Tema yang dipilih oleh dua stesen TV pada malam ini. Satu di TV1, tajuk dalam Forum Perdana Ehwal Islam, “Wajah Terindah.”
Satu lagi di TV9, tajuk rancangan Semanis Kurma, “Air Tangan Ibu.”
Dua-dua siaran saya tonton secara bergilir-gilir.
Dua-dua rancangan menyebabkan panelis mengalir air mata. Mungkin topiknya cukup
dekat dengan hati. Maka perkongsian juga lahir dari hati. Sudah pasti jatuh ke
hati juga. Mudah-mudahan ia jatuh ke hati saya bersama.
Ketika ibu masih hidup, nasihat diberi adalah
supaya berbaktilah untuk mereka. Jagalah percakapan dan rajin-rajinlah ziarahi
mereka jika berdekatan. Jika kita berjauhan dengan ibu, rajin-rajinlah telefon
mereka. Tanyalah khabar mereka. Berkongsilah cerita dengan mereka.
Andai ibu sudah tiada, banyakkan berdoa
untuknya. Jadilah anak yang soleh atau solehah ketika kita masih hidup di
dunia. Pasti roh ibu nyaman dan bahagia di alam sana.
Melihat siaran di TV9, topik yang dibincangkan adalah lebih kepada penyediaan
masakan ibu kepada kita. Walaupun masakan ibu amat mudah dan cukup ‘simple’,
namun ia disertai dengan niat yang ikhlas untuk mendidik dan juga untuk melihat
orang yang memakan masakannya menjadi insan yang berguna kelak.
Tiada perkataan yang disukai oleh ibu jika kita
mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ setelah memakan masakan ibu kita. Ia
merupakan ucapan yang patut kita lafazkan untuk ibu, bukan hanya untuk makanan
yang dimakan, malah segala pengorbanan yang telah dicurahkan untuk kita.
Ambillah masa untuk merenung ibu dengan penuh
kasih-sayang. Ia adalah pahala yang percuma untuk kita. Apatah lagi jika kita
mampu menyentuh dan memeluk ibu. Sudah pasti, besar pahalanya untuk kita.
Tema kedua-dua rancangan yang saya tonton pada malam
ini cukup besar ertinya buat kita. Hargailah ibu kita. Sudah pasti tiada kata-kata
yang mampu kita ungkapkan bagi menterjemah balasan yang mampu kita berikan
untuk ibu kita, melainkan menjadi anak yang tidak durhaka kepadanya! Rasa-rasanya
itu sudah cukup untuk membalas jasanya pada hemat saya, iaitu mampu untuk menjadi
anak yang soleh atau solehah kepada ibu kita yang masih ada.
Mudah-mudahan, kita adalah orang yang
menghargai ibu…
0 comments:
Post a Comment