Promosi

Wednesday, June 29, 2016

(sumber : Google)

Semalam saya ada singgah di sebuah pasaraya di pinggir bandar Kota Bharu.

Semasa berjalan-jalan menuju ke satu rak barangan bayi, saya terdengar satu pengumuman dibuat oleh jurukaunter bertugas.


"Promosi .. Promosi .. Belian bernilai RM100 ke atas dalam satu resit anda layak untuk membeli sepeket Meggi dengan nilai RM1.99 .." berkali-kali pengumuman dibuat.
.
Minda saya pantas membuat ulasan, "Baik beli Maggi terus kalau nak sangat berhemah sewaktu berbelanja. Nak cukupkan RM100 baru nak beli Meggi, itu sudah dipengaruhi namanya. Banyak perkara lagi boleh dimanfaatkan dengan nilai RM100 itu!"

Acapkali 'promosi' mempengaruhi minda bawah sedar, terkadang tidak sedar-sedar bahawa diri telah berjaya dipengaruhi.

Ubat untuk mengawal diri daripada dipengaruhi oleh sebarang promosi ialah ILMU, IMAN serta TAQWA. Tanpa ketiga-tiga elemen tersebut, nafsu yang sifatnya teramat liar mudah termakan jerat.

Gerhana Matahari

Wednesday, March 9, 2016


(sumber foto : Google)

"Fenomena gerhana bukan sekadar fenomena alam," ulas seorang pakcik. Ulasannya terhenti seketika apabila rakan baiknya pantas menyampuk, "Maksud kamu?"


"Yelah .. Di sebalik kejadian alam, ada tanda kebesaran Tuhan yang wajib kita amati dan hayati. Jika tidak, sia-sia sahaja!" Jelas pakcik berkain pelikat berwarna hitam.

Disebabkan penjelasan yang diberikan tidak memuaskan hati, rakannya sekali lagi melontarkan soalan, "Sia-sia? Apa maksud kamu sia-sia?"

"Ohh .. Janganlah cepat melatah. Begini maksud saya .." Sambil menguntumkan senyuman manis tanpa paksa.

"Sia-sia apabila fenomena yang berlaku itu tidak memberi kesan walau sedikit dari sudut ketuhanan. Ya .. Secara saintifiknya, ia merupakan fenomena luar biasa dan tidak selalunya berlaku. Tidak salah untuk kita sama-sama melihatnya. Lagipun agama Islam menyarankan agar kita melakukan solat sunat gerhana." Pakcik itu mula berkilas kata.

Pantas rakannya menyambung, "Bab itu aku setuju."

"Apabila fenomena alam tidak dikaitkan dengan kebesaran serta keagungan Tuhan, maka ia akan menjadi sia-sia. Di sebalik kejadian dan fenomena yang berlaku sepatutnya mampu menghadirkan rasa kehambaan serta ketaqwaan dalam diri. Bukankah di sebalik kejadian itu terzahirnya keagungan serta kebesaran Tuhan?"

"Erm .. Erm .." Mulut rakannya mengiakan persoalan yang dilontarkan.

"Benar .. para saintis mengkaji soal 'bagaimana' fenomena itu berlaku secara terperinci. Namun bagaimana pula dengan soal 'siapakah' yang menjadikan fenomena ini? Adakah ia turut diperincikan sebaik mungkin oleh setiap daripada kita? Kaitan persoalan bagaimana dan siapakah semestinya hendaklah seiiring dan tidak boleh dipisahkan." 

"Oo .. Maksud kamu, apabila melihat kejadian gerhana sepatutnya kita semakin mengenali Tuhan?"

"Benar sekali! Mengenali Tuhan melalui fenomena alam adalah tanda seseorang itu beriman." Pakcik itu menutup bicara sambil meninggalkan kawasan kaki lima sebuah surau yang usang.  


Air Kosong

Sunday, January 31, 2016

(sumber gambar Google)


Di sebuah kedai makan di Pengkalan Chepa tadi, saya pesan secawan kopi o panas kepada pelayan kedai. Sampai ke sudah air kopi tak sampai-sampai. Yang sampai ialah segelas air kosong.

Saya sedikitpun tidak marah, melenting ataupun kecewa. Jauh sama sekali untuk melatah yang bukan-bukan.

Namun, pada sudut lain ada sesuatu yang membuatkan akal saya pantas berfikir dan merenung sedalam-dalamnya ialah tentang kehidupan ini.
 
Ya. Kehidupan.

Adakala yang kita pohon dan minta dari Tuhan tidak 'segera' ditunaikan sepertimana kisah saya memesan secawan kopi o yang tidak tertunai.

Adakala kita minta lain dengan Tuhan, tapi Tuhan berikan yang lain. Juga seperti kisah saya memesan kopi o, tapi yang tiba ialah segelas air kosong.

Apa-apapun, Tuhan terlebih mengetahui apakah yang terbaik untuk ditunaikan ke atas hamba-hamba-NYA. Mungkin apa yang diminta di dunia, ditangguhkan pada hari akhirat untuk ditunaikan. Wallahu'alam ..Tiada siapa mampu menduga dengan tepat Kebijaksanaan Tuhan.

