Ramadhan Datang Lagi…

Sunday, July 31, 2011



Ramadhan datang lagi…Hari ini merupakan hari-hari terakhir kita pada bulan Syaaban. Semoga Allah memilih kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang bakal disambut pada esok hari. Bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan, kerahmatan serta pelbagai ganjaran pahala buat mereka yang benar-benar mahukan. 

Sebuah madrasah atau sekolah yang mampu melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada-Nya. Itulah matlamat madrasah ini diadakan. Tiada yang lain, hanyalah untuk melahirkan hamba yang benar-benar takutkan Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Visi yang cukup jelas dari Sang Pencipta kepada hamba-hamba-Nya untuk dipatuhi.

Bersesuaian dengan maksud firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Ibadah puasa yang cukup sinonim dengan bulan Ramadhan ini adalah tuntutan terbesar dan ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita tunaikan dengan sebaik mungkin. Puasa yang sudah diwajibkan kepada umat terdahulu juga diwajibkan kepada umat Muhammad juga. Amalan yang sudah lama ditunaikan oleh umat sebelum ini bukanlah sekadar sejarah tentang puasa sahaja, tetapi ia adalah medium bagi melahirkan hamba yang bertaqwa. Itulah tujuan yang perlu difahami, dihayati dan dicapai oleh kita. Bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja. Malah ia juga adalah proses untuk mengawal kemahuan kita serta keinginan diri.

Madrasah yang mampu melahirkan hamba yang bertaqwa ini perlu direbut peluangnya. Jangan biarkan ia berlalu tanpa memberi apa-apa kesan buat diri kita. Madrasah yang sungguh singkat masanya ini haruslah dimanfaat sebaik mungkin oleh kita kerana kita tidak akan ketemuinya lagi pada bulan-bulan lain. Sungguh rugi jika kita tidak bersungguh-sungguh untuk ‘belajar’ di madrasah ini. Jangan pula sekadar berimpian untuk bertemu lagi pada tahun mendatang andai kata madrasah yang ada di hadapan mata disia-siakan pula. Manfaatkanlah setiap ruang waktu yang ada walau ia kelihatan agak sukar buat kita. 

Penuhilah dengan amal-amal sunat seperti bertadarus al-Quran, berqiamullail, berterawih, bersedakah, memberi orang makanan untuk berbuka walaupun dengan sebiji buah tamar atau seteguk air. Jangan terlalu asyik dengan mengerjakan amalan sunat sahaja sehinggakan amalan wajib pula dibiarkan. Jangan terlalu ghairah untuk mengejar amalan sunat, amalan fardhu pula dibiarkan. Malangnya, 'tiada peningkatan’ langsung ketika berada di madrasah Ramadhan ini. Yang penting, amalan fardhu mestilah sentiasa menjadi keutamaan, barulah amalan sunat. Itulah yang perlu difahami. 

Tinggalkanlah segala maksiat serta segala yang mampu merosakkan jalan menuju taqwa kita. Jangan biarkan amalan kita sia-sia. Kita menyangka bahawa ibadah yang kita lakukan bakal mendapat ‘ganjaran’ di sisi Allah kelak, tetapi yang dibimbangi adalah sangkaan kita meleset. Hanya sia-sia sahaja. Itulah kepasrahan yang tiada nilainya di sisi Allah kelak. Amalan yang disangka mampu menolong kita, rupa-rupanya tiada ‘nilai’ di sisi Allah. Itulah kerugian terbesar di sisi Allah buat sang hamba.

Biarlah ibadah puasa kita pada Ramadhan pada kali ini benar-benar mencapai matlamat taqwa. Matlamat terbesar buat sang hamba dalam mencari redha serta rahmatNya. Janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada di hadapan mata pada kali ini. Lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Moga-moga Ramadhan pada kali ini mampu mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mampu mencapai visi taqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 183.

Unggun Bersih

Wednesday, July 13, 2011

Puisi : Unggun Bersih
Oleh : SN A. Samad Said
 

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.


Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Terima kasih buat Sasterawan Negara, A.Samad Said yang telah menulis puisi yang begitu ringkas dan dalam maksudnya ini. Puisi ini mengajak saya untuk membuat bacaan yang berulang kali agar saya benar-benar memahami setiap patah perkataan yang telah membentuk sebuah puisi 'Unggun Bersih' ini.

Mesejnya amat jelas adalah untuk mengingatkan kita tentang suara rakyat yang cintakan demokrasi yang jujur, telus dan bebas. Suara dan rintihan rakyat mesti didengari oleh kita mereka yang diamanahkan 'kuasa oleh rakyat' untuk memerintah. Jangan sesekali abaikan suara dan rintihan ini. Ia juga mempunyai tempat di dalam sistem demokrasi kita. 

Apa yang saya fahami, suara rakyat diibaratkan sebagai sebuah unggun api yang menyala. Jika dibiarkan, sudah pasti unggunnya akan terus menyala dan menyala. Tambahan pula, ada angin yang meniupkannya. Ia bisa mencetuskan api yang mampu menjulang tinggi nyalanya. Andainya unggun tersebut dijaga dan dikawal dengan baik, sudah pasti ia hanya menjadi sebuah unggun api yang biasa sahaja. Nyalanya yang mampu menyejukkan orang di sekelilingnya ketika cuaca sejuk. 

