Dr. Maza di Qaryah Ramadhan, Kota Bharu

Wednesday, August 17, 2011



Tanggal 16 Ogos 2011 bersamaaan dengan 16 Ramadhan 1432H, sekali lagi saya berkesempatan bersua muka dengan agamawan terkenal negara iaitu Prof. Dr. Mohd Asri atau lebih sinonim dengan panggilan nama Dr. Maza. Pertemuan di Qaryah Ramadhan, Kota Bharu bersempena dengan Program Khatam 100 Kali al-Quran adalah merupakan pertemuan kedua saya selepas di Masjid Mukim Chekok dahulu. 

Alhamdulillah, peluang yang hadir tidak mahu saya lepaskan dengan begitu sahaja. Jadual serta program yang ada pada diri beliau untuk dipenuhi sudah tentulah begitu banyak, lebih-lebih lagi buat seorang tokoh agama sepertinya. Siapa tidak kenal bekas Mufti Perlis yang ideanya begitu tajam dan kritis ini. Mungkin sebab itulah saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang hadir ini. 

Allah telah memberikan peluang tersebut walaupun pengisiannya yang bertajuk ‘Indahnya al-Quran’ hanya memakan masa lebih kurang 45 minit, namun saya cukup berpuas hati kerana saya dapat mengaut mutiara kata daripadanya secara terus. Teguran suci serta tulus daripadanya membuatkan saya teringat kepada kisah-kisah ulama dahulu kala yang benar-benar ikhlas di dalam menyampaikan ilmu agama demi kepentingan ummah, bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan sesuatu pihak yang tertentu sahaja. 


Benar, ulama yang jujur adalah mereka yang menasihati ummah atau umara dengan nasihat yang jujur juga serta berlandaskan kepada hujah. Itulah agama Islam berdiri, berdiri di atas hujah serta dalil. Bukannya kerana rasional fikiran atau hawa nafsu semata. Bukan kerana kepentingan pihak tertentu, tetapi demi kepentingan Islam yang amat universal dan mencakupi keseluruhan aspek kehidupan.

Tulisan ini bukanlah untuk memuji atau mengampu tentang ketokohan Dr Maza, tetapi ia hanya sekadar secebis daripada perjalanan saya untuk mencari kebaikan ketika berada di dunia yang teramat fana ini. Jika pujian sekalipun, mungkin ia tidak lebih daripada menyatakan apa yang saya rasai sepanjang mengenali Dr. Maza itu sendiri. Tidak lebih daripada itu. Jujur saya katakan bahawa saya banyak mengenali Dr melalui tulisannya. Jika tulisan saya ini membawa kepada sifat yang tidak sepatutnya ke atas diri Dr, saya memohon jutaan keampunan kerana bukan itu tujuan tulisan ini ditulis. Ia hanya sekadar sebuah perjalanan ukhwah dalam mencari cinta kerana Allah. Itulah yang saya harapkan. Mudah-mudahan saya mampu mengecapinya melalui titipan ukhwah ini.

Sehingga kini, saya masih berpegang kepada tulisan Dr. Maza apabila saya menulis satu entri yang bertajuk “Tazkirah Dr Maza di Masjid Mukim Chekok” pada suatu ketika dahulu, beliau ada menulis secara ringkas untuk diri saya. Inilah tulisan ringkas beliau yang tidak pernah saya ubah pada suatu ketika dahulu : 

terima kasih kepada saudara penulis..walaupun kita belum berkenalan, harap saling mendoakan..hakikatnya, saya hanya insan biasa yang TERAMAT BANYAK kelemahan diri..bak kata al-Imam Ahmad "jika engkau tahu dosa dan kesalahanku, nescaya engkau tabur kepalaku dgn pasir"..semoga sangkaan baik saudara satu doa untuk saya..seorang hamba Allah yg kerdil yg cuba menyumbang dgn segala kekurangan yg ada..” 

Inilah kata-kata yang cukup rendah diri oleh seorang tokoh agama yang saya kenali dan telah memotivasikan diri saya untuk terus ‘berkenalan’ serta berukhwah dengan Dr Maza dengan lebih dekat lagi walau kebanyakkannya ia terbatas dengan sempadan masa serta jarak. Tetapi itu bukanlah alasan untuk saya tidak mengenalinya. Sekurang-kurangnya saya sudah dua kali berjabat tangan dengannya pada tahun ini. Saya amat bersyukur dan juga terharu dengan ‘nikmat’ Allah yang diberikan kepada saya ini. 

