Antara urusan saya pada hari ini ialah
bergunting rambut. Terasa tidak selesa apabila berambut panjang. Jadi saya
pilih pada hari ini untuk bergunting di kedai gunting yang berdekatan.
Ada dua orang pelanggan sudah menunggu dan saya
adalah yang ketiga selepas mereka. Saya pilih untuk menunggu dan membaca akhbar
yang disediakan.
Saya perhatikan orang silih berganti memasuki
kedai tersebut dan mungkin rezeki hari Khamis buat tukang gunting yang bertugas
seorang diri pada hari ini. Kebiasaannya, ada 2 orang tukang gunting yang lain.
Kebetulan pada hari ini, masing-masing ada hal.
Saya masih sabar menunggu.
Tiba sahaja giliran saya, tukang gunting
memberitahu bahawa, “Tok Guru mahu datang bergunting. Bolehkah tunggu
selepas Tok Guru selesai bergunting?” Pintanya dengan penuh sopan kerana
dia tahu bahawa sekarang adalah giliran saya.
“Tak apa… Saya tunggu!” Saya beritahunya tanpa ada sebarang
kekesalan di hati.
Ada seorang pelanggan memberitahu, “Tok Guru
tak perlu dah datang ke kedai ni untuk bergunting. Dia kan Menteri Besar (MB).
Suruh tukang gunting ke rumahnya terus untuk mengguntingkan rambutnya.”
“Tok Guru lain…” Balas pelanggan di sebelahnya.
Beberapa minit sahaja selepas itu, Tok Guru pun
tiba dan pelanggan yang ada di kedai tersebut mengambil peluang untuk
bersalaman dengannnya. Tidak terkecuali juga saya.
Seusai bersalaman, Tok Guru terus duduk di
kerusi yang telah disediakan. Dia sempat menyantuni beberapa soalan ringkas
yang diajukan oleh pelanggan yang ada di kedai tersebut walaupun dirinya
kelihatan agak kepenatan. Raut wajahnya menggambarkan sebegitu.
Tidak sangka, rezeki saya pada hari ini adalah
dapat bertemu dengan tokoh agama yang dikagumi oleh orang ramai di dalam sebuah
kedai gunting yang biasa. Melihat wajah Tok Guru dari sisi yang agak dekat
amatlah luar biasa perasaannya bagi saya.
Ia pasti sukar dilupakan oleh saya.
1 comments:
teerbaikk abe mat
Post a Comment