Begitu juga dengan suara rakyat dan kebebasan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Malaysia, jika dikongkong dan disekat dengan pelbagai cara serta medium, berkemungkinan besar ia akan mencetuskan kuasa yang luar biasa daripada rakyat. Sehinggakan suara rakyat yang bangkit mampu menjatuhkan sebuah kerajaan yang kuat dan angkuh. Andainya kebebasan yang ada mampu diguna dengan sebaiknya, maka sudah pasti ia hanya menjadi 'suara' yang harmoni, aman dan mampu membawa kebaikan dalam pelbagai bentuk kepada negara itu sendiri.

Benar, unggun 'sakti' yang digambarkan mampu merebak apabila ia disekat dan dikongkong. Ibarat air, ia pasti mencari jalan keluarnya apabila dihalang oleh sebuah tembok yang besar. Biarpun ia tidak dapat menembusi tembok tersebut pada peringkat awal, lama-kelamaan ia pasti akan akan menyerap dan meruntuhkannya secara perlahan-lahan. Akhirnya, tembok tersebut pasti akan runtuh juga. Maka, ketika itu kita sudah tidak mampu lagi menahan air yang akan bergerak laju melepasi tembok besar.

Saya mendoakan agar unggun ini tidak akan padam dan mampu menyala mengikut kesesuaian waktu dan keadaan kerana nyalanya sentiasa kita tagih walaupun untuk menyejukkan badan di kala musim sejuk.

Terima kasih ditujukan buat SN A. Samad Said di atas nukilan emasnya.

Muhasabah Separuh Tahun

Tuesday, July 5, 2011


Sedar tidak sedar, kita telahpun memasuki bulan Syaaban iaitu bulan yang kelapan dalam taqwim Islam. Manakala dalam perkiraan tahun Masihi pula, kita sudahpun memasuki bulan ketujuh iaitu bulan Julai bagi tahun 2011 ini.

Terasa cepat masa, hari serta bulan berlalu. Kadang-kadang kita sedar dengan putaran alam yang berlaku, namun, kita masih lagi lalai dan leka dengan kesibukan dunia yang pasti tidak akan habis jika dikejarnya. Alangkah seronok dan bernilainya jika dunia yang kita kejar ini mampu menjadi amalan soleh di akhirat kelak.

Saya terasa sungguh kerdil untuk mengajak saudara untuk bermuhasabah. Cuma, tulisan ini hanya ajakan kecil saya ke arah kebaikan sahaja. Moga-moga ia mampu memberi manfaat walaupun sedikit. Jika di dalam dewan peperiksaan, kita diuji dengan suasana yang cukup mendebarkan dengan masa yang diperuntuukan pula adalah terhad. Suasana serta debaran ketika menghadapi peperiksaan saya andaikan juga ketika kita menghadapi dugaan di dunia ini. Cuma bezanya adalah jika di dalam dewan peperiksaan, kita sudahpun mengetahui masa tamatnya, peperiksaan dunia pula kita tidak ketahui bila ianya akan berakhir.

Sebab itu juga, dunia ini diibaratkan ladang untuk akhirat. Maknanya, segala apa jua tindakan kita ketika berada di dunia ini akan menjadi amal soleh jika ia menepati kehendak agama itu sendiri. Jika tidak, ia akan menjadi perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat langsung di sisi Allah kelak.

Jika pada awal tahun kita sibuk berbincang dengan azam tahun baru, kenapa kita juga tidak sibuk untuk bermuhasabah atau membuat penilaian bagi segala azam serta perancangan kita bagi separuh tahun? Bukankah dengan bermuhasabah kita mampu memperbaiki segala kesilapan lalu atau memperelok dengan tindakan-tindakan baru? Atau mungkin juga mengubah strategi-strategi yang dirancang atau mengurangkan kos-kos yang diperuntukkan sebelum daripada ini? Sudah tentu, banyak manfaatnya jika kita melakukan muhasabah ini. 

Sudah pasti, dengan beberapa bulan yang telah kita lalui untuk tahun 2011 ini atau 1432 Hijri ini, banyak aspek yang perlu kita lakukan muhasabah. Bermula untuk diri sendiri, keluarga kita, jiran tetangga kita, rakan sekerja kita, organisasi yang kita dokongi, masyarakat setempat semuanya perlu dilakukan muhasabah yang tersendiri. 

Teringat kata-kata Saidina Umar al-Khattab, “Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung.” Kata-kata ini cukup sinonim jika kita berbicara tentang muhasabah. Benar! Jika kita tidak bermuhasabah, pasti Allah yang akan membuat perhitungan ke atas segala amalan kita. Andai kita melakukan muhasabah, kita mampu meneruskan perkara-perkara yang akan mendatangkan kebaikan serta pahala dan juga mampu meninggalkan perkara-perkara yang membawa kepada keburukan serta dosa.

Jika kerjaya kita cemerlang, belum tentu kita juga cemerlang dalam berorganisasi. Jika masyarakat kita cemerlang, belum tentu juga kita cemerlang dalam berkeluarga. Semuanya perlu kepada muhasabah agar azam serta perancangan yang kita lakukan sentiasa bergerak seiring dan tidak ketinggalan. 

Yang paling penting adalah, dengan bermuhasabah kita mampu mengimbangi antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi agar ia sentiasa berada pada landasan yang tepat dan juga melatih kita agar sentiasa bersedia andaikata saat ajal menjemput. Di kala itu, tiada guna lagi untuk kita bermuhasabah.

Peringatan buat diriku.