Pinjaman Peribadi

Monday, October 20, 2014


Ada seorang bakal klien meminta pendapat saya melalui panggilan telefon tangan berkenaan pinjaman yang mahu beliau lakukan bagi membeli rumah teres.

"Tuan, okey tak jika saya ambil pinjaman peribadi untuk beli rumah?"

Disebabkan saya kurang jelas dan kurang arif tentang beberapa perkara mengenainya, saya segera memberitahu, "Tuan, soalan tersebut tuan kena rujuk dengan pihak kewangan. Jika tanyakan saya, takut-takut tuan terasa hati sahaja selepas mendengar jawapannya nanti."

"Maksud tuan?"

"Maksud saya begini. Dari segi perundangan, tuan kena betul-betul fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan 'pinjaman' dan 'pembiayaan'. 

Keduanya, tuan kena betul-betul semak dan pastikan sama ada 'pinjaman peribadi' itu patuh syariah ataupun tidak.

Ketiganya, tuan kena kaji betul-betul sama ada 'pinjaman peribadi' itu dilakukan semata-mata kehendak ataupun keperluan.

Keempatnya, tuan kena tahu apakah kesan serta akibat apabila mengambil 'pinjaman peribabi' itu kelak."

Sejujurnya, selepas saya memberitahu empat poin tadi, saya hanya mendengar beliau berkata, "Ooo .. Tak tahu pula saya tentang itu. Nasib baik tuan beritahu. Sebab kawan saya kata, pinjaman peribadi sama sahaja dengan pinjaman lain."

Saya mampu tersenyum walaupun beliau tak nampak senyuman saya itu. Tujuan saya beritahu bukan mahu mengajar-ngajar, tapi mahukan agar setiap pilihan yang dibuat itu 'betul-betul masak'. 

Jika tidak betul-betul masak, kelak 'masak' bank akan kerjakan kita!