermain di fikiran ketika saya masih setia meminati Chelsea.
Itulah persoalan yang kadang-kadang saya gagal untuk menjawabnya dengan baik.
Walaupun Chelsea di hatiku, namun biarlah Allah jauh lebih besar tempatnya di hatiku!
0 comments:
Post a Comment