Melalui tulisan saya sebeginilah yang boleh membawa saya terus mengingatinya selain membaca tulisannya yang segar melalui media arus perdana ataupun media alternatif. Itulah medium yang ada untuk saya terus berkenalan dan mengikuti perkembangan semasa Dr. 

Semoga Dr terus mengingati saya dan juga mendoakan kebaikan ke atas diri saya juga. Semoga tulisan ini menjadi doa buat Dr dalam meniti perjalanan dakwah yang cukup berliku ini, Insya’ Allah...

Sudah Separuh Jalan Kita Menuju Taqwa

Tuesday, August 16, 2011



Sungguh pantas hari-hari berlalu meninggalkan kita. Sedar atau tidak, kita sudah memasuki separuh bulan Ramadhan. Juga sudah separuh bulan yang telah kita habiskannya. Bulan yang penuh dengan segala keberkatan, kerahmatan dan pengampunan daripada Allah bakal pergi meninggalkan kita. Pendek kata, sudah separuh jalan kita menuju taqwa. Cuma, adakah kita sempat untuk menghabiskan saki-baki bulan ini atau kita hanya membiarkannya ia berlalu dengan begitu sahaja.

Andainya kita merupakan hamba yang tidak mahu Ramadhan pergi dengan begitu sahaja, sudah pasti pelbagai usaha telah kita lakukan agar Ramadhan yang hadir ini benar-benar memberi kesan kepada kita. Sudah tentu juga pelbagai amalan soleh telah kita lakukan sepanjang bulan ini dan sehingga saat ini. Mungkin juga, pelbagai keburukan dan maksiat sudah berjaya kita tinggalkan atau tidak dekatinya lagi. Itu adalah ‘kesan’ yang positif yang lahir melalui kehadiran Ramadhan. Moga-moga perubahan positif itu terus kekal dan tidak kembali 'negatif' pada bulan-bulan lain hendaknya. Jangan setakat Ramadhan sahaja, malah bulan lain hendaklah diteruskan momentumnya.

Cuma, sedikit muhasabah, apakah kita mampu meraih objektif ‘taqwa’ yang dituntut melalui ibadah puasa itu sendiri? Hanya kita sendirilah yang mampu menilainya. Jika manusia yang menilainya, mungkin aspek luaran sahaja yang mampu dinilai. Aspek dalaman terutama sekali persoalan ikhlas, hanya kitalah yang mengetahuinya. Mana tahu, ada sifat 'ujub, riya' atau takabbur ketika kita menekuni ibadah sepanjang Ramadhan ini. Itulah yang dibimbangi kerana ia boleh merosakkan nawaitu sebenar kita beribadah. Tiada sebab yang lain, melainkan kerana-Nya sahajalah kita beribadah di samping mematuhi apa yang digariskan oleh syariat.

Jika dilihat daripada aspek ibadah puasa, Allah terang-terang meletakkan ganjaran pahala puasa adalah tidak terhad atau tidak terbatas. Malah ia adalah milik mutlak Allah untuk menentukannya. Sudah pasti, ganjaran akhirat kita tidak nampak secara zahir sebagaimana ganjaran kita melakukan sesuatu pekerjaan ketika di dunia. Untuk meyakininya, ia memerlukan kepada ilmu serta keimanan yang benar-benar tulus serta tinggi. Jika tidak, amalan kita hanya sekadar pelengkap kepada ‘arahan’ berpuasa oleh Allah SWT ke atas kita semata-mata.  Mungkin juga sekadar ikutan atau rutinan sahaja. Nauzubillah...

Jika kita berada di atas padang bola, separuh masa kedua adalah masa yang paling sibuk buat jurulatih serta pemain-pemain bagi sesebuah pasukan. Ketika inilah mereka merancang untuk mempertingkat permainan, mengawal emosi serta mempertaruh strategi yang berkesan. Jika silap percaturan, sudah pasti kekalahan yang bakal diratapi. Begitu juga dengan madrasah Ramadhan yang dilalui, separuh masa kedua inilah yang kita perlu maksimakan. Perlu gandakan usaha. Perlu mujahadah ke atas hawa nafsu serta halangan yang ada. Andainya kita gagal, sudah pasti kita bakal melepaskan Piala Taqwa yang patut dijulang di saat Ramadhan bakal meninggalkan kita. Rugilah kita jika tertewas dengan Pasukan hawa nafsu yang maha hebat godaannya.

Justeru itu, ini bukannya masa untuk bermain-bermain lagi. Tetapi adalah masa untuk kita ‘menyerang’ habis-habisan jika kemenangan yang mahu kita kecapi. Jika Piala Taqwa yang mahu kita julangkan, jangan sesekali tertewas dengan godaan nafsu serta halangan sekeliling. Perbetulkan niat, pertingkatkan ibadah serta tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh membawa dosa agar Ramadhan yang masih berbaki ini, mampu kita tamatkan dengan objektif ‘taqwa’ yang digariskan.