Jadi kalau setakat kopi o panas, apalah sangat ya .. Senyumlah sikit! 
 
Jadi kalau apa-apa permintaan kita pada saat ini masih belum tertunai lagi, usah terlalu gelisah atau gundah-gulana. Apatah lagi mahu bertindak di luar kawalan akal fikiran yang waras.

Yakinlah .. Selagimana kita mempunyai harapan, teruskan berusaha dan jangan sekali-kali berhenti berdoa pada Tuhan.

Insya' Allah .. Tuhan pasti tunaikan apa yang kita minta atas rahmat dan kasih-sayang-NYA 'suatu hari' nanti.

Yakinlah!



Sirna Cahaya Mentari

Friday, November 27, 2015

 (sumber Google Image)

Keberadaan kita di dunia ini mempunyai tempoh waktu. Rekod manusia paling lama hidup pun akan berakhir dengan kematian jua. Tiada sejarah yang mencatatkan bahawa wujudnya manusia kekal hidup selamanya. Sebaliknya sejarah kehidupan manusia akan dinoktahkan dengan sebuah kematian.

Yang bermula pasti berakhir.

Yang hidup pasti mati.

Apabila 'kematian' telah tersemat pada lubuk minda, tiada apa yang lebih penting dalam hidup ini melainkan untuk menyediakan bekalan yang terbaik bagi dipersembah pada Tuhan sekalian alam.

Maka persoalannya, apakah yang mahu dibekalkan?

Berapakah tempoh waktu yang diperlukan bagi mengumpulkan bekalan tersebut?

Jawapan yang hadir pasti berbeza-beza. Namun ia perlu diselarikan dengan hakikat bahawa tempoh keberadaan kita di dunia ini hanyalah sementara sifatnya. Umur yang ada semakin singkat dan berkurangan walaupun dari sudut angka ia sentiasa bertambah. Dua tahun lepas  umur kita 34 dan jika diizinkan hidup lagi tahun hadapan (2016) maka umur kita akan bertambah menjadi angka 36.

Jaminan umur bertambah belum tentu menjadi ukuran terbaik bahawa bekalan turut bertambah. Sifatnya tidak berkadar terus. Mungkin songsang.

Umur bertambah, amalan berkurang. Akhirnya menjadi sifar dalam buku amalan yang menjadi rekod sulit antara hamba dan Tuhannya. Kemungkinan itu ada. 

Kira-kira atau congkak kasar saya yang kerdil ini begitulah .. Lantas melalui panduan al-Quran dan as-Sunnah tentang perjalanan kehidupan di dunia ini perlu mengikat atas setiap amalan atau perbuatan agar tidak terpesong.

Umur bertambah, amalan bertambah. Harapan di hati sentiasa begitu. Malah azam tahun baharu pun hampir majoriti kita mengharap sebegitu.

Biarlah harapan dan azam itu disertai dengan siri-siri tindakan yang benar-benar konsisten dan bersungguh-sungguh. 

Tatkala sinar mentari masih menyinar, peluang menambah bekalan yang 'terbaik' masih terbentang luas. Tiada jaminan bahawa diri akan dapat melihat Sang Mentari hari esok. Jangan sampai sirna Sang Mentari hilang, saat itu tiada lagi 'tempoh' beramal buat kita. 

Peluang

Saturday, September 12, 2015



 (gambar Google)

Apabila Allah izinkan mata masih boleh melihat ..

Hidung masih boleh menghidu ..

Telinga masih boleh mendengar ..

Mulut masih boleh berkata-kata ..

Tangan dan anggota lain masih boleh bergerak ..

Itu sebenarnya merupakan 'peluang' yang Allah berikan kepada kita untuk terus menjadi hamba-Nya yang setia setiap masa, setiap ketika walau di mana pun kita berada.

Selagimana peluang itu masih diberikan, maka selagi itulah diri kita berpeluang untuk menambah pahala, memohon taubat atas segala dosa sepanjang nikmat hidup dikurniakan.

Sedar tidak sedar, waktu tetap berjalan, bumi masih berputar, menandakan bahawa diri sebenarnya tidak mampu beralasan lagi jika kantung amalan tidak mampu disedikan sebaik mungkin.

Waktu semakin singkat ..

Namun, jika ditoleh ke belakang, persoalan apakah amalan yang mahu ditunjukkan di hadapan ALLAH kelak, mampukan anggota-anggota tubuh badan lain memberikan jawapan terbaik di hadapan-NYA?

Sudah tentu, kita mahukan yang terbaik menjadi jawapan di hadapan ALLAH kelak.

Kerana itulah, ALLAH masih memberikan peluang dan peluang sehinggalah peluang itu tiada lagi untuk kita.

Saat mata terpejam buat selama-lamanya .. Ketika itulah peluang tidak lagi menjadi ungkapan kata dalam hidup seharian.

