Satu Rim Kertas A4

Tuesday, September 30, 2014



Pernah suatu hari, saya memohon staf saya di pejabat membeli satu rim kertas A4 bagi kegunaan pejabat. Saya mohon agar didahulukan wang beliau dan saya akan ganti kemudian kerana saya tiada wang kecil untuk diberikan pada waktu itu.


Sehinggalah pada suatu hari yang lain, saya lihat staf saya memegang satu rim kertas yang baharu dibeli dan saya segera bertanya kepada beliau, "Berapa harga kertas tersebut?"

Sambil tersenyum beliau menjawab, "Tak apalah, tak payah bayar!"

"Mana boleh. Lagipun ia untuk kegunaan pejabat. Berapa harganya?" Sambil menghulurkan sekeping not merah kepadanya.

Staf saya dengan keras menolak wang yang saya hulurkan dan memberitahu, "Tak apa. Saya niat sedekah. Memang dah niat untuk sedekah kertas ini untuk kegunaan pejabat."

Masya Allah. Allahu Akbar.

Terkedu saya seketika.

Terasa ada getaran pada hati kecil saya. Sungguh, ia 'situasi' yang menyebabkan saya berfikir bahawa betapa mulianya apabila sesuatu kebaikan itu dilakukan. 

Kebaikan tidak kenal sesiapa. Selalunya mereka yang dicampak rasa untuk berbuat baik tanpa sempadan ini mempunyai 'hati emas' pada jiwa mereka.

Di sisi Allah, pasti ia mempunyai sebaik-baik ganjaran.

- sumber gambar Google

Lion Of The Desert

Sunday, September 14, 2014


Semalam saya direzekikan menonton filem yang mengisahkan seorang pejuang bernama Umar Mukhtar di kaca tv. Perjuangan mempertahan tanahair di negara kelahiran Libya daripada penjajah membenarkan bahawa agama Islam merupakan agama perjuangan.

Ada banyak babak menarik jika mahu saya ulas di sini.

Antaranya ialah bagaimana askar musuh begitu takjub dengan semangat serta sikap perjuangan yang ada pada tentera Islam. Mereka mengikat kaki agar tidak lari di medan perang kerana melarikan diri dari medan perang merupakan kesalahan besar buat para pejuang.

Selain itu, salah seorang pegawai yang diarah untuk menjalankan hukuman gantung seorang wanita di kem tahanan menolak arahan ketuanya kerana berpendapat bahawa peraturan peperangan tidak membenarkan mengantung mati seseorang wanita.

Merogol wanita tahanan serta tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak serta orang tua adalah sikap biadap yang sudah lama digambarkan pada tentera musuh. Jika dikaitkan dengan situasi hari ini, apa yang berlaku di Syiria atau Gaza, telah lama dicatatkan oleh sejarah.

Di samping itu, istilah yang dilabelkan terhadap orang Islam sebagai 'pemberontak' telah digambarkan dalam filem ini. Jadi tidak hairanlah jika musuh Islam sibuk melabel 'terrorist' atau pengganas dewasa kini. Mereka tidak akan berhenti melabel atau menggambarkan orang Islam sebegitu sehinggalah kiamat tiba.

Sungguh, sejarah bercerita bahawa Islam bukan sekadar agama ritual.Skopnya lebih luas dan mencapah sifatnya.

Ia sebuah agama perjuangan!

Bertepatan dengan Hari Malaysia esok, filem ini boleh mengajar kita banyak perkara. Tinggal sahaja, mahukah kita berfikir serta mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku di sekeliling ..

- sumber gambar Google

Kena Bayar Ker?

Thursday, September 11, 2014

Seorang staf kerajaan datang ke pejabat saya untuk mengesahkan sesuatu yang menjadi kemusykilan. Katanya perihal jual beli rumah yang telah lama berlaku.

Saya pelawa beliau masuk ke bilik dan menyapa ringkas, "Boleh saya bantu? Berkenaan dengan apa ya tuan?"

"Sebelum saya terus bertanya, saya nak tanya satu soalan lain dahulu, boleh?"

"Berkaitan apa ya?"


Bibirnya sedikit bergetar, bahkan kata-kata yang diungkapkan pula tidak jelas dan terketar-ketar.

"Erm .. Erm .. Maaf tuan.. Kena bayar ker kalau saya tanya soalan pada tuan? Tuan 'charge' ker apa yang mahu saya bincangkan nanti?"

Sambil menghulurkan senyuman, saya katakan kepada beliau, "Tak perlu .. Tanya sahaja .."

Jelas saya perhatikan, tangan kanan beliau mula mencari dompet. Barangkali berkira-kira mahu 'bayar' kos sesi pertanyaan dengan saya.

Telahan saya begitulah .. Sungguh, ia kisah petang Khamis yang mendamaikan minda serta jiwa budi .. Moga ia menjadi cebisan kisah serta pengalaman indah sewaktu melayan mereka yang bertamu ke pejabat saya!