Semoga separuh jalan kita lagi mampu menuju taqwa yang diidam-idamkan. Fastabiqul khairat...Berlumba-lumbalah mengejar kebaikan.

Hari Kesepuluh Ramadhan...

Wednesday, August 10, 2011



Hari ini sudah hari yang kesepuluh kita berada di dalam bulan Ramadhan. Sudah satu pertiga bulan Ramadhan telah kita lalui. Terasa sungguh pantas masa berlalu. Bulan yang penuh dengan segala kebaikan, keberkatan dan kerahmatan ini wajib direbut oleh kita semua dengan mempertingkat segala amalan fardhu dan juga amalan sunat. Jangan sesekali kita tertipu dengan masa yang ada. Kadang-kadang kita selalu berkata, “Tak apa, masih ada banyak masa lagi untuk kita buat itu dan buat ini…” Jadilah hamba yang agresif dalam mengejar amalan-amalan soleh dan pada masa yang sama kita sedaya upaya untuk meninggalkan maksiat serta amalan-amalan yang boleh mendatangkan dosa.


Kita selalu membaca ayat surah al-Asr yang membicarakan tentang masa. Surah yang amat sinonim dengan sikap orang yang berada di dalam 'kerugian' melainkan beberapa golongan yang beruntung seperti yang dimaksudkan di dalam ayat ketiga surah tersebut yang bermaksud:

“ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.

Penceramah-penceramah, ustaz-ustaz atau motivator-motivator seringkali menyebut tentang kepentingan masa dan sikap jangan suka bertangguh. Memang benar, dengan bertangguh kita akan melambakkan lagi urusan yang sepatutnya mampu diselesaikan. Bakal menambahkan lagi urusan-urusan di dalam jadual kerja seharian kita yang sememangnya sudah banyak ‘dikumpul’ akibat sikap suka bertangguh atau melengah-lengahkan sesuatu urusan. Kalau ibadah, kita jangan bertangguh-tangguh. Bersegeralah ke arah kebaikan.

Jika madrasah Ramadhan pada kali ini kita masih lagi ‘bertangguh’ untuk mengerjakan amal soleh, sudah pasti untuk menjamin kita melakukan amal soleh pada bulan lain agak sukar buat kita. Ketika inilah kita melatih sifat agresif untuk merebut peluang yang terhidang atau tersedia. Bukan lagi mengambil ‘port’ yang membiarkan orang lain berebut-berebut untuk mengejar kebaikan, sedangkan kita hanya memerhati sahaja. Sepatutnya, diri kita juga turut serta. Jangan kita hanya bimbang untuk tidak sempat membeli juadah berbuka atau persiapan hari raya, bimbanglah jika kita tidak sempat lagi merebut saat-saat barakah di dalam bulan ini.

Usah bertanya, sempatkah kita untuk merasai Ramadhan lagi pada tahun hadapan jika Ramadhan pada kali ini kita masih lagi merebutnya sambil ‘lewa’. Bagi mereka yang begitu ghairah beribadah di dalam bulan ini, tanyalah diri sendiri, apakah benar kita lakukan segala ibadah semata-mata kerana kasih dan cinta kepada Allah? Atau hanya kerana bulan Ramadhan itu sendiri? Jangan sesekali kita tertipu dengan tujuan ibadah yang sebenar, iaitu kita mengerjakan semata-mata kerana Allah. Jika kita beribadah kerana Nabi, nabi pasti akan mati. Jika kita beribadah kerana Ramadhan, Ramadhan pasti berlalu pergi dan semestinya, beribadahlah kerana Allah, pasti Allah tidak akan ‘mati’ dan ‘pergi’.

Sesungguhnya madrasah Ramadhan yang dianugerahkan kepada kita pada kali ini, biarlah ia merupakan sebuah madrasah yang benar-benar melahirkan kita menjadi hamba yang bertaqwa kepada-Nya. Hamba yang ikhlas serta tawakkal yang tinggi dalam setiap urusan kehidupan. Hamba yang benar-benar mengikut apa yang diperintahkan melalui al-Quran dan as-Sunnah. Bukannya hamba yang menentang dan melanggar apa yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Semoga dengan Ramadhan yang masih berbaki, kita mampu mempertingkat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada pada puasa serta ibadah kita yang terdahulu. Moga-moga, baki dua pertiga lagi pada madrasah ini kita mampu merubah diri ke arah yang lebih baik dan menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah, insya’ Allah.