Rezeki Berselfie

Tuesday, May 20, 2014


Selfie?

Apa ada pada selfie? 

Sebelum ini saya pernah berselfie dengan kubah Masjid Negeri Shah Alam. Rupa-rupanya saya tersalah faham tentang maksud berselfie sehingga menyebabkan saya merujuk Kamus Oxford versi online untuk mengetahui makna sebenar 'selfie' itu. Ternyata saya silap dan tidak memahami makna selfie itu.

Daripada situ, saya terus belajar berselfie. Berselfie dengan kaedah yang betul. Sehinggalah sahabat baik memperturun ilmu selfie dengan caranya sekali. Alhamdulillah .. Ia menjadi. Kata-kata yang masih saya ingati ialah, "Fokus .. Fokus .."

Dipendekkan cerita, kisah selfie saya ini tidak habis di situ sahaja. Ia berpanjangan sehinggalah saat entri ini ditulis. Sewaktu melakukan pembelian buku secara online, mata saya terpana pada satu peraduan yang dianjurkan oleh syarikat buku PTS. Tajuk peraduan jelas tertulis 'Beli dan Berselfie'.

Detik hati, ini adalah ruang sebenar untuk membuktikan bahawa segala ilmu selfie yang dipelajari selama ini boleh diuji kebenarannya. Saya mula mengambil langkah serius. Benak fikiran tetap keras berkata, "Ilmu tanpa amal, sia-sia .."

Saya sertai peraduan tersebut dan apa yang menakjubkan ialah saya mendapat rezeki hadiah saguhati sebuah buku berjudul 'Kamal Attartuk' terbitan PTS. Allahu Akbar ... Walaupun hadiah saguhati, setidak-tidaknya ia mampu mengubati segala 'kesilapan' sewaktu mula-mula berselfie. Kini, saya semakin faham mengapa segelintir orang begitu suka dan mahu berselfie. Sama ada ia sekadar ikut-ikutan atau ada sisi lain pada kisah selfie mereka itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Bagi saya, ini adalah sebahagian 'kecil' kisah berselfie yang mahu saya tatapkan buat bacaan pembaca budiman blog saya.

Berselfie - Terkadang ia mampu menjadi nikmat serta rezeki yang perlu disyukuri.

Astaghfirullah .. Daku mohon keampunan-Mu ya Allah!






Mikrofon atau pen?

Sunday, May 11, 2014

Bismillah. Ini perbualan ringkas saya bersama dengan seorang sahabat peguam di bangku mahkamah tadi.

"Banyak dapat jemputan ceramah?"
Soalan itu terpancul disebabkan oleh topik motivasi yang kami bualkan. Saya sendiri tidak tahu mengapa topik motivasi menjadi topik pilihan kami bersama.

"Ada sikit-sikit.. Tapi kebanyakkan saya tolak." Jawab saya ringkas sambil menguntumkan senyuman manis.

"Kenapa pula?"

"Takut berceramah. Malah saya sendiri memang tidak suka bercakap di hadapan khalayak .. Jika berceramah sekalipun, kuantitinya mestilah kecil dan tidak terlalu besar." Terang saya panjang lebar.

Sahabat peguam saya tersenyum sahaja.

Saya terus menambah, "Jika diberi pilihan sama ada memegang mikrofon atau pen, saya suka pegang pen. Pen itu saya ibaratkan tulisan-tulisan dan mikrofon itu saya ibaratkan ceramah-ceramah."

Kali ini saya lihat sahabat peguam mula mengangguk-angguk kepalanya. Sama ada benar-benar bersetuju atau buat-buat setuju, saya tidak tahu. Yang pasti, jawapan saya itu mampu membuatkan beliau tersenyum buat kesekian kalinya.

Kanak-Kanak Itu ...

Friday, May 9, 2014

Ini kisah semalam.. Semasa menunggu bilal melaungkan iqamat untuk bersolat Isya' di sebuah surau, saya sempat menegur seorang kanak-kanak yang kebetulan berada di sebelah saya.

Saya tegur penuh santun, "Tadi adik belajar al-Quran ya?"

"Ya, bang."


Soalan itu dikemukan bersebab. Sebelum itu, saya perhatikan beliau bersama-sama dengan rakannya yang lain berada dalam satu halaqah (bulatan) al-Quran. Ada lebih kurang empat lima orang juga.

"Memang tiap-tiap malam belajar al-Quran?"

"Tak juga. Ada jadual ditetapkan."

"Oh, baguslah. Abang suka orang belajar al-Quran. Erm, nama adik apa ya?"


"Abdullah ..."
perlahan sahaja suaranya memberitahu saya. Saya yang kurang jelas dengan jawapan tersebut meminta agar beliau mengulangi sekali lagi.

"Nama apa? Abang tak dengar tadi," pinta saya.

"Abdullah."

"Umur berapa tahun?"

"9 tahun, bang."

"Oh, maknanya sekolah darjah tiga lah ya?"


"Ya. Tapi saya tak bersekolah macam orang lain bersekolah."

"Kenapa?"

"Saya dihantar ke sini oleh ibu bapa untuk belajar agama. Saya tidak tahu mengapa mereka hantar saya ke sini..."


Bicara kanak-kanak ini terhenti. Mungkin menyembunyikan sesuatu daripada saya. Saya pula tidak bercadang mengorek rahsia mengapa beliau memberi jawapan sebegitu.

Pasti ada sebab mengapa beliau dihantar untuk belajar agama di sebuah tempat yang dikendalikan oleh sebuah NGO yang sudah tidak asing di negara ini.

"Allahu Akbar ... Allahu Akbar ..." Kedengaran suara bilal memulakan iqamat. Tanda bagi kami berdua agar sama-sama bangun daripada tempat duduk untuk bersolat Isya.

Sebelum itu, saya sempat bertanyakan soalan terakhir buat beliau, "Seronok tak bersekolah di sini?"

"Seronok ... Tapi saya tak boleh tengok muka ibu bapa saya sepertimana orang lain tengok. Kena tinggal di asrama."

Allahu rabbi ... Terkedu dengan jawapan akhir beliau. Seorang kanak-kanak berumur 9 tahun dan sudah pun 'berpisah' kasih-sayang membuatkan saya berfikir sedalam-dalamnya erti syukur. Dipertemu dengan kanak-kanak ini merupakan catatan takdir Allah buat diri saya.

Ia begitu ..  Pasti ada hikmah di sebalik takdir.