Segala-galanya dengan niat

Monday, October 25, 2010

Alangkah baiknya sekiranya perbuatan yang kita lakukan selari dengan niat kita. Niat atau 'intention' mestilah positif, baik ataupun mahmudah. Bukanlah niat tersebut untuk melakukan perkara-perkara keburukan atau kejahatan. 

Perbuatan yang disertakan dengan niat adalah amat bermakna berbanding dengan perbuatan yang dilakukan secara tiba-tiba atau tak terancang. Apa tidaknya, apabila kita berniat untuk melakukan sesuatu, maka kita akan merancang dan berstrategi. Bukan dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja atau dengan kata lain, 'hentam keromo' atau 'semborono' sahaja.

Malah ia amat bermakna sekiranya perkara tersebut berjaya diselesaikan oleh kita dan sudah tentu kepuasan akan terasa. Sebagai contoh, kita berniat untuk membeli sebuah kereta idaman. Maka kita akan merancang serta membuat pilihan sebelum kita membelinya. Setelah berjaya membelinya, tentu kita berasa puas bukan? 

Mulakan dengan satu 'click'...

Pertamanya, salam ukhwah dan salam sejahtera buat semua. Melayari internet merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan kadang-kadang boleh membuatkan kita alpa dengan pelbagai maklumat yang boleh diperolehi hanya dengan semudah 'chose' dan 'click' sahaja. Maka terpaparlah apa yang kita inginkan.

Marilah kita mulakan pelayaran internet kita dengan perkara-perkara positif dan bermanfaat agar masa yang kita gunakan semasa di hadapan komputer riba kita, ataupun komputer di pejabat mahupun di cyber cafe tidak terbuang begitu sahaja.

Jika difikir positif, maka kemudahan internet yang ada akan kita gunakan ke arah perkara-perkara yang memberi kebaikan. Jika tidak, maka penggunaan kita akan didorongkan dengan mencari keburukan serta tidak berfaedah. Malah, yang lebih teruk lagi, akan mendatangkan pula dosa.