Bersama Ustaz Zul Ramli

Sunday, February 16, 2014



Alhamdulillah, beberapa hari lepas Allah beri keizinan kepada saya bersua muka dengan penulis buku 'R&R Di Lebuhraya Kehidupan' iaitu Ustaz Zul Ramli M.Razali. Saya mengenali sosok tubuh insan ini bukanlah melalui kaca televisyen atau corong radio Ikim pada mulanya, tetapi melalui hasil penulisan beliau yang telah saya miliki sejak tahun 2011 lagi.

Sungguh, tiada nikmat untuk didustakan apabila berpeluang mengutip mutiara hikmah sepanjang dua jam sesi kuliah yang disampaikan oleh beliau di sebuah masjid. 

Usai sesi kuliah, saya mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bersua muka. Takdir Allah, saya dapat bersua walau tidak lama. Sejujurnya, dapat berjabat tangan dengan ustaz pun sudah cukup bagi saya. Hajat untuk bergambar tiada pada awalnya sehinggalah ada seorang pemuda mencuit saya dari belakang dan memohon sesuatu daripada saya.

"Bang... Boleh ambil gambar saya dengan ustaz tak?" 

"Boleh..." Fikiran saya tajam mencari ruang agar pemuda itu pula mengambil gambar saya dengan ustaz. Itupun jika mulut saya tidak terkunci rapat.

Klik... Klik... Klik... Beberapa keping gambar pemuda itu saya rakamkan melalui telefon pintar yang dibawa oleh beliau. "Terima kasih bang," sambil melihat gambar yang dirakam oleh saya pada skrin telefonnya.

"Erm...Boleh ambilkan gambar saya dengan ustaz tak?" sambil tersengih malu menyampaikan hasrat hati.

"Boleh...Boleh..."

Klik...Klik...Klik... Giliran gambar saya bersama ustaz pula dirakamkan oleh pemuda itu. Syukur...Terasa damai dan hati berbunga-bunga apabila melihat gambar saya berjaya dirakamkan bersama tokoh yang sentiasa muncul di kaca televisyen.

Saat masih bersama dengan ustaz, saya hulurkan buku yang dibawa untuk ustaz turunkan autograf. Pen yang saya bawa, saya hulurkan terus. Saya melihat beliau serius mencatatkan sesuatu.

"Erm...Nama apa ya?" matanya memandang tepat ke arah saya.

"Mohd Firdaus..." lafaz saya perlahan serta penuh sopan.

"Erm... Buku 'U-Turn' dah ada?" tanya ustaz lagi kepada saya.

Jawab saya, "Ada ustaz..." 

Selepas itu giliran saya pula bertanyakan soalan kepada ustaz, "Erm...Bila pula buku baharu mahu keluar?" 

Sambil ketawa kecil beliau memberitahu saya, "Dalam proses...Insya-Allah!"

Ya. 'Insya-Allah'...
Itulah jawapan yang melegakan hati saya setelah mendengarnya...

Kalimah 'Insya-Allah' jugalah yang menyebabkan saya dapat bertemu dengan ustaz. Jika diikutkan logik akal saya, sudah tentu ia tampak mustahil dan sukar. 

Ya, ia bukanlah sebutan biasa-biasa. Saya teramat yakin dengan-NYA! Allahu Akbar...

Mesin ATM

Saturday, February 15, 2014

Berpagian di sebuah mesin ATM di sebuah bank. Keadaan sunyi dan masih bebas daripada kekalutan manusia untuk melakukan pelbagai transaksi bank.

Saya masukkan kad bank dan seterusnya pin nombor sebagaimana arahan yang terpapar pada skrin ATM. Kemudian, saya pilih urusan untuk pengeluaran. Saya tekan amaun yang mahu dikeluarkan. 

Tiba-tiba terpancar pada skrin ATM, "Urusan pengeluaran wang sedang dikemaskini..." Lebih kurang begitulah maksud paparan tulisan walaupun tidak 100% sebagaimana yang dilihat oleh mata saya sekejap tadi.

Saya cuba buat kali kedua. Perkara sama masih terjadi.

Seterusnya saya berpindah ke sebuah mesin ATM yang satu lagi. Saya lakukan perkara yang sama sebagaimana pada mesin ATM yang awal. Ya. Perkara yang sama juga terjadi.

Seraya saya mendengar salah seorang pelanggan yang usai menggunakan mesin ATM yang satu lagi mengeluh, "Alaa... Pagi-pagi lagi buat hal... Menyusahkan betul!"

Saya diam sahaja.

Apa yang terlintas di fikiran pada saat kejadian itu berlaku hanyalah satu...

"Akaun amalan saudara sedang di'kemaskini' di Padang Mahsyar..."

Allah ya Allah... Pada saat itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Untuk kembali ke dunia sudah tidak boleh lagi...Hanya perlu menunggu sahaja apakah keputusan itu.

Saat nyawa masih di kandung badan, itulah peluang bagi 'mengemaskini' segala amalan untuk dijadikan bekalan menghadap Allah SWT.

 

Kerja

Monday, February 3, 2014


Sambil minum pagi, satu fail melibatkan seorang sahabat baik dapat diselesaikan. Sepanjang sesi tersebut, kami bersembang pasal kerjaya. Sehinggakan, ada satu persoalan yang begitu asas serta mendasar telah membuatkan kami berfikir panjang. "Kita kerja sebenarnya untuk apa?" soal saya bersahaja sambil menghirup Nescafe panas yang dipesan. "Entah..." "Adakah kita berkerja semata-mata untuk membayar segala bil yang ada? Membeli itu dan ini untuk keperluan hidup? Atau bagaimana?" bertubi-tubi soalan dilontarkan sehinggakan nafas tercungap-cungap. "Erm..." Matanya merenung tajam ke arah saya. "Bukankah kerja itu ibadah?" soalan terakhir yang menjadi jawapan kepada persoalan-persoalan yang dibangkitkan. Kali ini sahabat saya mula memberikan komentar jujur yang sebenarnya itulah yang ditunggu-tunggu oleh saya sejak soalan pertama dilontarkan. "Kawe (saya) rasa, baharu sepuluh peratus (10%) kerja itu dijadikan ibadah. Terkadang kawe terlupa tentang soal utama itu..." Dalam fikiran saya mula terbayang, ke manakah baki 90% itu...