Ia menjadi sejarah yang bakal ditinggalkan buat selama-lamaya apabila diri berpindah ke alam kubur. Tiada lagi peluang.

Bahkan tidak hairan jika kita membaca ayat al-Quran, kita akan bertemu dengan wahyu ALLAH yang menyatakan bahawa ada golongan manusia yang memohon kepada ALLAH agar diberikan peluang untuk pulang ke dunia bagi beramal ibadat dan melakukan amal soleh.

Saat itu, ALLAH telah awal-awal lagi mengingatkan dan memberi amaran bahawa TIADA lagi PELUANG buat kita apabila diri mula dihisab di hadapan-NYA.

Saat itu .. Sesal sudah tidak berguna lagi.

Maka, saat PELUANG masih sedia terhidang, lakukanlah yang terbaik bagi mengisi kantung amalan kerana saat kematian bakal menjemput bila-bila masa sahaja .. 

Astaghfirullah .. Aku mohon ampunan dari Mu ya ALLAH!

 

Idea

Wednesday, August 26, 2015

(sumber gambar - Google)

"Tuan, bagaimana tuan mendapat idea menulis di Facebook?" Tanya seorang kenalan FB yang berada di Kedah.

"Idea menulis ibarat air hujan. Jika tidak segera mencatat serta menulis, bimbang sekiranya akan hilang serta lenyap. Maka saya pilih untuk catatkan di Facebook sebagai 'diari' maya saya.

Idea boleh hadir dalam pelbagai bentuk.

Sama ada melalui perkongsian tulisan oleh rakan-rakan FB, pemerhatian di sekeliling, apa yang berlaku di tempat kerja dan apa sahaja yang boleh menggerakkan akal serta hati untuk berfikir.

Idea boleh dijemput. Idea boleh dicerna.

Setiap orang mempunyai cara untuk menjana idea. Setiap orang mempunyai cara menyampaikan idea.

Manfaatkan anugerah akal yang Tuhan berikan sebaik-baiknya kerana DIAlah Pemberi idea buat kita."
Jawab saya panjang lebar sambil menyedekahkan ikon 'senyum' buat beliau.

Moga ada manfaat di awal pagi Khamis ini.

Hidup Ini Sebuah Permusafiran

Monday, May 25, 2015


 (sumber gambar : Google)

Selepas menghantar Incik Bos ke sekolah, saya singgah bersarapan pagi di sebuah kedai makan di pinggir jalan negeri kelahiran Tok Janggut. Saya perhatikan orang tidak ramai seperti kebiasaan. Mungkin hujan malam semalam atau mungkin kesan GST yang masih dirasai oleh sebilangan rakyat Malaysia.

Walaupun kedai makan ini tidak mempunyai kod GST yang berdaftar dengan pihak Kastam, namun hampir sebilangan makanan yang dijual mengalami kenaikan kos. Tidak seperti harga sebelum 1 April 2015.

Sedang minum-minum, seorang wanita bersama anak lelakinya duduk di sebelah meja saya. Wanita itu segera memberikan senyuman ke arah saya dan saya balas senyuman beliau penuh ceria. Bukankah tanda orang beriman itu mampu menunjukkan wajah yang ceria kepada saudaranya yang lain? Walaupun wanita itu tidak saya kenali, namun ia merupakan sebahagian daripada saudara seagama yang mesti disantuni dengan wajah penuh ceria.

Hampir selesai bersarapan pagi, wanita itu sempat menyapa saya, "Kerja kat mana?"

"Kat Kota Bharu," jawab saya ringkas.

"Kota Bharu ini luas," sambil ketawa kecil.

"Dekat tengah-tengah bandar. Dekat dengan kedai buku Jafar Rawas!"

"Oh, kat situ. Untunglah kamu ya."


"Apa untungnya?"

"Yelah, dapat selalu ke kedai buku. Makcik suka beli buku kat situ kerana banyak kitab-kitab agama yang dijual. Lagipun, semakin berumur, semakin nak dalami ilmu-ilmu agama. Selain pergi belajar ilmu agama di masjid, membaca kitab agama pun boleh menambah kefahaman makcik."


Allahu Akbar .. Saya yang diam-diam mendengar ulasan beliau itu berasa sungguh kerdil dan banyak lagi yang perlu dipelajari dalam hidup khususnya bab-bab agama. 


Kata guru, "Ilmu agama merupakan jalan serta petunjuk sewaktu bermusafir di dunia ini. Meminggirkan agama bererti diri telah menempah jalan yang salah sewaktu menuju ke akhirat. Meremeh-remehkan agama bererti diri telah mensia-siakan 'petunjuk' yang mampu membawa ke syurga."

Selepas bersarapan, wanita itu sekali lagi memberitahu, "Untunglah kamu, dekat dengan kedai buku!" 


Saya senyum meninggalkan kerusi tempat saya duduk itu penuh harapan. Harapan untuk terus melangkah dan 'bermusafir' tanpa meminggirkan agama di sisi. 

Sungguh, hidup ini satu permusafiran!